September 12, 2012

Blues Musim Panas II

Selesai solat ba’diyah isyak dan berdoa, saya bangun dan berjalan ke pintu utama masjid. Saya memandang Jemaah masjid yang hadir. Tidak ramai. Tetapi sekilas saya terpandang seseorang dengan janggut putih sedang terbongkok sedikit, meratib. Mata saya membesar. Itu bukankah pakcik Hamid Hassan, makmum tua yang tidak pernah jemu berjalan ke masjid tidak kira waktu, sekalipun pada pukul 3 pagi waktu subuh masuk - atau waktu musim sejuk penuh salji?

Eh? Sekejap saya terkedu. Ini bukan masjidnya untuk dia datangi. Dalam sekerdip mata bayangan pakcik Hamid berubah menjadi seorang pakcik berjanggut yang tidak saya kenali. Ya, saya kan sudah berada di Kuala Lipis, Malaysia. Mana mungkin Pakcik Hamid berada di sini. Dia tegar mendatangi masjid kecil di perkampungan Selly Oak. 
Lorong ke pintu masjid (di sebelah kiri).
Di dalam gambar adalah rakan-rakan saya Najmi (dari kiri), Kamal dan Azri

Masjid itu bernama Jalalabad Mosque – sekalipun namanya seakan menggambarkan masyarakat Pakistan, kebanyakan jemaahnya berasal dari Bangladesh. Saya fikir, sudah hampir sebulan saya meninggalkan masjid tersebut. Sudah terlalu biasa dengan pemandangan melihat makmum seperti Pakcik Hamid meratib sendirian, khusyuk, saat saya melintasi ruang masjid untuk keluar. Tetapi sekarang, saya berada di masjid tanah air saya. Saya lihat ayah saya baru selesai bersolat, dan imam masih berdiri. Siak sedang mengemaskan sejadah dan mikrofon. 

Pakcik Hamid. Entah berapa umurnya, saya pun tidak tahu. Tetapi dia nampak begitu tua sekali, sedikit terbongkok dan berjalan dengan begitu perlahan. Walaubagaimanapun, kudratnya mengalahkan semua orang muda persis saya. Bayangkan rumahnya sejauh beberapa batu dari masjid, tetapi dia datang juga tidak kira waktu – lagi-lagi jika di UK, waktu solat memang tidak kira waktu! Subuh di musim panas boleh mencecah seawal jam 3 pagi. Jika solat berjemaah bermula pada jam 4, maka dia akan datang sebelum jam 4. Bayangkan, untuk datang sejauh itu, dia perlu bangun pada jam berapa, dan bergerak ke masjid pada jam berapa. Mungkin jam 3.30 paling lewat perlu dia mula melangkah kaki. Jika tidak masakan dia boleh sampai lebih awal? Malulah, kami yang duduk hanya kira-kira dua tiga puluh langkah dari masjid, pun datang lima minit setelah solat Jemaah bermula. Jika dia setiap hari menepati waktu, kami juga hampir setiap hari terlewat waktu! 

Rakan-rakan yang sudah biasa dengan pakcik Hamid pasti akan mengingat kemesraan luarbiasa beliau. Jika mataya bertemu mata saya dari jauh, pasti akan diangkat tangannya untuk menyapa. Jika dia mendekat, dia tidak pernah lupa bertanya khabar, bersalaman sambil menggoncang tangan saya dengan ceria dan kasih. 

Brother Rashdan, how are you? Hope you are doing fine.” Dan apabila saya menjawab ya, ringkas dia membalas “Masha Allah, masha Allah, Alhamdulillah.” Pujian untuk Allah tidak akan pernah sembunyi dari bibirnya. Tegur sapanya yang sebentar, biar tiada yang dibualkan, akan saya ingati sampai bila-bila.

Ramadhan yang sudah berakhir membangkitkan lagi rindu saya. Sempat berpuasa di bumi Inggeris selama tiga minggu. Sama seperti tahun lepas. Berpuasa di UK pada awalnya suatu rasa yang menyiksakan – tapi mujur cuma hari pertama (pada tahun lepas). Tahun ini, sudah tidak dirasa keperitannya. Lebih terasa kebosanan pula disebabkan saya duduk di rumah seorang diri pada kebanyakan waktu. 

