Oktober 05, 2008

Sangeetha

*Dah puas beraya, jom membaca kejap..

Judul: Sangeetha
Pengarang: Azizi Hj Abdullah
Penerbit: DBP
Genre: Novel Dewasa
Halaman: 561
Terbitan: 2006

Tentang Buku Ini: Cinta tidak mengenal usia, rupa, darjat, bangsa dan agama. Cinta yang terluah dan disambut, alangkah indahnya. Cinta yang terhalang derita jadinya. Namun, bagaimana jika cinta itu cinta terpendam, datang tanpa diundang, keliru antara sayang dengan kasihan? Kata orang, adat muda menanggung rindu, namun jika orang tua yang memendam rasa, bagaimana?
Sangeetha, cerita cinta terpendam antara warga emas India dengan Melayu yang tidak diluahkan melalui kata-kata. Bagaimana kesudahannya?

*Novel Ini Adalah Pemenang Hadiah Novel Mastera 2007

Pendapat Saya: Saya ambil masa hampir 2 bulan untuk menghabiskan novel ini. Apa sebabnya, ada dua: 1. Mungkin disebabkan ketebalannya. 2. Mungkin disebabkan jalan cerita, terutama di bahagian tengahnya. Kalau ada sebab ketiga: Bahasa, mungkin? Agak banyak perkataan yang tanpa rujukan kamus, saya takkan faham (walaupun saya tak sempat sangat tengok kamus pun). Bila ambil masa 2 bulan, emosi ketika membaca buku ini beransur-ansur hilang. Yalah, dah mula bosan pun ada. Tapi jangan lupa, novel ini ada daya penariknya, barangkali itu yang membuatkan saya membaca hingga ke hujung.

Setiap bab dimulakan dengan sebuah puisi yang sedikit sebanyak menjelaskan isi bab tersebut. Kebanyakannya pantun, dan diambil dari hikayat-hikayat terkenal contohnya Hikayat Malim Deman ataupun Hikayat Awang Sulung Merah Muda. Secara tak langsung puisi yang dimuatkan ini dapat menimbulkan emosi kepada pembaca. Biar saya beri beberapa contoh pantun yang saya sangat suka:

Jangan berpauh-pauh padi,
Ada biduk serempu pula;
Jangan berjauh-jauh hati,
Asal hidup bertemu juga.

(Hikayat Malim Deman)

Rindu rendang bawa ke kandang,
Batang bayam ditumiskan;
Rindu siang bawalah bertandang,
Rindu malam ditangiskan.

(Hikayat Awang Sulung Merah Muda)

Enggang menunggu di pokok rimbun,
Anak kedidi si anak budu;
Renggang seminggu bagaikan setahun,
Merajuk hati menjeritlah rindu.

Wah, emosi, emosi! Bayangkan dua orang yang saling merindui, tapi tak pernah meluahkan kata cinta. Dan bayangkan bila rindu itu menjadi-jadi, membawa rajuk tangis, membawa syak wasangka, sehingga terbayang-bayang di mata. Begitulah rindu dan kasih Sangeetha, janda 80 tahun, pada tukang kebun rumahnya Derus. Baginya Derus penyeri hidup di kala pikun kehidupannya. Juga pada Derus yang sudah 70 tahun, biar lebih muda, kadang memanggil Sangeetha dengan gelaran 'puan' atau 'kakak', merasakan perkara yang sama. Cinta itu buta, bukankah? Usia, agama mahupun bangsa bukan penghalangnya.

Bahagian tengah buku saya terasa agak bosan. Pada bahagian ini, kita akan banyak menelusuri rindu dan rajuk dua watak ini dan bagaimana berkembangnya cinta keduanya. Walaupun sedikit bosan saya tetap membaca perkataan demi perkataan ya. Dan saya kembali membaca secara serius setelah kemunculan adik Sangeetha, Meena, yang tidak ketemu berpuluh-puluh tahun lalu, berpisah kerana dahulunya ingin merampas suami Sangeetha, Viralal, yang telah pun meninggal dunia. Pada masa ini kemunculan Meena membawa rasa cemburu pada Sangeetha kerana kelakuannya terhadap Derus. Dan Derus menjauhkan diri kerana terasa dirinya tidak diperlukan lagi di rumah tersebut; bukankah sudah ada adik kandung yang dapat menolong Sangeetha di usia tuanya? Ah, masing-masing 'perasan'.

Antara lain elemen menarik: penggunaan simbol bangsa melalui alat muzik (gambus-Melayu, tabla-India), kehadiran binatang seperti kucing Sangeetha (Meo) dan merbuk hitam di hadapan rumahnya yang manja dan nakal, juga Moris Minor hitam yang mengeratkan hubungan Derus-Sangeetha. Usia tua digambarkan dengan perkataan yang sesuai, penerangan yang diberi jelas, juga perincian dalam penceritaan; menjadi bukti novel ini satu novel yang baik. Jangan lupa, plot dijalin dengan sangat bagus, setiap sebab berakibat dan tiada akibat berlaku tanpa sebab yang kukuh.

Tapi saya sedikit keliru dengan epilognya, adakah Sangeetha mengikut jejak langkah arwah suaminya? (Waktu ini saya terpaksa membaca dengan amat laju kerana sudah mahu pulangkan di perpustakaan, dah terlewat dua minggu, kena bayar RM2.40. Mungkin sebab itu kurang faham walau membaca muka akhir dua tiga kali)

Adakah saya mencadangkan buku ini untuk dibaca: Ya. Cubalah membacanya. Anda pasti rasa berbeza membaca kisah cinta warga emas ini. Tak bosankah membaca buku berunsur chic lit dan romance yang cliche yang melambak di pasaran kini? Tapi ya, anda perlu sedikit sabar membaca yang ini, kerana ia sebuah novel cinta beremosi, apatah lagi orang tua penuh dengan rajuk rindu tangis mereka. Ya satu lagi, anda boleh belajar banyak kosa kata bahasa Melayu melalui novel ini. Dalam bab-bab akhir penulis menggunakan banyak sekali ayat-ayat yang cantik, tak tertulis contohnya di sini. Teringin baca 50+ mukasurat terakhir Sangeetha sekali lagi!

Beli terus secara online di sini.

*Sangat gembira membaca telatah manja Meo dan merbuk yang selalu bertekuku-kuku dan beraww-aww serta berwar-war-kong itu. Merbuk nakal! Tahu-tahu Derus datang, di'beritahu'nya cepat-cepat pada Sangeetha. (foto diambil dari ujanailmu.com)

2 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

sangeetha...
ari tuh cuti raya ada ceta kt tv...
tajok dia sangeetha gak...
pasal warga emas india nama sangeetha..
tp aku x tgk ceta dia...
ceta yg sama ke x xtahu lah...
cm tringin gak nk baca...
part pantun tuh cm menarek...
aku suka kumpul pantun2 melayu lama...heee~
nk try cr kt library, tp cm xda masa ja nk baca...
baca tang pantun ja la...hehe~

dan berkata...

haah hari tu aku tgk iklan raye kat suratkhabar.tringin gak nak tau cerita dia sama ke. ruginya sbb dah terlepas time tu.

baca la pantun tu. sangat sedap.

sori for the very late reply!

Related Posts with Thumbnails