Mac 16, 2008

Kenali Diri: Signature for Success


Judul: Signature for Success
Penulis: Arlyn Imberman
Penerbit:
Tahun:
Harga: RM62.95

Ketemu buku menarik ini di perpustakaan. Topiknya bukanlah tentang tandatangan semata. Buku ini menghuraikan mengenai kajian personaliti melalui tulisan tangan seseorang, atau ringkasnya, grafologi.

Belajar mengkaji tulisan seseorang dengan buku ini memeang mudah, senang, ringkas, tapi padat. Pendekatan yang digunakan penulis untuk menghuraikan karakter seseorang ialah langkah demi langkah. Bermula dengan ciri-ciri pada sekeliling tulisan, kemudian ke dalam tulisan itu sendiri, seperti huruf, jarak antara perkataan, tekanan ke atas kertas, dan penafsiran secara Gestalt (menyeluruh) memudahkan pembaca amatur dalam grafologi untuk catch-up isi-isi penting dalam buku ini. Sekaligus menjadikan orang yang tak tahu apa-apa, bila membacanya juga berminat untuk mencuba bidang ini. Saya contohnya. Tertarik betul. Tak sangka tulisan sendiri boleh menceritakan banyak perkara tentang kita. Ini dihuraikan dalam buku ini juga. Kata penulis, tulisan kita sebenarnya 'ditulis' oleh otak, bukan oleh tangan. Rangsangan minda dan emosi seseorang mampu mempengaruhi tulisannya.

Disertakan penulis, beberapa kaedah untuk grafologi diaplikasikan dalam kehidupan seharian. Memilih rakan, memilih pekerja baru, mengkaji sikap pelajar, sehinggalah ke memilih teman hidup. Dengan meneliti tulisan kita, ia dapat membantu proses self-discovery. Kemudian kita mampu memperbaiki kekurangan diri dan memperbaiki hubungan kita dengan orang lain di sekeliling kita.

Selain tulisan, tandatangan kita juga merupakan simbol diri kita. Jikalau tulisan tangan merupakan simbol peribadi (private) kita, tandatangan mencerminkan simbol awam atau public. Maksud saya begini. Tandatangan adalah sesuatu yang kita selalu gunakan di mana-mana kan? Ini merupakan cerminan diri kita di hadapan orang ramai. Manakala tulisan tidak kita selalu tonjolkan kepada orang ramai, jadi ini menggambarkan diri kita apabila tidak berhadapan dengan orang lain. Kalau tulisan dan tandatangan mencerminkan personaliti yang sama, ini bermakna dia menunjukkan dirinya yang sebenar di hadapan orang lain. Tiada apa yang disembunyikan. Dia adalah dia. Tapi jika berbeza antara dua, ini bermakna di hadapan dan di belakang umum, dia mempunyai karakter berbeza. Mungkin ada sesuatu yang perlu disembunyikannya dari khlayak ramai. Faham? (Pening jugak nak tulis kat sini, kalau tak faham tu, buat-buat faham je la)

Tak ketinggalan, untuk membantu pembaca mencuba grafologi, penulis menyebut mengenai cara-cara mendapatkan sampel tulisan seseorang. Perlu minta izin? Macam mana nak cakap pada orang yang kita mintak tu? Apa yang perlu suruh orang tu tulis? Panjang atau pendek? Semua terjawab dalam Signature for Success. Jika berminat dengan grafologi, apakata capai buku ini segera.

Mac 10, 2008

The Kite Runner


Judul: The Kite Runner (TKR)
Penulis: Khaled Hosseini
Penerbit: Bloomsbury
Tahun: 2003

Sedih. Terharu. Geram. Marah. Simpati. Gembira. Teruja. Kecewa. Terpesona. Kagum. Semuanya boleh kita rasa semasa membaca novel ini. Kesannya mendalam, bagi saya ia masih lekat di hati. Memang layak mendapat title bestseller.

