November 21, 2013

Nottingham, 1/3

Assalamualaikum Naqeb,

Riuh benar pusat sukan di University of Nottingham ini! Aku sempat menjenguk perlawanan bola keranjang, badminton dan ping pong. Berjumpa dengan ramai orang, kenalan lama dan baru! Saling bertukar nombor telefon dan memperkenal diri. Ramai sungguh orang Malaysia berkumpul, hampir tak terkesan orang putih di sini. Apalagi, berhabuklah bahasa Melayu terjerit sana sini.

Di hadapan Portland Building, hub aktiviti utama -
pameran, solat dan makan di sini
Oh ya, sempat juga awal pagi tadi menjamah makanan Malaysia beraneka jenis. Tepung pelita, sate, cendol, karipap, bubur lambuk, hai terkecur liur sajalah engkau kalau merindui juadah tanah air ini; lagi-lagi kalau kau jemu menatap ayam dan kentang goreng yang melambak di England!

Hari ini sangat cerah, langit persih tiada awan. Daun sudah mula merah, menguning dan pohon kian 'mendogol'. Aku mungkin tak sempat berjumpa Syahir disebabkan tempat pertandingan bolasepak agak jauh, dan aku pula akan balik petang nanti. Aku kira telefon saja yang akan jadi pengganti.

Aku cuma terfikir kata-kata Abang Fahmi kepadaku: "Betulkan niat untuk pergi ke Nottingham." Itu dia beritahu kami berdua, aku dan teman serumahku Anuar, ketika dalam tren menuju ke sini. Saat itu dia membaca naskhah Konsep Ikhlas dan Niat Menurut Islam karya Dr. Yusuf Al-Qaradhawi. Aku terkedu kerana aku tak pasti apa niatku. Bukankah setiap amalan itu bermula dengan niat? Apa ikhlaskah aku? Bukankah amalan takkan diterima jikalau tiada ikhlas disertakan? Risau benar aku, Naqeb. Jadi aku cepat-cepat berniat panjang:

Aku mahu menimba ilmu dan pengalaman. Dari segala yang aku kecap dari deriaku, moga itu mendekatkan jarakku dengan Tuhanku.

Itik di sini besar, comel dan sangat mulus!

Sports Centre, University of Nottingham
31/10/09, 11.40 a.m.

************

Sengaja saya kongsi surat yang ini - satu, kerana Nottingham Games sudah selesai di UK tahun ini, jadi 'surat' pada tahun 2009 ini sebagai kenang-kenangan. Dua, sempena tahun baru hijrah, untuk kembali mengingatkan tentang hadis niat dalam buku Hadis 40 dan syarahnya karya Imam Nawawi yang membicarakan panjang lebar tentang mereka yang berhijrah dengan dua matlamat - untuk Allah dan Rasul, atau untuk menemui wanita yang ingin dinikahi. 

Ganjaran amalan apapun bakal ditentukan oleh niat seseorang, dan disebabkan itulah niat terlalu penting. Atas alasan yang sama, hadis ini mengungguli halaman karya Imam Nawawi. Malah Imam Syafie dan lain-lainnya turut menganggap hadis yang diriwayatkan oleh Umar Al-Khattab itu merangkumi sepertiga Islam!

“Daripada Amirul Mukminin Abu Hafs 'Umar ibn al-Khattab Radhiallahu ‘anhu beliau berkata: Aku mendengar Rasulullah Sallallahu ’alaihi wasallam bersabda: Bahawa sesungguhnya setiap amalan itu bergantung kepada niat, dan bahawa sesungguhnya bagi setiap orang apa yang dia niatkan. Barangsiapa yang hijrahnya menuju kepada Allah dan Rasul-Nya, maka hijrahnya kepada Allah dan Rasul-Nya. Barangsiapa yang hijrahnya kerana dunia yang dia mahu mencari habuannya, atau kerana seorang perempuan yang dia mahu kahwininya, maka hijrahnya ke arah perkara yang ditujuinya itu."

Teguran empat tahun lalu bakal saya hadam semula demi membina semangat untuk fasa kehidupan baru. Terima kasih atas teguran itu - kalian hujanilah saya terus-terusan dengan teguran.

Hijrah takkan pernah berhenti...

(Mahu cari dan baca buku konsep niat itu nanti.)

helaianrindu: Sudah lama tidak menulis surat, baru tadi mengirimkan sepucuk surat bertulis tangan untuk sebuah pertandingan - rasa puas amat sebab entah bila kali terakhir benar-benar mengirim surat sepanjang itu. Doakan saya berjaya!

