Mac 27, 2009

Monster: Satu Ulasan

Minggu lepas, saya 'sibuk' menonton animasi Monster--sebuah karya Naoki Urasawa. Pertama kali membaca komiknya di internet suatu ketika di sekolah menengah dulu, rasa sangat teruja. Babak 1 dalam komiknya (sama juga episod 1 dalam animasi) pun sudah mula menyajikan elemen misteri dan saspens. Saya sememangnya peminat cerita misteri, maka sudah tentu misteri yang disediakan dalam Monster sudah cukup membuat saya 'melekat' ketika menonton animasinya, walaupun kualiti animasi kurang mantap dan lukisan yang tidaklah cantik mana, kalau dibandingkan dengan karya-karya seperti Death Note oleh Obata Takeshi, atau Dragon Ball karya Akira Toriyama sekalipun. Namun saya lebih suka berkongsi mengenai cerita dan plotnya yang tidak melampau jika saya katakan begitu ingenious.

Umumnya, Monster mengisahkan seorang doktor pakar neurosurgeon yang berbakat besar, Dr. Tenma Kenzou, berlatarkan negara Jerman lewat tahun 80-an. Tragedi bermula apabila Tenma tidak mengikut arahan pengarah hospital untuk menyelamatkan nyawa Datuk Bandar (Düsseldorf), sebaliknya menyelamatkan seorang budak bernama Johan Liebert yang datang dahulu sebelum Datuk Bandar. Johan, (ketika itu 11 tahun) dijumpai parah dengan kesan ditembak di dahi, dibawa ke hospital Dr Tenma bersama adiknya Anna yang mengalami trauma sehingga tidak mampu bercakap. Tekanan oleh doktor senior dan pengarah, putus tunang dan sebagainya menjadikan Dr Tenma hilang punca--sehinggakan dia meluahkan yang mereka patut mati (kerana lebih mementingkan wang dari nyawa manusia, berikutan kematian Datuk Bandar akibat kegagalan pembedahannya dan kejayaan pembedahan Johan). Beberapa hari selepas itu, misteri bermula: pengarah dan doktor senior yang menekan Tenma dijumpai mati di tempat berlainan pada waktu yang sama, dan dua beradik Liebert telah hilang! Dan Tenma mula disyaki kerana dia mempunyai motif pembunuhan yang jelas.

9 tahun berikutnya, Tenma mengetahui dalang di sebalik pembunuhan tersebut: Johan Liebert. Demi membalas jasa Tenma menyelamatkannya, Johan membunuh mereka kerana terdengar kata-kata Tenma sendiri--'mereka patut mati'--9 tahun lalu. Tenma mula menjadi suspek atas pembunuhan yang dilakukan Johan, dan bermulalah misi Tenma untuk memburu Johan. Johan, lelaki yang kini berusia 20 tahun--punya intelek dan karisma yang tinggi; gemar memanipulasi kelemahan manusia: Inilah yang mereka gelar Raksasa!

'Raksasa' atau 'Syaitan' diguna untuk merujuk kepada Johan kerana Johan merupakan calon 'the next Adolf Hitler' pada masa itu. Dr Tenma, dalam misinya mencari Johan, menyelongkar misteri di sebalik sebuah rumah anak-anak yatim yang sebenarnya merupakan pusat eksperimentasi untuk melahirkan 'askar sempurna' melalui proses psychological reprogramming--melahirkan manusia yang lahir dengan sifat kebencian dan tiada rasa kasihan. Ya, saya juga geram menonton siri ini, kerana memang Johan bersifat syaitan! Dia sanggup membunuh semua ibubapa angkat dan sesiapa yang pernah mengenalinya, biarpun mereka berbuat baik padanya. Di sini saya dapat simpulkan, bahawa dalam masyarakat kita juga wujud manusia seperti ini; sanggup menjahanamkan keluarga sendiri, merosakkan keharmonian umat. Bukankah mereka ini raksasa? Pun begitu, saya berasa sedih, bagaimana kanak-kanak ini boleh terpilih untuk ke Kinderheim 511 (rumah anak-anak yatim tersebut) untuk dijadikan manusia berhati binatang ini?

Di tengah-tengah siri ini, penonton akan mula menelusuri asal-usul Johan, kenapa dia dipilih sebagai bahan eksperimen, tujuan eksperimen dan perancang di sebalik semua yang berlaku. Begitu terkejut ketika mengetahui yang semuanya berpunca dari sebuah buku cerita! Buku cerita itu ditulis oleh Emil Schebe, yang sebenarnya mastermind dalam program eksperimen tersebut. Ceritanya adalah mengenai seekor raksasa yang sangat menginginkan nama, tapi di akhirnya, setelah mendapat satu nama, dia memakan semua orang di sekelilingnya sehingga tiada orang hendak memanggil namanya lagi. Tahu apa nama yang raksasa tersebut peroleh? Johan. Dan Johan di dunia nyata mengambil kisah ini sebagai misinya: Menghapuskan semua yang mengenalinya!

