Januari 30, 2010

Kirmizi, Selepas Itu Nilakandi


Cinta dan rinduku palsu.
Sekali lagi, aku..
perlu bermula semula, tapi..
di mana titik mulanya?
Melangut pada langit nilakandi,
"Oh betapa palsunya
Kirmizi yang dulu kuagungi!"
tanpa silu ku pekik rayu.

Helaian-helaian rindu, bukan lagi
lembar-lembar ini
tapi suhufMu.

12 September 2009

Nota: Catatan lama, dan ditambah sedikit secara spontan demi lebih memberi maksud dan manfaat. Sengaja dikongsi, demi memberi ruang diri untuk merindui, dan juga memberi ruang masa sebelum blog terisi lebih lagi.

Januari 18, 2010

Zugzwang II: Saksi

Saya suka untuk perturunkan précis saya untuk acara bedah buku ataupun teks ucapan Abu Al-A’la Al-Maududi, presiden Jamaah Islami di Pakistan. Buku yang dikenali dengan tajuk Syahadatul Haq—penyaksian atas kebenaran.

Sebelum itu, saya cuma pendengar. Kini, saya sudah menjadi saksi. Lalu saya harus menyampaikan apa yang benar itu kepada semua, supaya kita dapat saksikan kebenaran ini tertegak. Teks ini disampaikan oleh Al-Maududi di Bandar Sayyal Kaut, barat wilayah Punjab, Pakistan, menjelasi erti dakwah Islamiyyah, teori dan pendekatan terbaik, serta realiti masakini yang sangat perlu difahami. Al-Maududi juga dikenali dengan buku-buku lain seperti Asas-Asas Islam, Dasar-dasar Islam, dan juga Asas-asas Akhlak dalam Harakah Islamiah.



Firman Allah dalam surah Al-Baqarah ayat 143:
"Dan demikianlah (sebagaimana Kami telah memimpin kamu ke jalan lurus), Kami jadikan kamu (wahai umat Muhammad) umat pertengahan, supaya kamu layak menjadi saksi ke atas umat manusia (tentang yang benar dan salah) dan Rasulullah (Muhammad) pula akan menjadi saksi ke atas perbuatan kamu."

Sebagai umat yang berada di tengah, antara Rasul dan manusia, kita harus bersaksi di hadapan kelak bahawa kita telahpun menyampaikan kebenaran. Al-Maududi menegaskan kepentingan berdakwah dan menyampaikan yang haq kepada manusia. Muslim yang mengucapkan syahadah tidak hanya terikat dengan rukun yang lima dan enam itu, tapi juga perlu bersaksi bahawa dia benar akan menyampaikan, sebagaimana Rasul yang telah menyampaikan, kerana kitalah pengganti risalah yang mereka bawa dahulu.

Secara amnya, syahadah ini terbahagi kepada dua: Qauliyyah dan Fi'liyyah. Perkataan dan Perbuatan. Perkataan, apabila kita melaungkan, mengajak, memperkenalkan, apa jua cara demi menjelaskan agama Allah yang agung ini pada sekalian manusia. Dengan pelbagai medium, buku, risalah, majalah, televisyen, internet. Kemudian perbuatan, iaitu memancarkan dan mencerminkan laungan kita, mencerminkan kebenaran kata-kata kita pada perbuatan kita sendiri. Mana mungkin produk pelangsing badan akan laku jika dijual oleh perempuan berbadan montel? Begitu juga apabila kita men'jual' produk kebenaran!

Selain itu Al-Maududi memberi beberapa langkah yang perlu dilakukan. Bermula dengan muhasabah dengan apa yang sedang berlaku pada zaman moden ini, kemudian memulakan langkah menyampaikan kebenaran, dalam satu jemaah. Dalam jemaah, kita bakal kuat. Dan saling membantu. Garis dasarnya haruslah niat kerana Allah, dan akar mesejnya untuk menyampaikan kebenaran.

Mungkin, umat Islam dikecam hebat kini. Mungkin, ramai yang masih belum berani bersuara lantang demi ini.  Jadi, moga-moga zugzwang yang kita buat itupun, adalah diam sebentar, mencari strategi terbaik mematahkan dustanya lawan. Supaya di akhirnya kita juga yang akan mengemat kebatilan. Diam-diam ubi berisi, kata orang. Mulakan sedikit demi sedikit. Yang susah akan jadi senang. Semoga saya dan semua benar beriman dengan ayat 286 surah Al-Baqarah, juga Asy-Syarhu ayat 5 dan 6. Bahawa tanggungjawab yang berat ini adalah mampu kita pikul, dan setelah kesusahan akan datang kesenangan, setelah kesusahan akan datanglah kesenangan.Sama-sama kita mulakan, insya-Allah.

Saya perturunkan juga sedikit bingkisan yang sempat tercetus kala sesi penutup sesi bedah buku ini semalam.  Tajuknya, saya tidak bisa pilih yang lebih baik, tentunya Syahadatul Haq.

SYAHADATUL HAQ

Telah datang awan kebatilan
Maka di manakah saksi-saksi
Kebenaran yang dulu mengarak
di bumantara sejahtera?

Syahadah yang terang
Kaul dan amal adalah saksi
Aku juga akan bersaksi; bukti
aku benar seorang umat pertengahan.

Telah tumbuh duri kebatilan
Maka di manakah saksi-saksi
Kebenaran yang dulu menapak
di bentala sejahtera?

Syuhada Al-Haq, mara!
Belahkan langit dengan cenderasamu
Yang dikumpul berbilah-bilah
Kirimkan risalah islah   
Kelak penggalkan berjuta helah
di hadrat Tuhanmu.

Saksikanlah! Bahawa,
Aku telahpun menyampaikan.

Southampton, UK.
17 Januari 2010
11.45 a.m.

Januari 02, 2010

Deus ex Machina II

Manusia kan sifatnya pelupa. Jauh berkelana melihat dunia, ilmu konon penuhi dada, tapi sikap tiada beza. Lalu manusia lain yang damba perubahan diri, ikhlas memeluk ilmu demi memperbaik diri, kau ketepikan. Dia sibuk diam mendengar, mulutmu lontarkan yang sia-sia. Apa tak patut dia menegurmu di depan sang guru?



Kau tanam kesedaran, ada mata yang melihat, ada telinga yang mendengar, ada hati yang ingin memahami. Kemahuannya ingin berubah, lalu peluang dia kecapi, tanpa sedari matanya berkolam sesal dan hampa: impian kini delusi.

Ilmu kadang sudah kaucicipi, dia mungkin belum lagi, apa rugi kau diam, sekurangnya menghormati dan jadikan kalam itu peringatan kembali?

"Aku ingin berubah." Moga niat sucinya terkabul, impian ikhlas moga makbul. Dan tasik air mata jadi pasang, tiada surut lagi.


Alhamdulillah, semua mata mula memerhatikan sang guru, dan mulut sudah pandai dikatup rapat. Kalaupun telinga liat mendengar, sekurang-kurangnya kau menghormati!

Fathul, terima kasih atas teguran!


Youth Hostel, Loch Lomond, 12.30 p.m. 
24 Disember 2009.


Related Posts with Thumbnails