September 10, 2013

Infografik Peduli Mesir!

"Kau tolong design poster tentang Mesir boleh? Buat biar ada banyak gambar. Kau kena lukislah. Aku nak letak di masjid-masjid. Kalau ada informasi selalunya teks saja. Orang tak berminat nak baca tulisan semata-mata."

Saya menyahut cadangan untuk membantu teman saya Khalis ketika berjumpa dengannya di sebuah program tidak lama dulu.

Agak sukar juga untuk memilih informasi mana yang patut dimuatkan di dalam turutan peristiwa Mesir. Malah, fokus yang diminta daripada saya adalah untuk memuatkan seberapa banyak ilustrasi yang boleh. Ruang juga terhad kerana kami cuba untuk muatkan dalam kertas bersaiz A4.

Kami memilih maklumat dari Al-Jazeera dan Yahoo! News. Hasil perbincangan kami atas talian, maka terhasillah infografik ini. Sekiranya berminat untuk menyebarkannya di tempat kalian, saya persilakan muatturun untuk dicetak. Semoga kita mendapat manfaatnya walaupun kecil. Teruskan berdoa untuk Mesir dan umat Islam seluruhnya!


Nota: Gambar yang saya muatnaik di facebook Helaian-helaian Rindu telah saya edit sedikit di bahagian angka kematian, jadi ini versi terkini. Angka kematian yang dilaporkan secara rasmi adalah hampir 200 orang dan kecederaan dalam 1500 orang, tetapi saya tambah juga sedikit disclaimer yang mengatakan kematian dan kecederaan mungkin melebihi angka tersebut.

Sedikit perca di belakang tabir - ini lakaran asal sebelum diedit di dalam komputer. Medium yang saya guna adalah pensel 2B sahaja.


helaianrindu: Permulaan kecil. Semoga terus melangkah.


September 05, 2013

Epistolari Cinta

Altitude: 1036 km
Distance: 10779 km
Merentas laut Andaman-India-Pakistan
30 September 2009

"Ke hadapan Naqeb,

Semalam dan hari ini sangat luarbiasa bagiku. Kenapa? Sebabnya, aku merasakan aku tak berpijak di bumi nyata. Ya memang aku berada di awanan waktu ini tapi bukan itu maksudku. 

Aku merasakan bahawa kembara aku ke bumi asing England ini bagai khayalan. Semua terlalu cepat berlalu... persis tayangan gambar yang meniti visiku. Tahu-tahu, aku sudah dalam pesawat MH004 dan menatap langit nilakandi dari dua tingkap bersebelahanku... "

*******

Saya hampir menyudahkan buku motivasi dan biografi penulis Ummu Hani Abu Hassan, penulis prolifik yang banyak bergiat dalam bidang kewartawanan, penulisan skrip drama TV dan juga kesusasteraan dalam bentuk cerpen dan novel. Berminat membacanya kerana tajuknya dekat sekali di hati saya - I Want to be a Writer. Saya tidak ingat bila masanya saya mula membaca karya-karya beliau, adakah melalui drama TV ataupun cerpen dan novel. 

Di dalamnya terkandung kisah-kisah menarik dari hidup penulis sejak kecil dan sedikit sebanyak inspirasi dan aspirasi beliau dalam menjadi penulis. Terkandung juga tips dan perkongsian tentang pengalamannya dalam bidang penulisan bagi yang berminat. Malah ada kisah lain yang berkisar motivasi.

Apapun, yang membuatkan saya tertarik pada awalnya (selain tajuknya) adalah petikan kata-kata di hadapan kulit bukunya:

"Agar jejak kehidupan dapat diwariskan."

Benar, biografi atau kisah hidup manusia biasa tidak sehebat dan seagung sirah Nabi Muhammad saw atau kisah nabi-nabi terdahulu, malah takkan setaraf dengan kisah para sahabat yang telah dijamin masuk syurga. Tetapi, kisah manusia seperti kita tetap perlu diwariskan. Paling tidak, untuk diri kita sendiri belajar dari kesilapan lalu. Biar jejak positif terus diwarisi, dan kesalahan lalu tidak. Sudah tentu jika dikongsikan untuk semua, itu adalah kerana tugas kita menyampaikan kebaikan yang kita temui dalam hidup kita untuk diteladani orang lain. Semuanya atas dasar menyampaikan mesej Islam, mesej dakwah, atau secara umumnya untuk memaknakan hidup dengan memberi. Tentu ramai yang terkenang tagline popular Ustaz Hasrizal, erti hidup pada memberi.

