Mei 17, 2010

The Kane Chronicles #1: The Red Pyramid


Judul: The Kane Chronicles #1 - The Red Pyramid
Penulis: Rick Riordan
Penerbit: Puffin Books
Tahun: 2010
Harga: RM59.90
Bil. mukasurat: 516

Ah. Sukar benar untuk membuang minat keanakan saya ini. Walaupun saya tahu buku ini sasaran audiensnya bukan remaja baya saya lagi, tapi saya tetap membeli dan membacanya. Kerana saya pernah baca karya-karya penulis yang sebelumnya. Pernah dengar Percy Jackson & The Olympians? Dahulu saya membaca keseluruhan buku dalam siri itu. Ya, siri tersebut telahpun tamat (lihat sini) dan kini penulis muncul dengan siri fantasi baru berjudul The Kane Chronicles pula. Masih dengan konsep yang sama, iaitu fiksi gabungan mitos dan moden.

Kalau dalam siri lalu, penulis memanipulasi mitologi Greek purba, kali ini penulis menganyam kisah mitos Mesir purba dengan abad moden ke 21 pula, dengan mencipta watak dua beradik bernama Carter dan Sadie Kane.

Sedikit sinopsis: Ayah dua beradik ini, Dr. Julius Kane, merupakan seorang pengkaji Mesir Purba yang terkenal. Kisah bermula apabila Dr. Julius bertindak memecahkan Batu Rosetta (Rosetta Stone), batu bersurat Mesir Purba terkenal di British Museum dan secara tidak sengaja telah melepaskan Set, dewa bencana. Set memenjara Dr. Julius di dalam sebuah keranda emas. Demi menyelamatkan ayah mereka, Carter dan Sadie perlu mengembara ke seluruh dunia untuk membongkar misteri keluarga mereka yang sebenarnya berusia ribuan tahun, dan keterlibatan mereka dengan Kuil Hayat (House of Life), iaitu kuil magis Mesir Purba. Mereka perlu bertarung dan juga bersahabat dengan dewa-dewi Mesir Purba yang selama ini pada sangkaan mereka hanyalah catatan-catatan hiroglif dan demotik semata-mata.

Dari aspek sastera, sememangnya buku ini tidak ada keistimewaan yang boleh dikongsikan. Sebagai sebuah buku fantasi kanak-kanak, buku ini boleh dikatakan berjaya. Mungkin nampak sedikit meleret apabila dalam buku pertama pembaca sudah diperkenalkan dengan hampir kebanyakan watak penting dalam mitos Mesir Purba, sepertinya penulis tidak sabar untuk memanipulasi keseluruhan mitos tersebut. Namun, disebabkan siri ini hanya diumumkan sebagai trilogi, berkemungkinan penulis cuba memaksimumkan watak-watak dalam mitos tersebut dalam cerita. (Tidak seperti Percy Jackson yang dibukukan kepada lima naskhah.) 

Mitos Mesir Purba, seperti mitos Greek Purba, sangat mengelirukan. Hairan apabila ada dewa-dewa yang bertembung tugasnya di sana-sini, ada yang memiliki rupa yang seakan tidak ada beza dan mereka boleh mempercaya setiap satu daripadanya. Apatah lagi mitos Greek juga sempat berasimilasi dengan mitos Mesir dan menjadikannya lebih huru-hara. Tetapi penulis begitu pandai 'menggoreng' cerita dan menutup kelemahan tersebut sedikit sebanyak supaya cerita tidak terlalu mengelirukan pembaca, khususnya mereka yang langsung tidak pernah tahu tentang mitos-mitos ini.

Apa yang pasti, ada dua perkara penting yang saya rasa patut dikongsi di sini. Satu, lihatlah kesan apabila tuhan berbilang-bilang. Apabila tuhan tidak bersifat Tunggal, lihatlah orak-arik yang berlaku pada dunia. Tuhan yang itu berebut kuasa, Tuhan yang ini bersengketa untuk mentadbir ikut cara masing-masing, dan macam-macam lagi. Seperti nakhoda di dalam kapal, jikalau dilantik dua, pasti bertelagah, masing-masing ingin ikut kepala sendiri. Lebih kurang begitulah analoginya pada tadbiran Pencipta, yang tentunya perlu bersifat Esa. Firman Allah: 

"Sekiranya ada di langit dan di bumi tuhan-tuhan selain Allah, tentulah keduanya itu telah rosak binasa. Maka Maha Suci Allah yang mempunyai 'Arsy daripada apa yang mereka sifatkan." (Al-Anbiyaa': 22)

Dua, persamaan mitos Greek, Mesir dan juga kepercayaan kita sebagai muslim adalah, mereka percaya kepada hidup selepas mati, juga pembalasan terhadap amalan baik dan buruk. Dalam kepercayaan Mesir Purba, terdapat upacara timbangan hati. Upacara ini berlaku di Mahkamah mereka dan akan dilakukan dengan sebuah dacing khas. Di satu sisi, hati seseorang manusia itu akan diletakkan dan di sisi satu lagi akan diletakkan dengan bulu pelepah kebenaran (Feather of Truth). Sekiranya hati manusia tersebut lebih berat, maka ganjarannya baik, dan jika sebaliknya, ganjarannya buruk. Kita pula, bukankah percaya adanya timbangan amal di Mahsyar?