Saya suka membincangkan mengenai latar yang digunakan. Latar masyarakatnya sangat universal, walaupun terikat di beberapa tempat di German dan satu tempat di Prague, Czechoslovakia. Antagonisnya sendiri merupakan warganegara Jepun. Dalam satu episod, terdapat satu keluarga yang ahlinya terdiri dari pelbagai bangsa, datang dari pelbagai negara, etrmasuklah Turki, Vietnam, dan banyak lagi yang sebenarnya merupakan mangsa dari pembunuhan ahli keluarga mereka. Keharmonian perlbagai budaya yang ditonjolkan sangat menyerlah, khususnya dapat dilihat pada makanan yang dimasak setiap hari. Setiap hari, kata mereka, mereka sangat beruntung kerana dapat merasa masakan dari pelbagai negara. Begitu juga kita, masyarakat Islam, sepatutnya perlukan pada toleransi. Saya masih ingat pada falsafah seorang rakan Cina saya--falsafah yang diambil ketika memakan Yee Sang. Pada ketika itu semua mengambil makanan itu bersama-sama. Tiada permusuhan. Tiada yang dapat lebih dan kurang, masing-masing boleh ambil ikut suka. Bukankah Islam juga sifatnya begitu? Adil.

Satu lagi kekuatan karya Urasawa ini ialah dari segi perkembangan jalan ceritanya, serta plot yang ditampilkan. Ya, setiap watak punya peranan yang besar. Dari sekecil-kecil perkara, yang mungkin kita anggap tidak penting, sebenarnya punya signifikasi yang besar dalam mengolah sebab dan akibat dalam Monster. kadang-kadang, pembantu pejabat yang sering terlupa mengunci pintu, boleh jadi 'penyelamat' dari dibunuh oleh penjenayah! Ini dapat disaksikan ketika Dr Reichwein, bekas pensyarah Dr Tenma di universiti, hampir-hampir dibunuh oleh Roberto, orang bawahan Johan, tetapi dapat menyelamatkan diri kerana pembantu pejabatnya terlupa mengunci pintu belakang. Ketelitian dalam membentuk sebab dan akibat ini memang menjadikan Monster satu karya yang mantap. Belum lagi dikira perkaitan yang kompleks dalam suku akhir siri ini. Terdapat banyak watak dan imbas kembali saling berkait, misteri dan rahsia terbongkar satu per satu, sampaikan pada episod akhir juga, cerita ini sebenarnya masih belum punya penyelesaian. Apa, anda mengharapkan happy ending? Jangan; bukan dalam Monster, sama sekali jangan ada harapan sebegitu.

Begitupun, setiap perkara ada kelemahannya. Walaupun plotnya mantap, tetapi unsur arak dan seks banyak diselitkan dalam Monster. Eva, bekas tunang Tenma contohnya, sering dilihat mabuk kerana tertekan dalam hidup. Braun yang menyiasat kes Johan juga ketagihan arak sehingga membawa pada pembunuhannya. Johan pula sanggup meracun fikiran kanak-kanak dengan menghantarnya ke kawasan pelacuran di sebuah bandar, sampaikan budak itu hampir membunuh diri kerana apa yang dilihatnya. Jelas, Monster sebuah karya yang bukan untuk kanak-kanak kerana pengaruh negatif saya rasakan begitu kuat. Tanpa ada fikiran yang rasional dan iman yang mantap kanak-kanak mungkin akan terpengaruh (ada juga babak menunjukkan seorang budak pergi ke bar dan meminum segelas arak). Monster adalah sebuah karya yang lebih tertumpu pada sosial dan masyarakat. Banyak juga simbolik yang menguja penaakulan dan interpretasi penonton, contoh mudahnya buku-buku cerita yang dihasilkan oleh Emil Schebe yang saya sebutkan sebelum ini, yang banyak berkait dengan masyarakat.

Keseluruhannya, saya memang suka dengan Monster. Walaupun tidak faham sepenuhnya (sebab tak terhadam semua maklumat--saya menonton hampir 15 episod sehari, dalam masa 5 hari, tak mahu mengganggu masa ulangkaji kononnya) saya masih suka kerana elemen misteri yang disediakan lain dari yang lain. Ada satu episod, yang pada waktu itu rakan Tenma menyiasat 3 kes bunuh berbeza--tetapi dia menyedari 3 pembunuhan itu disuruh oleh orang yang sama, tetapi dilakukan oleh 3 orang yang tiada kaitan supaya orang tidak akan mengesyaki yang dalangnya adalah orang yang sama: Johan. Ingenious, bukan? Kalau mahu tahu lagi tentang Raksasa bernama Johan ini, boleh meneliti komiknya, atau tonton animasinya (yang berjumlah 74 episod kesemuanya, haha).