Juga kata Ustaz Pahrol Md Juoi pernah berpesan dalam sebuah bukunya (saya sudah lupa yang mana), kita membina hidup dengan apa yang kita dapat, tetapi kita membina kehidupan dengan apa yang kita berikan. We make a living by what we get but we make a life by what we give. Memberi teladan adalah salah satu cara membina kehidupan yang bermakna.

*********

Semasa di tingkatan lima, saya mula diperkenalkan dengan penulisan jurnal oleh guru bahasa Inggeris saya, yang kami panggil Miss Lini. Tugas yang diberi kepada kami waktu itu adalah menulis dua atau tiga entri dalam satu minggu. Panjang satu entri tidak terikat kepada berapa mukasurat. Tujuan utama jurnal ini sudah tentu untuk memperbaiki penguasaan bahasa Inggeris kami dari segi penyusunan ayat dan penggunaan kata dan tatabahasa. 

Di samping kerja rumah dan tugasan dari subjek lain, jurnal ini pada awalnya seakan-akan membebankan. Tetapi saya semakin lama semakin seronok menulisnya (mungkin dari situ juga timbul minat yang lebih kuat dalam bidang ini) kerana saya boleh menulis tanpa ada format atau struktur tertentu. 

Epistolari cinta saya di tanah Inggeris - kebanyakannya tertulis dalam helaian kertas berasingan, kebiasaannya entri biasa saya asingkan dalam buku.

Kebiasaannya entri perlu ditulis mengikut topik yang diberikan, namun yang lebih saya sukai adalah apabila kami tidak diberi sebarang tajuk. Jadi di situ saya bebas untuk memikirkan apa dan bagaimana harus saya sampaikan idea. Sehingga sekarang saya masih simpan jurnal-jurnal bersampul biru itu sebagai kenangan.

Saya meneruskan penulisan jurnal ini selepas sekolah, bermula di kolej persediaan sehingga kini, tetapi tidak sekerap dahulu. Saya tidak memilih untuk menyimpan diari kerana persepsi saya tentang diari sangat negatif - diari adalah buku yang mencatat aktiviti seharian. Tidak seperti jurnal yang membolehkan kita menulis apa saja yang menjadi buah fikir kita ketika itu - sama ada peribadi, isu semasa, pendapat tentang pengalaman hidup. Jadi ia lebih daripada sekadar mencatat turutan peristiwa. Begitu pendapat naif saya, meskipun hakikatnya tidak ada masalah mencatat diari dan jurnal dalam masa yang sama. Bezanya hanya istilah yang kita pilih!

Beberapa masa lalu saya menyelongkar kembali barang kenang-kenangan dari UK selama tiga tahun dek rindu. Dan saya terjumpa kembali jurnal dan catatan-catatan lama saya di sana dalam kotak kenangan tersebut. Dahulu agak kerap saya belek kembali tetapi sudah lebih setahun saya tinggalkan. Jadi apabila saya baca kembali catatan yang sangat naif (juga kadang-kadang syok sendiri, err) itu, saya jadi terkejut pula kerana saya kembali belajar dari kenaifan dan kejahilan itu. Betapa mulanya saya terlalu asyik untuk merantau. Betapa teruja awalnya untuk belajar di bumi penjajah! Ke mana hilang semua itu? Ah... dan macam-macam lagi.

*******

Petikan surat pada permulaan entri ini sebenarnya merupakan salah satu entri jurnal saya ketika mula-mula mengembara ke United Kingdom untuk menyambung pengajian. Semenjak ke England saya lebih banyak menulis entri dalam bentuk surat kepada rakan-rakan yang terpilih. Saya tidak pernah mengirimkannya betul-betul kerana saya fikir ini bukan zamannya lagi tetapi saya masih suka dengan perasaan mengutus surat yang romantik dan nostalgik (walaupun ya kerana ditulis satu hala saya akui hasilnya adalah bahasa bunga-bunga yang sedikit dibuat-buat dan cheesy). Sehinggakan cerpen pertama yang pernah saya tulis secara serius juga dalam bentuk warkah, tajuknya Warkah-Warkah Siluman. (Boleh baca di sini - tapi bukan satu karya yang begitu baik! Nikmati tanpa terlalu mengkritik, eheh)

Baru hari ini juga saya memulakan pembacaan buku sasterawan Anwar Ridhwan bertajuk Menyurat kepada Sahabat, iaitu sebuah kumpulan surat-suratnya kepada ahli keluarga, kenalan dan teman penulisan. Bahagian pertama yang memuatkan kumpulan warkahnya ketika beliau berada di London untuk perbincangan proposal tesis dan menghadiri acara sastera di sana. Saat itu juga saya teringat buku Warkah Eropah oleh A.Samad Said yang juga ditulis berlatarbelakangkan tanah Inggeris. Tidak kurang kumpulan warkah Helene Hanff kepada kedai buku kesukaannya di London beralamat di 84, Charing Cross Road yang pernah saya nukilkan tentangnya di sini.