*****

Pasti setiap daripada kita punya teman. Tapi, adakah layak mereka digelar sahabat? Bersama waktu suka duka. Menolong kita apabila kita amat memerlukan. Begitulah Hassan kepada Amir. Biarpun hanya anak kepada pembantu rumah Amir, yang berketurunan Hazara (boleh dikatakan golongan hamba), Hassan menjadi teman yang amat setia kepada Amir sejak kecil lagi. Hubungan yang rapat itu mungkin juga disebabkan mereka menyusu dengan ibu susuan yang sama, kerana kedua-duanya kehilangan ibu sejak lahir lagi.

Amir sering bermain dengan Hassan di bawah sepohon pokok delima kegemaran mereka. Berkongsi cerita, menghabiskan masa bersama. Bagaimanapun; Amir, biarpun hidup senang sebagai anak kepada saudagar kaya yang terkenal di Kabul, dia masih tetap rasa kekurangan. Dia menyedari Hassan lebih mendapat perhatian ayahnya. Amir lantas mencuba menambat hati ayahnya sedaya upaya. Hinggalah di dalam pertandingan layang-layang pada musim sejuk 1975, dia mendapat peluang itu.

Namun pada hari yang sama, satu tragedi terjadi kepada Hassan. Insiden yang merampas senyuman dari wajahnya. Memperbaiki hubungan Amir dengan ayahnya tetapi merosakkan persahabatan Hassan dan Amir. Kejadian yang mengubah haluan hidup kedua sahabat baik itu.

Kejadian itu menghantui Amir sehinggalah dewasa. Segala yang berlaku dalam tahun-tahun berikutnya sentiasa dikaitkan dengan kejadian pada musim sejuk itu. Namun, 26 tahun selepas itu, Amir menerima panggilan telefon dari Pakistan. Panggilan dari rakan baik ayahnya, Rahim Khan; memberi peluang untuk Amir menebus kesalahannya terhadap Hassan. Redemption. Masih ada cara untuk menjadi baik semula, kata Rahim. A way to be good again.

Dalam perjalanannya 'menjadi baik semula', Amir menyedari banyak perkara. Dia lebih faham tentang ayahnya. Tentang sahabatnya Hassan. Tentang semua yang berlaku selama 26 tahun sebelum ini.

Secara peribadi, saya paling suka plot ceritanya yang amatlah tak dapat dijangka. Kejutan demi kejutan diberi penulis. Babak tragedi Hassan pada hari pertandingan layang-layang, contohnya. Mulanya hanya dipukul ditumbuk. Tapi apa yang terjadi tiba-tiba...mengejutkan. Rahsia yang dibongkar oleh Rahim Khan di Pakistan juga mengejutkan. Amat mengejutkan. Ditambah pula dengan kekemasan naratif dari segi jalinan masa ke masa yang begitu mengagumkan.

Selain plot, suasana dan latarnya amat hidup. Afghanistan 'hidup' dalam The Kite Runner kerana bahasa yang digunakan. Bakhsheh (kemaafan), khasta (letih), khoshteep (kacak), tashakor (terima kasih)..dan banyak lagi. Bahasa Parsi/Pashtun yang tak terlalu banyak dan tak terlalu sikit ini, memberi impak kepada pembaca, seperti sentiasa mengingatkan saya yang saya sekarang berada di Afghanistan. Menghirup udaranya. Merasai kesegarannya suatu waktu dahulu. Dan, merasai sengsara dan kemusnahannya kini. Nilai sejarah dalam TKR juga tak dapat diabaikan, contohnya Penjajahan Rusia di Afghanistan sekitar tahun 1980-an, sehinggalah robohnya World Trade Center pada tahun 2001, boleh dicerna dari novel ini.

Melalui novel ini, saya banyak belajar. Tentang betapa penting akidah Islamiah dalam diri. Betapa penting iman di hati. Dan, harapnya saya akan sentiasa ingatkan diri saya, seperti Rahim mengingatkan Amir, bahawa masih ada jalan untuk menebus dosa silam. There is a way to be good again.