Mac 24, 2009

Mikhail

Judul: Mikhail
Penulis: Ramlee Awang Murshid
Tahun Terbit: 2009
Penerbit: Alaf21
Harga: RM19.90

Seperti yang dijanjikan, saya sempat juga menulis entri ini. Sudah lama juga tak membaca buku secara serius. Inipun mencuri-curi masa studi. Tiga minggu lepas sibuk dengan peperiksaan percubaan, dan minggu lepas saya pergi ke kem BTN. Tidak banyak masa membaca seperti dahulu lagi. Mungkin selepas tamat A-level saya boleh membaca sepuasnya semula.

Berbalik pada buah tangan terbaru Ramlee, jangkaan awal saya sebenarnya berbeza dengan impak yang dibawa oleh novel ini kepada saya. Awalnya, saya meramal Mikhail tidak ubah seperti beberapa novelnya sebelum ini, yang punya lambakan watak yang memeningkan di awal cerita. Tapi kali ini watak-watak yang disajikan adalah optimum, dan setiap watak mempunyai signifikasi tersendiri dalam mengembangkan plot cerita. Perkaitan yang jelas antara watak menjadikan cerita tidak sebegitu kompleks. Saya masih ingat Ungu Karmila, di awal cerita karektor cerita di awalnya sedikit banyak, dan kadang-kadang mengelirukan. Saya juga sudah menyatakan pendapat tentang ini dalam ulasan Hijab Sang Pencinta.

Melihat kepada jalan cerita Mikhail, saya suka sekali misteri yang disajikan. Kisahnya mengenai seorang pembunuh profesional yang bernama Mikhail, dilatih oleh Dickens untuk membalas dendam terhadap keluarganya, keluarga Tuan Sadon, yang dibunuh oleh 4 orang lelaki yang bergelar ahli korporat sekarang. Komplikasi timbul bila Dickens mengarahkan dia membunuh anak kepada Halim, salah seorang dari empat yang terlibat dalam kes 16 tahun dulu. Dia jatuh cinta pada Reina Raihana, anak kepada Halim. Pemburu jatuh cinta pada mangsa? Mustahil dia akan berjaya! Semenjak dia gagal menembak Raihana, dia menyedari terdapat seorang lagi pembunuh sepertinya yang sedang memburu dia. Dia mengesyaki Dickens terlibat dalam komplot ini. Lalu misi mencari kebenaran bermula.

Mikhail mempunyai penyakit paranormal--apabila terkena tujahan sinar matahari atau cahaya yang tajam, dia akan terpindah ke satu alam lain. Dalam alam itu, dia berada di sebuah kampung di Utara Malaysia, dan di dalamnya dia melihat seorang penagih dadah bernama Tahir. Mikhail menceritakan kisah-kisah delusinya kepada Raihana dan mereka pun mengembara ke Utara untuk membongkar rahsia di sebalik masa silamnya. Ketika itulah mereka mengetahui perkara sebenar: Mikhail bukan anak kepada Tuan Sadon. Lalu, siapa Tuan Sadon? Dan, siapa pula Tahir yang hadir dalam alam paranormal itu?

Sehingga Mikhail menyedari siapa dirinya yang sebenar, saya rasa jalan cerita Mikhail sedikit mendatar. Sampai sahaja babak ini, cerita berkembang pantas. Pengkhianatan dibongkar. Rahsia demi rahsia diketahui. Identiti Mikhail juga sebenarnya melibatkan sebuah pertubuhan rahsia besar di seluruh dunia yang menggunakan wang $1 USD sebagai suatu killer signature setelah melakukan pembunuhan. Teruja sekali bila mengetahui watak utama adalah Mikhail hanyalah suatu identiti international hitman!

Pembawaan watak jahat sebagai watak utama adalah satu lagi kekuatan novel ini. Bukan mudah mengembangkan watak jahat sebagai watak utama. Kebiasaannya, watak baik akan lebih mudah dibawa sebagai tunjang. Pembunuh pun boleh jadi watak utama. Suata yang menarik dan di luar kebiasaan. Konflik dalaman yang berlaku kerana cinta juga membangkitkan satu pengajaran: Kejahatan boleh dibius dengan cinta!

Umumnya saya menyukai Mikhail. Jalinan sebab dan akibat yang dipertontonkan, selitan imbas kembali yang mengujakan juga menarik minat saya. Membaca Mikhail adalah seperti melihat sebuah filem antarabangsa tetapi latarnya di Malaysia. Ternyata, Ramlee memang penulis novel thriller terbaik Malaysia. Ya, saya berpuas hati dengan karya Ramlee yang ini. Boleh beri 4 bintang dari 5!