Tiga buku berelemen warkah dalam koleksi. Hanya buku 84 Charing Cross Road yang saya baca habis dari kulit ke kulit. Namun kesemuanya saya suka.

Inspirasi tiga buku ini (dan kenangan sendiri kepada tanah Inggeris) datanglah fikiran untuk berkongsi sesetengah surat-surat rahsia saya itu kerana kebanyakannya tidak bersifat terlalu peribadi seperti entri biasa. Sebabnya saya tulis kesemuanya dalam kesedaran saya masih boleh menghantar warkah-warkah itu kepada mereka sekiranya saya mahu. (Atau, saya boleh gunakan sebagai bahan untuk cerpen? Novel mungkin? Ah, saya terlalu banyak berangan-angan dari menulis! Ketuk kepala.) Dan sudah tentu, objektif utama saya adalah untuk memberi. Harapannya agar manfaatnya mampu dihadam meski kecil. Insha Allah.

"Dan tetaplah memberi peringatan, kerana sesungguhnya peringatan itu bermanfaat bagi orang-orang yang beriman." (QS. Adz-Dzaariyaat: 55) - Ayat ini sudah terlalu banyak digunakan sehingga kadangkala hilang makna, sedangkan kesannya sangat besar. Maka kita perlu saling memperingatkan.

Nota: Artikel Ustaz Pahrol tentang 'memberi' boleh dibaca di [sini]. Petikan kata-kata beliau yang saya ambil juga boleh didapati dalam artikel tersebut yang sangat baik.

helaianrindu: Warkah cinta dari Allah, pun jangan lupa tatap, ulangbaca dan cuba fahamkan selalu (peringatan paling besar untuk diri!)

(Cuma, saya kesal kerana dua tahun kebelakang ini saya tidak banyak menulis entri jurnal mahupun yang berbentuk surat. Sedangkan terlalu banyak isu dan pendapat yang boleh dibincang untuk dimuhasabah semula. Dari revolusi musim bunga tahun 2011, rusuhan di seluruh UK pada tahun yang sama, juga kembara-kembara persendirian dan kisah-kisah teladan yang banyak mematangkan saya dalam dua tahun itu - semuanya terkubur dan kemungkinan besar sudah banyak yang lupa. Saya sendiri yang rugi kerana tak dapat belajar kembali dari pengalaman-pengalaman tersebut. Tak apalah, semoga Allah memberi peluang saya mengingat semula detik bermakna itu)


Ogos 19, 2013

Revolusi atas Kertas II

Saya masih ingat revolusi 25 Januari di Mesir 2 tahun sudah. Ketika itu saya sedang berada dalam tahun dua pengajian. Masih budak hingusan (ah..sekarang masih lagi). Baru hendak belajar kenal dunia kecil - apalagi dunia besar, isu umat, isu politik, isu negara.. semua itu satu cabaran buat saya. Meski saya mengaku seorang pembaca buku tegar, dalam masa yang sama saya malu mengakuinya kerana saya kurang membaca buku berbentuk ilmiah, juga kurang membaca berita. Sewaktu rakan-rakan saya rancak membincangkan peristiwa besar yang sedang berlaku di negara-negara Arab tahun itu, saya hanya mampu mendengar dan mengangguk. Entah apa yang dianggukkan, saya pun tidak pasti. Di komputer riba pula, saya memerhati pautan berita dan bookmark berkali-kali, sedang artikelnya sampai sudah tidak terbaca. 

Begitulah saya satu waktu dulu. Saya selalu beralasan pada teman saya, saya dah bookmark, nantilah saya baca. Teman saya itu membalas, "Isu hangat macam ini sebenarnya takkan sempat untuk kau buat macam tu, sebab hari-hari akan ada update terbaru. Kau akan terlepas ambil tahu nanti." 

Dan ya, saya terlepas. Terlalu banyak artikel dikumpul, sudah tentu tak terbaca. Artikel yang awal-awal disimpan sudah menjadi basi. Setelah itu jika membaca buku berkenaan revolusi suasananya menjadi hambar dan 'suam'. Orang lain bergerak ke isu lain, saya masih lagi ketinggalan dengan isu lapuk. Akhirnya apa pun tak ada. 