Rutin Ramadhan saya ketika di UK sangat sibuk ketika waktu malam. Berbuka paling lewat pada jam 9.30. Kemudian mengejar solat maghrib dan solat isyak pada jam 10.45. Terawih bermula jam 11 dan berakhir pada jam 12 tengah malam. Pulang ke rumah, saya cuba tidur secepat mungkin untuk bangun bersahur pada jam 2.30 pagi. Dan menunggu waktu subuh, yang jemaahnya bermula pada jam 3.30. (Kemudian semakin hari waktu ini berubah, subuh semakin lewat, dan maghrib semakin awal) 

Kenangan waktu malam dan awal pagi yang sibuk ini dimeriahkan lagi ketika sepuluh malam terakhir tiba. Pada waktu ini ada beberapa jemaah masjid beriktikaf dan tidur di sana. Saya tidak tidur di masjid tapi sempat menghadiri qiamullail dan bersahur bersama mereka di masjid. Sahur mereka bukan calang ringan.

Di sebelah kiri, Pakcik Hamid Hassan, dan di sebelah kanan, imam yang baru buat masa ini, namanya Nurul Alam.

Kambing! Kambing, ayam, daging, semuanya ada. Kadang-kadang ada ikan juga. Aduh! Saya selalu makan sedikit lambat dari jemaah lain, dan akan ingat apabila Pakcik Hamid memanggil nama saya usai saya berdoa, dengan suara tuanya itu: 

Brother Rashdan, come, sit here, eat with us.” Dihulurnya sepinggan nasi dan disuakan kepada saya periuk demi periuk lauk yang pelbagai. Saya tersebenyum dan mengangguk-angguk saja. Terharu saya melihat jemaah yang begitu mengambil berat tentang saya. 

Suatu pagi ketika bersahur, saya ditegur ceria oleh imam. “Malizia! Why you don’t eat this?” sambil menunjuk kearah tub yogurt mangga di depannya. 

Aduh, saya sudah kenyang. Dicedoknya untuk saya separuh pinggan. Banyaknya. 

Tetapi saya dapat habiskan. Cuma saya terkejut, mereka makan yogurt manis itu dengan nasi. 

Pakcik Hamid menyampuk sedikit serius, “His name is Brother Rashdan, not Malizia. Call him brother Rashdan.” Imam hanya tersenyum menanmpakkan gigi seperti selalu. 

Ala, comel pula pakcik-pakcik saya ini bila ‘bergaduh’. 

********** 

“Semoga Allah menjagamu sepanjang perjalanan.” Imam bernama Nurul Alam itu bersalam dengan saya. Berbahasa Arab dengan saya, meminta orang lain menterjemahkannya dalam bahasa Inggeris kerana dia tidak begitu fasih, tapi ucapan arabnya tidak sukar untuk saya, jadi saya berkata, tak mengapa, saya faham; jazakallahu khair

Imam selalu saja memanggil saya dengan nama Malizia. Pernah sepetang, dia pernah mempelawa rakan-rakannya makan di ruang belakang masjid. Saya sudah hampir keluar dari masjid dan dia ternampak kelibat saya agaknya, cepat-cepat dia menjerit sekuatnya "Maliziaaa!!"

Saya berundur dan menampakkan muka saya pada imam. Saya tahu saya yang dimaksudkannya meski rakan-rakan Malaysia yang lain juga tinggal di sini. Tapi saya berseorangan ketika itu, jadi siapa lagi? Dia mengajak saya makan bersama. Sepotong kek dan beberapa peket kerepek Walkers. Sambutan apa agaknya, saya sudah tak ingat. 

Sebelum saya meninggalkan bumi Birmingham untuk pulang beraya, saya berjumpa mereka semua terlebih dahulu. Saya teramat rindu untuk qiam dan bersahur bersama mereka lagi, tetapi bukan takdirnya saya bersama mereka hingga ke akhir Ramadhan. Saya bersalaman dan berpelukan dengan Pakcik Hamid Hassan, Imam, dan juga Pakcik/Brother Abdul Latif, seorang lelaki yang petah berkata-kata dan penuh ilmu di dada. 

Selalu saya berjalan sedikit pantas untuk mengejar waktu jemaah. Lalu di hadapan rumah Donald, saya ternampak Scruffy. Sempat membelainya dua tiga kali sebelum mempercepat perjalanan saya ke arah masjid. Perjalanan ke masjid yang tidak lebih dua ratus meter itu diiringi teksi-teksi yang kebanyakannya dipandu oleh orang muslim, singgah untuk solat berjemaah bersama. Saya teruskan langkah. 