Dan saya akan cuba menjadi seorang sahabat seperti Hassan, setia kepada Amir hingga ajalnya tiba. Sanggup berkorban untuknya, biarpun permintaanya beribu. Saya akan mengingati, cuba sedaya saya untuk mengingati, kata-kata Hassan kepada Amir pada musim sejuk tahun 1975 itu.

For you a thousand times over.

*Sudahpun diadaptasi menjadi filem (gambar dua budak -poster filem), The Kite Runner telah diterbitkan oleh beberapa syarikat penerbitan lain selain Bloomsbury. Novel kedua Khaled Hosseini, A Thousand Splendid Suns, telah terbit tahun lepas. (Tak sabar nak baca novel Khaled yang seterusnya!)

Mac 03, 2008

The Language Report

Judul: The Language Report
Penulis: Susie Dent
Penerbit: Oxford University Press
Tahun: 2003
Mukasurat: 160


Bukan selalu kita bincangkan buku non-fiction di ruangan ini. Saya terjumpa buku ini secara tak sengaja di perpustakaan, masa tengah bosan. Tak tersangka buku ini cukup menarik.

TLR menceritakan mengenai perkembangan bahasa inggeris dalam jangka masa 100 tahun - perkataan baru yang muncul, trend bahasa semasa, bagaimana munculnya perkataan baru dalam pelbagai bidang seperti sukan, perang, hiburan, teknologi, fesyen dan sebagainya. Tapi, bukanlah keseluruhan buku ini melaporkan tentang bahasa inggeris dalam jangkamasa itu. Kebanyakannya berlaku pada tahun 2002 hingga 2003.

Di Amerika terutamanya, perkataan baru muncul dengan kadar yang amat cepat - khususnya berkenaan hiburan dan seks. Kicking the gear stick dan ride the punani contohnya, merupakan antara frasa yang muncul, dan membawa maksud yang sama: to have sex. Banyak frasa yang kita tidak gunakan di Malaysia tentunya, kerana mereka hidup berorientasikan hedonisme. Namun kita boleh lihat bagaimana remaja merupakan pihak yang menjadi trend-setter dalam penciptaan perkataan baru dalam ruang lingkup hedonisme ini.

Selain perkataan dan frasa, penulis juga mencatat mengenai slogan-slogan dan tagline yang digunakan oleh produk-produk ternama, contohnya produk rokok dan makanan. Antara yang paling saya ingat ialah Kit Kat, yang slogannya, Have A Break, Have A Kit Kat, telahpun digunakan sejak sekitar tahun 1955! Begitu juga Nike dengan slogannya Just Do It. Ia mula digunakan sejak tahun 1988.

Dalam bidang teknologi juga perkataan baru muncul dengan pesat, sepesat perkembangan teknologi. Kewujudan chatroom dan laman sembang maya telah mewujudkan singkatan-singkatan yang banyak digunakan di dalam SMS dan e-mel yang dihantar dengan ringkas. Contohnya banyak, antaranya, HAND (Have a nice day), CWOT (Complete waste of time) atau simbol ringkas seperti XOXO (hugs and kisses -peluk cium). Jika kita lihat perkembangan internet pula, perkataan yang berkaitan yang timbul ialah World Wide Web (WWW) yang dicipta pada tahun 1990, ataupun blog (weblog) sejak 9 tahun lalu (1999).
Yang paling menarik ialah pada bab World English, iaitu bab yang membincangkan tentang perkataan dari negara lain yang dipinjam ke dalam bahasa inggeris. Salah satunya adalah dari Malaysia, iaitu pondok yang bermakna hut!
Pada bab akhir, penulis menyertakan senarai 'satu tahun, satu perkataan' bermula tahun 1903 sehingga tahun 2003. Selain itu, terdapat bab berkenaan sukan, politik, tajuk-tajuk berita, kata-kata atau quote dari artis dan figura inggeris ternama, serta penyalahgunaan tatabahasa dan gaya bahasa. Lihatlah bagaimana bahasa inggeris berkembang dalam 100 tahun dengan buku ini. Rugi juga kalau tak baca, terutama bagi rakan-rakan saya yang akan belajar di Amerika dan UK nanti.
Related Posts with Thumbnails