Sama saja dengan cerita lain, bukan cerita Mesir kali itu saja.

'I agree we have to kill her but at the right place and the right time.' - petikan trailer Catching Fire. Imej diambil di sini.

Kali ini, babak 2 tunjuk perasaan di Mesir. Secara ringkasnya, berlaku peristiwa penggulingan Presiden Mursi oleh pihak tentera. Klimaksnya, pembunuhan beramai-beramai demonstran aman di Dataran Rabiatul Adawiyah oleh kerajaan kudeta. Kali ini saya tidak lepaskan peluang untuk mengambil tahu isu ini setiap hari. Malah kali ini saya sudah faham kepentingan untuk kita mengambil tahu isu umat ini. Bukan bermaksud saya teruja dengan apa yang terjadi - saya malah sedih, marah dan kecewa dengan apa yang berlaku. Cuma saya lebih teruja dalam memperkukuh pengetahuan isu semasa saya. Supaya nanti ada yang boleh saya sumbangkan. Ada yang boleh saya bincangkan. Ada yang boleh saya titipkan di dalam doa. Kerana segalanya yang saya lakukan nanti mampu datang bersama kefahaman dan tentunya, dengan hati, inshaAllah.

Sabda Nabi Muhammad saw, dari Nu'man bin Bashir r.a:

Perumpamaan orang mukmin itu dalam perkara berkasih sayang dan saling cinta-mencintai adalah seperti sebatang tubuh. Apabila salah satu anggota tubuhnya berasa sakit, maka seluruh anggota tubuh yang lain turut merasai akan kesakitannya.” (Sahih Bukhari)

***********

Seperti biasa, di alam maya terkandung lampau banyak artikel berita, pendapat, pandangan, dan ramalan apabila sesuatu isu timbul; dan huru-hara sebesar di Mesir ini tentu tidak terkecuali. Ada yang baik dan ada juga yang buruk. Mereka yang memegang kuasa pula mengambil peluang memanipulasi media perdana untuk mengikut telunjuk mereka. Laporan yang tidak telus terus-terusan mempengaruhi minda sebahagian penduduk dunia. Mereka yang menuntut hak dan kebenaran dikembalikan ke takhtanya akan bangkit melawan. Namun, arus perdana bukan pletfomnya! 

Saya terkenang kata-kata Muharikah, seorang blogger yang kini sudah maju dalam dunia penerbitan. Katanya, kita tidak banyak media cetak yang berpengaruh besar dan mampu mengubah pemikiran penduduk dunia seperti majalah TIME, atau The Economist cetakan Barat. Justeru beliau bercita-cita menulis dan menerbit untuk menghasilkan pentas penulisan berkaliber seperti itu. Ya mimpinya seakan begitu besar tapi kata orang, langkah seribu bermula dengan langkahan yang pertama. Kini blognya bukan saja menjadi bacaan ramai orang malah beliau juga memulakan penerbitan majalah dakwah JOM! dan kalau tidak silap, juga menguruskan kedai Iman Shoppe secara atas talian, dan menjual pelbagai buku Islami.

Berbalik kepada isu media perdana tadi, alangkah bagus sekiranya kita ada pletfom seperti yang dicadangkan saudari Muharikah. Kita perlukan revolusi atas kertas untuk menyampaikan berita sebenar. Kita perlu revolusi atas kertas untuk menyampaikan rasa peduli bagi mereka yang belum merasai keperitan umat. 

Kita perlu revolusi atas kertas untuk menumbangkan kebatilan.

Revolusi ini, saya berminat untuk turut serta. Mahu ikut saya?

helaianrindu: Ingin bermula semula. Dengan nafas baru, azam dan semangat baru. InshaAllah, doakan saya dapat memperpanjang langkah yang bertatih ini.

Bila berbicara tentang perang media, serta-merta saya terkenang novel Mockingjay yang dibaca tidak lama dulu - buku terakhir dalam siri The Hunger Games. Tentang rancangan jahat untuk menindas rakyat seperti yang berlaku di Mesir, terkenang pula pada novel sebelumnya, Catching Fire. Tagline novel kedua sungguh relevan dalam konflik dunia kini: "Remember who the real enemy is." Ingat siapa musuh sebenar kita! (Saya boleh membebel tentang siri ini)

Jika ingin tahu berita terkini, ikuti perkembangan di Al-Jazeera.com dan Facebook Mesir Kini. Juga dapatkan informasi 'For Dummies' tentang Kudeta Mesir di blog Angel Pakai Gucci. Sama-sama kita doakan kesejahteraan umat Islam di Mesir khususnya, tak lupa juga di Palestin, Syria dan di dunia amnya. Jangan lupa untuk merevolusikan diri kita ke arah yang lebih baik juga!