Di masjid, saya sempat memperbetulkan lipatan kaki seluar. Bimbang ditegur oleh makmum yang lain. Di sini, mereka berpegang kepada perlunya meninggikan kain seluar sehingga lebih dari atas buku lali. Istilah untuk perbuatan melabuhkan kain seluar ini dipanggil isbal, jadi dalam solat wajib meninggalkannya berdasarkan hadis nabi. Di rumah saya tidak melakukan begitu. Sekadar pengetahuan saya, kita di Malaysia tidak berpegang pada kewajipan meninggalkan isbal kerana mengambil pendapat yang berbeza (betulkan saya jika tersalah, saya masih membaca tentangnya). Apapun, disebabkan ini masjid ‘mereka’, saya lebih senang menyenangkan hati mereka, malah tidak salah pun meninggalkan isbal. Dan takbir pun diangkat setelah semua siap sedia. 
Jemaah yang hadir melakukan solat sunat.
Lihat di saf hadapan paling hujung, akan nampak pakcik yang solat duduk di atas kerusi yang saya tidak tahu namanya. Moga Allah merahmatinya.

Di sebelah saya, seorang makmum yang sudah terlalu lama saya nampak di masjid, tetapi tidak pernah saya ketahui namanya. Makmum ini istimewa, kata Pakcik Abdul Latif, dia tidak pernah tertinggal solat berjemaah di masjid ini semenjak entah bila, sepanjang ingatan saya, memang dia sudahpun berada di hujung saf pertama. Lebih membuatkan saya kagum, dia tidak mampu berdiri untuk solat, cuma duduk di atas sebuah kerusi. Dan jalannya perlu kepada tongkat. Bukankah saya patut malu dengannya? Kalau anda solat di hujung saf kedua, berdekatan dengannya, dia akan cuba sedaya upaya mengalihkan kerusinya sehingga betul-betul ke hujung dinding dan mempelawa ruang untuk kita masuk ke saf pertama di sebelahnya. 

Saya tak akan lupa pertama kali saya benar-benar bertutur dengannya muka bertemu muka, ketika pulang tempoh hari, mengucap selamat tinggal dan selamat hari raya. Katanya, “All the best to you.” Itu saja yang saya ingat dalam ketergesaan saya – wajahnya tulus mengucapkan selamat buat saya.

Banyak lagi jemaah lain yang saya tidak sempat jumpa, tapi tak mengapalah. Mungkin nanti.

Sebelum melintas keluar, mereka meminta saya berkirim salam kepada ibu ayah saya, dan meminta agar didoakan kesejahteraan buat mereka. Imam memanggil saya semula tiba-tiba. Di tangannya terdapat secebis kertas, dan tangannya yang sebelah lagi cekatan menulis sesuatu. Dia menghulurkannya kepada saya. Tertulis nombor telefonnya. 

********** 

Angin petang berhembus dingin. Tidaklah begitu sejuk kerana semenjak kebelakangan ini musim panas sudah tidak dilatari hujan lagi. Hari ini saya juga hanya memakai satu lapisan baju. Berlari-lari anak saya kembali ke rumah rakan saya untuk mengambil beg dan mengejar tren untuk ke lapangan terbang. Hari itu saya akan pulang ke Malaysia. 

Ruang solat Masjid Jalalabad, Selly Oak, pada waktu malam

Sudah jam 6.40 petang. Disebabkan penerbangan saya akan bertolak pada pukul 10 malam, saya harus berada di sana 3 jam sebelumnya. Saya menatap semula cebisan kertas tadi sebelum menyeluknya ke dalam kocek kemeja saya. Jemaah yang selalu saya nampak di dalam masjid harus saya kenali dengan lebih lagi sebelum pulang ke Malaysia buat selamanya nanti.

Sedih, tidak dapat berbuka petang itu bersama mereka lagi – tidak dapat saya merasa bubur wajib berbuka dari negara mereka, entah mereka panggil dengan nama apa. Juga ada kacang kuda pedas yang mengecurkan liur, serta pakora sayur-sayuran yang kadangkala rangup dan kadangkala berisi tebal. Tidak semua orang menggemarinya, tetapi saya serta-merta lapar hanya dengan memikirkannya sekarang. Ah, rindu benar.. oh ya, Mukhliz pun sangat menyukai lauk-pauk itu. 

Bila pula dapat berjumpa dengan pemuda Itali itu; yang hingga kini tak henti mencari cinta? 

Nanti.


[kredit gambar buat Kamal (dari blognya) dan Raja Muhammad Khairuddin (dari facebook)]


3 ulasan:

amir ariff b. fadzil berkata...

mashaallah brother..so beautiful this story..make me miss selly oak as well.. :-)

dan berkata...

well brother!! saya pun rindu huhu. tunggu saya pulang k. hehe

sot berkata...

Alhamdulillah atas segala pengalaman saudara yang dapat dipaparkan untuk tatapan semua, Hidup di dunia sebagai jambatan ke Akhirat.

Related Posts with Thumbnails