Saya secara peribadi berfikir-fikir tentang persamaan kepercayaan ini. Bagaimana mereka boleh terfikir tentang alam selepas mati dan hari pembalasan? Bukankah ini satu bukti yang ada para nabi pernah diutus kepada mereka untuk berbicara soal ghaib ini? Mungkin, seiring dengan pertambahan masa, mereka mula memasukkan unsur-unsur dongeng yang mereka cuba bayangkan, dan lama-kelamaan kepercayaan itu menjadi karut. Siapa tahu? Yang pasti, kita benar akan diperhitung amalan, dan dibalas seiring dengan nilai amal yang kita bawa. Tentu ramai yang fasih dengan firman Allah dalam surah Az-Zalzalah ayat 7 dan 8:

"Barang siapa yang mengerjakan kebaikan seberat zarah pun, nescaya dia akan melihat (balasan)nya. Dan barang siapa yang mengerjakan kejahatan seberat zarah pun, nescaya dia akan melihat (balasan)nya pula."

Oh ya, terlupa pula, buku ini diceritakan melalui dua sudut pandang pertama. Apa yang berlainan, cerita ini sebenarnya adalah rakaman suara dua beradik tersebut dalam sebuah pita rakaman (tidak pasti kaset atau pita bagaimana), yakni transisi suara kepada tulisan. Ceritanya barangkali garapan mitos, tetapi tidak dinafikan banyak juga fakta benar yang diselitkan, Batu Rosetta sebagai satu contoh. Juga, pembaca boleh mengenali ilmu penulisan hiroglif yang sangat asing bagi kita. Tidak kurang humor yang kadangkala menjentik pembaca menjadikan buku ini tambah menarik.

Bagaimanapun, penulis perlu cuba mengelakkan 'kebetulan-kebetulan' yang berlaku pada watak-watak, contohnya bagaimana kedua beradik Kane itu tiba-tiba tahu menggunakan pelbagai magis, bagaimana kebanyakan babak menunjukkan mereka hanya bertindak mengikut 'naluri' semata-mata, dan kesudahannya adalah seperti yang mereka jangkakan atau kehendaki. Penulis mampu mengolah lebih baik daripada itu! Unsur-unsur deus ex machina yang biasa digunakan dalam dongeng klasik kanak-kanak tidak begitu relevan lagi kini, dan patut dielakkan. Novel kanak-kanak dan remaja sudah berevolusi, pembaca cilik pun sudah mampu berfikiran jauh yang pari-pari tidak akan mucul tiba-tiba dan menyelesaikan cerita dengan 'happily ever after' lagi!

HelaianRindu: Zaman kanak-kanak saya begitu celaru.

4 ulasan:

emmar berkata...

Assalamualaikum

merujuk kepada ulasan anda tentang kedatangan nabi dan kehidupan selepas mati.

perkara yang sama mungkin juga berlaku terhadap sejarah awal manusia yang digambarkan oleh pengkaji-pengkaji barat. secara peribadi, sukar untuk mengaitkan gambaran ini (cara hidup, bersosial dan sebagainya yang digambarkan Barat mengenai manusia prasejarah) kepada perkara yang tinggi sifatnya seperti kedatangan nabi membawa wahyu Allah.

dan berkata...

waalaikumussalam emmar.

betul juga, tapi itulah, cuma cetusan fikiran sahaja. betul atau tidak, itu terserah pada Allah dan sejarah yang Dia rancang. Yang lebih penting, kita ambil ibrah, dan secara kontekstualnya kita dapat aplikasikan pada kehidupan kita sebagai seorang muslim yang sangat mementingkan rukun iman 'percaya kepada hari akhirat' tersebut, juga beriman kepada janji2 Allah untuk membalas amal kita dengan setimpal.

Mungkin, bercerita tentang kehidupan sosial manusia prasejarah juga, teori-teori yang dikemukakan itu boleh dibandingbeza dengan kehidupan manusia zaman kini. Kadang2 manusia sekarang sudah lebih tak bertamadun dari mereka!

Tapi ya, saya setuju dengan emmar, cuma apabila membaca, saya akan tuliskan sedikit sebanyak cetusan peribadi sendiri, lebih nampak personal dan jujur. :)

Yazid Fauzi berkata...

membaca naskhah dari kamu benar2 melawat taman bahasa dalam kesumaku.
XD

dan berkata...

yazid: dari anda juga, apa kurangnya? taman ilmuku tagih perbendaharaan kencana ilmu darimu :)

Related Posts with Thumbnails