April 05, 2013

Revolusi Atas Kertas

Pada mulanya saya sangkakan membaca The Hunger Games karya Suzanne Collins akan memberi pengalaman yang biasa-biasa saja. Malah ketika mula-mula dicanang tentang kebagusannya, saya agak malas, beralasan bahawa lebih baik saya baca buku-buku lain (dan saya juga memilih untuk luangkan masa untuk menyiapkan tugasan akademik waktu itu). Sekadar ingin tahu, saya melawat laman Wikipedia dan membaca bahagian plot/sinopsis cerita bagi ketiga-tiga buku dalam trilogi Hunger Games.

Saya teruskan skrol di laman Wikipedia tentang informasi buku-buku tersebut. Saya terbaca fakta menarik tentang inspirasi buku ini. Setelah membaca fakta tersebut, saya jadi berminat pula untuk baca - tapi hanya bermula dalam penerbangan pulang saya dari Birmingham ke Malaysia (Ogos lalu). Mengejutkan sekali, meskipun jalan cerita sudahpun saya tahu, saya masih terus dan terus menyelak helaian demi helaian. Perenggan demi perenggan. Ada sesuatu dalam novel ini yang menarik minat. Saya sempat membaca suku sahaja di dalam kapal terbang, selebihnya saya habiskan dalam kereta sepanjang perjalanan pergi-balik dari Kuala Lipis ke Kuala Lumpur (beberapa minggu selepas hari raya puasa tahun lepas) untuk menghantar kakak saya ke lapangan terbang. Jika dicampur tolak masa pembacaan saya untuk menghabiskan buku pertama, The Hunger Games, boleh dikatakan hanya sehari saja!

Dan apabila membaca dua sekuelnya Catching Fire dan Mockingjay, saya hanya mengambil satu hari sahaja untuk setiap satu, sama seperti buku pertamanya. Apa yang menarik saya untuk membaca dengan sebegitu pantas (kebiasaannya untuk membaca buku bahasa inggeris setebal ini saya akan mengambil masa seminggu)?

Ada tiga perkara utama yang membolehkan saya membaca dengan penuh minat. Pertama sekali, pacing atau kelajuan jalan ceritanya. Buku-buku ini ditulis secara fast-paced, menyebabkan pembaca akan terus membacanya lagi dan lagi untuk mengetahui apa yang berlaku selanjutnya

Di dalam kapal terbang Emirates yang membawa saya pulang ke Malaysia hujung musim panas yang lalu, saya menonton The Hunger Games (THG). Kebiasaannya jika saya ingin menonton sebuah filem adaptasi novel, saya akan membacanya dahulu, tapi kali ini saya fikir baik saya menontonnya dahulu, kerana saya ingin cuba dapatkan mesej yang ingin disampaikan oleh penulis buku tersebut (seperti yang saya baca dalam Wikipedia sebelum itu). Dan saya dapati filemnya memang dapat menonjolkan refleksi ketidakwarasan dan kejelekan masyarakat dunia pada hari ini. Tema realiti TV yang diutarakan sungguh berkesan.

Suasana di upacara 'reaping' untuk mencabut nama peserta dari Daerah 12. Primrose telahpun dipilih dan Katniss menyerbu ke depan untuk menjadi galang ganti secara sukarela

THG mengisahkan tentang Katniss Everdeen dari District 12 yang menjadi peserta acara realiti tahunan bernama Hunger Games. Di dalam acara tahunan tersebut, seorang lelaki dan perempuan berumur antara 12 hingga 18 tahun dari 12 daerah Panem dimestikan menyertai, dan peserta-peserta ini dipilih secara undian. Primrose Everdeen, adik perempuan Katniss yang berumur 12 tahun, terpilih untuk menyertai Hunger Games ke-74, tetapi Katniss segera menggantikan adiknya secara sukarela. Bersama peserta-peserta dari daerah lain, mereka dilatih oleh mentor mereka untuk menghadapi medan pertempuran mereka kelak. Untuk menang, peserta-peserta perlu berbunuhan sehinggalah tinggal seorang sahaja sebagai juara - yang akan dianugerahkan kehidupan yang mewah oleh kerajaan. (Atau jika pernah dengar tentang filem/komik Jepun Battle Royale, situasinya hampir sama, peserta harus saling berbunuhan sehingga tinggal seorang pemenang.)