Mac 03, 2009

Telaga Budi


Judul: Telaga Budi
Penulis: Tuan guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat
Susunan: Annual Bakri Haron
Tahun Terbit: 2009
Penerbit: Anbakri Publika
Harga: RM18
Mukasurat: 218

"Telaga terlalu sinonim dengan alam desa. Ia sumber kehidupan. Ia lazimnya redup. Ia sumur tempat menghilang dahaga. Ia menyejukkan. Ia tempat utama takungan budi. Hanya ahlinya jualah yang sedia memahami hikmah kata-katanya."

Menarik? Ini baru prakata dari penerbit. Bila saya membaca awal perenggan ini terus terasa nak membaca sampai habis. Tak sampai sehari sudah habis baca separuh. Beli semasa menunggu Ridhwan Affandi, seorang rakan yang sambung belajar di Australia yang saya hantar di KLIA, dua Jumaat lepas. Sambil-sambil tu sempatlah saya baca beberapa muka.

Telaga Budi merupakan himpunan kata-kata hikmah atau quotation dari Tuan Guru yang dipetik dari ceramah-ceramah, tazkirah dan juga perjumpaan dengan beliau. Kebanyakan topik perbincangan dalam kata-kata beliau dalam buku ini hampir sama atau dekat-dekat tajuknya. Namun, sebenarnya buku ini bukan karya Tuan Guru sepenuhnya. Huraian dan kewajaran bagi petikan kata-kata Tuan Guru ini ditulis dan disusun oleh Annual Bakri Haron. Antara perbincangan utama dalam buku ini ialah masalah 'semangat kebangsaan' atau perkauman, yang rata-ratanya menyindir sinis bangsa Melayu yang terlalu mempertahankan Melayu dan mengetepikan Islam yang sebenarnya memuliakan mereka. Bukankah telah disabdakan, Islam itu tinggi dan tidak ada yang lebih tinggi daripadanya. Disebabkan Islamlah juga, disebut lagi, masyrakat Melayu dan kesultanan di Melaka dahulu mencapai zaman kegemilangan. Juga, penulis mengingatkan tentang kata-kata Nik Aziz tentang asal kita yang satu--Nabi Adam. Tak kiralah Melayu atau India, Cina atau Inggeris semuanya berasal dari rumpun yang satu; jadi apa guna berbalah dengan menggunakan alasan perkauman?

Selain persoalan bangsa, isi kandungan buku ini juga memetik tulisan Tuan Guru dalam bukunya, Tanpa Syarat, mengenai pengawasan oleh Allah. Yakni, tiada yang bisa lari dari penglihatan Tuhan. Islam, yakni cara hidup kita, secara tidak langsung menjadi fasilitator dalam membimbing kita ke arah kebenaran dan menjauhi kesesatan secara total. Tidak lupa, dalam bab Islam sebagai fasilitator ini, dibincangkan mengenai ujian bagi setiap individu: Sejauh mana kita berusaha melaksanakan Islam? Sebagai pemimpin, sebagai rakyat, sebagai ibubapa, dan dalam konteks apa jua pun, sudahkah kita laksanakan yang terbaik demi agama? Dan lebih 20 himpunan kata-kata lain Tuan Guru yang boleh kita cerna dan ambil manfaat dari naskhah ini, selain yang saya sebut di atas.

Sedikit kelemahan dari buku ini, ialah kadang-kadang kata-kata yang sama diulang dua kali. Dan bezanya adalah isi huraiannya sahaja. Mengapa tidak disatukan saja? Lebih mudah untuk kita fahamkan mesejnya. Juga, ada kata-kata yang berbeza diambil, cuma topik perbincangannya sama. Ini juga saya rasa patut digabung bersama dalam satu bab supaya ia menjadi lebih mudah untuk pembaca memahaminya. Namun, kualiti buku Anbakri Publika yang sangat baik tak pernah menghampakan saya, dan sekurang-kurangnya ia menutup sedikit kelemahan ini.

Ya, sangat banyak ilmu yang boleh kita hadam dari sebuah buku sahaja!

"Dengan latar belakang Islam sepenuhnya yang boleh dijejaki daripada biografi hidupnya, tidak syak lagi apa yang keluar daripada beliau adalah kata-kata yang terbit dari hening telaga ilmu berteraskan keimanan dan keyakinan. Tidak mungkin segayung air yang jernih diceduk dari telaga yang keruh. Masakan!"

"...kata-kata beliau kukuh bersandar. Jika ia sehimpun kayu, duduknya terletak."

Apalagi? Capai buah tangan terbaru ini sekarang!

Related Posts with Thumbnails