Kerajaan Panem yang dipimpin Presiden Snow menganjurkan acara ini sebagai satu langkah menunjukkan autoriti penuh terhadap 12 daerah sekaligus mengawal dan mencegah berlakunya rebellion yang berlaku 74 tahun lalu. Katniss, selaku watak utama, memberi nafas baru terhadap Hunger Games ini, seterusnya secara tidak langsung membawa Panem ke arah kebangkitan rakyat yang bakal merubah 74 tahun penindasan tersebut.

Novel awal dewasa (young adult) yang terbit pada hari ini kebanyakannya berpusat pada idea distopia (dystopia) atau pasca-apokaliptik (post-apocalyptic) - apabila dunia yang melatari cerita mereka adalah dunia akan datang, tafsiran bagaimana masyarakat berteknologi menghadapi dunia dan lebih-lebih lagi kerajaan yang kebiasaannya bersifat diktator.  Saya dapati melalui novel-novel genre ini, terutamanya trilogi THG ini, penulis ingin memberi cerminan sosial masa kini dan juga harapan yang tinggi terhadap dunia akan datang. THG contohnya menggarap tema perang dan realiti TV yang digabung bersama. Malah, apabila dibaca pada era ini, saya dapati trilogi ini sangat bersesuaian untuk meraikan suasana revolusi Arab Spring.


Novel pertamanya mencerminkan masyarakat, dan novel ketiga tiba untuk memberi gambaran revolusi dan putarbelit media dalam menyalurkan maklumat apabila berlaku perang antara dua pihak. Bukan sahaja pihak diktator memonopoli teknologi maklumat, malah mereka menyekat dan memanipulasi fakta melalui media. Tetapi pihak penentang juga boleh menggunakan sistem ini, sehingga kadang-kadang mereka juga boleh memanipulasi maklumat untuk mempengaruhi orang luar. Inilah yang berlaku ketika perang apabila penonton dihulurkan dengan fakta-fakta yang kadangkala tidak dapat dipastikan siapakah yang sebenarnya berada di pihak yang benar. Perang teknologi ini mengingatkan saya pada Revolusi Mesir 2 tahun lalu, ketika rakyat menggunakan medium twitter dan facebook sebagai penyampai maklumat kepada warga Mesir serta warga dunia, malah disekat aksesnya oleh kerajaan waktu itu.

Dan saya fikir, waktu ini drama perang yang tak berkesudahan dilancarkan oleh Israel terhadap Gaza juga merupakan satu contoh program realiti The Hunger Games yang sebenar-benarnya wujud. Penduduk Gaza adalah peserta-pesertanya, dan siaran langsung kematian mereka sudah ditayangkan sejak bertahun-tahun lamanya. Simbolisme lain, saya pasti kalian mampu berfikir sendiri siapa penganjurnya, siapa dalangnya...

Di dalam tayangan filem THG saya tertarik dengan dua babak yang sangat halus menggambarkan obsesi dunia kita pada rancangan realiti dan hiburan tak bermakna. Satu, ketika Haymitch (mentor Katniss di dalam Hunger Games) sedang duduk berfikir dan dilihatnya dua orang kanak-kanak mendapat hadiah dari ibu bapa mereka - sebuah pedang mainan. Saat mendapatkan mainan itu mereka melakonkan aksi permainan THG, tentu sekali pengaruh tontonan program itu di kaca televisyen. Untuk masyarakat kita hari ini, tidak sukar mencari contoh. Kanak-kanak dilatih untuk menyanyi dan terkinja-kinja di atas pentas tanpa perlu disuruh, dan tentunya ramai penonton di luar sana yang ikut sama.

Anak-anak Palestin main syahid-syahid; anak-anak Melayu?

Babak kedua yang menangkap pandangan saya adalah ketika para peserta THG dibawa ke dalam sebuah perarakan dan menggayakan mereka buat pertama kalinya untuk ditunjuk di kaca televisyen (acara pembukaan seperti mengenalkan para peserta AF buat pertama kalinya mungkin). Saat peserta-peserta itu dipacu dalam kereta kuda menuju ke arah pentas utama, ditunjukkan sekilas reaksi penonton yang hadir ketika itu, penuh ekstasi, menjerit-jerit sehingga terbeliak biji mata! Sungguh saya terbayang para penonton di bawah pentas hiburan dan konsert realiti mingguan yang tidak beza dari mereka.

Antara aspek kreatif novel pasca apokaliptik ialah kekreatifan penulis membina dunia masa hadapan. Dari segi teknologi, mungkin satu aspek. Namun yang lebih menarik bagi saya ialah bagaimana penulis membentuk manusia dan sikap masyarakat ketika itu. Dalam dunia THG contohnya, masyarakat Panem dibahagi kepada 12 daerah dan pusat utama mereka, iaitu Capitol, adalah berbeza sama sekali. Seluruh daerah yang dua belas itu dibiarkan merana dan dipaksa memburuh untuk mengeluarkan hasil untuk kerajaan sedangkan mereka yang duduk di Capitol hanya bersenang lenang menikmati THG setiap tahun dan sangat suka menyibukkan diri untuk menghias diri dengan pakaian yang hampir tidak masuk akal. Mungkin ada pembaca yang tidak terfikir signifikannya gambaran ini, tetapi jelas ini adalah refleksi dua dunia, ketika kita bersenang lenang menikmati makanan yang tak berkesudahan dan membiarkan diri terus obses dengan keindahan dan hiburan, di sekitar dunia kita ada yang merana dan ditekan.

Selain itu, THG tidak pernah membosankan kerana wataknya aktif dan hidup. Kita mudah ditarik masuk ke dunia Katniss Everdeen kerana penceritaannya menggunakan kata ganti pertama. Katniss juga hanya berumur 16 tahun di dalam buku ini. Jadi, ayat-ayatnya lebih pendek, dan tidak kompleks penceritaannya. Malah penceritaan ganti nama pertama membolehkan kita menghubungkan diri kita secara lebih dekat dengan watak ini. Dengan itu buku ini bertambah cepat dihabiskan, selain ceritanya yang baik.

Menonton filemnya terlebih dahulu memberi saya peluang yang baik untuk berimaginasi. Saya dapat bayangkan apa yang berlaku dalam buku pertama dengan lebih jelas. Sedang dalam dua buku seterusnya, saya tidak dapat membayangkan suasananya dengan baik. Mungkin juga kelemahan pembacaan saya, termasuklah kerana membacanya dengan terlalu cepat, barangkali. Untuk buku ketiga saya dapati permulaan ceritanya agak lambat kerana banyak penjelasan dan gambaran tentang apa yang berlaku dan aktiviti seharian yang dibuat oleh watak utama, Katniss sehinggakan bahagian akhirnya seperti ingin dihabiskan secepat mungkin, malah plotnya seperti tidak kena.

Terdapat banyak lagi novel-novel berbahasa Inggeris yang mengangkat latar post-apocalyptic sebegini dan mungkin wajar diangkat dalam sastera Islami pula dengan menampilkan contoh dan mesej yang lebih ampuh. Novel-novel popular di Malaysia dilambakkan dengan cerita cinta yang langsung tidak memberi gambaran dan kritikan terhadap masyarakat, jauh sekali memberi solusi terhadap kepincangannya. Meskipun novel awal dewasa di barat dilunakkan dengan cerita cinta antara watak-watak utamanya, tema utama yang dibawa tidak harus dikesampingkan. Masih belum lewat lagi sekiranya penulis Malaysia ingin memberi kelainan dalam memberi definisi kepada industri novel popular (atau lebih baik lagi, novel sastera yang lebih berwacana).

Saya juga suka sebuah babak dalam filem THG yang tidak dimuatkan di dalam karya asalnya. Babak ini melibatkan Presiden Snow, yang menguji Gamemaker-nya, Seneca Crane. Katanya:


"SenecaWhy do you think we have a winner?"

"What do you mean?"

"I mean, why do we have a winner? I mean, if we just wanted to intimidate the districts why not round up twenty four at random, and execute them all at once? It would be a lot faster."

Seneca diam, menanti jawapan.

"Hope. It is the only thing stronger than fear. A little hope is effective. A lot of hope is dangerous. Spark is fine, as long as it's contained."

"So?" tanya Seneca. "So, contain it." arah Presiden Snow.

Selamat membaca!

helaianrindu: Baru perasan design kulit tiga buku dalam trilogi ini (versi US) sangat concise dan menepati isi setiap buku! (Entri ditulis sejak September lalu dan postscript ini ditambah pada Februari 2013...lamanya baru boleh perasan. Satu lagi, sangatlah produktif aktiviti dalam blog - satu entri untuk 7 bulan. Erk.) p.p.s sekarang sudah bulan April.

Reviu sebuah buku revolusi Mesir 2011 - Tweets From Tahrir, klik sini.

Related Posts with Thumbnails