Memaparkan catatan dengan label UK. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label UK. Papar semua catatan

November 21, 2013

Nottingham, 1/3

Assalamualaikum Naqeb,

Riuh benar pusat sukan di University of Nottingham ini! Aku sempat menjenguk perlawanan bola keranjang, badminton dan ping pong. Berjumpa dengan ramai orang, kenalan lama dan baru! Saling bertukar nombor telefon dan memperkenal diri. Ramai sungguh orang Malaysia berkumpul, hampir tak terkesan orang putih di sini. Apalagi, berhabuklah bahasa Melayu terjerit sana sini.

Di hadapan Portland Building, hub aktiviti utama -
pameran, solat dan makan di sini
Oh ya, sempat juga awal pagi tadi menjamah makanan Malaysia beraneka jenis. Tepung pelita, sate, cendol, karipap, bubur lambuk, hai terkecur liur sajalah engkau kalau merindui juadah tanah air ini; lagi-lagi kalau kau jemu menatap ayam dan kentang goreng yang melambak di England!

Hari ini sangat cerah, langit persih tiada awan. Daun sudah mula merah, menguning dan pohon kian 'mendogol'. Aku mungkin tak sempat berjumpa Syahir disebabkan tempat pertandingan bolasepak agak jauh, dan aku pula akan balik petang nanti. Aku kira telefon saja yang akan jadi pengganti.

Aku cuma terfikir kata-kata Abang Fahmi kepadaku: "Betulkan niat untuk pergi ke Nottingham." Itu dia beritahu kami berdua, aku dan teman serumahku Anuar, ketika dalam tren menuju ke sini. Saat itu dia membaca naskhah Konsep Ikhlas dan Niat Menurut Islam karya Dr. Yusuf Al-Qaradhawi. Aku terkedu kerana aku tak pasti apa niatku. Bukankah setiap amalan itu bermula dengan niat? Apa ikhlaskah aku? Bukankah amalan takkan diterima jikalau tiada ikhlas disertakan? Risau benar aku, Naqeb. Jadi aku cepat-cepat berniat panjang:

Aku mahu menimba ilmu dan pengalaman. Dari segala yang aku kecap dari deriaku, moga itu mendekatkan jarakku dengan Tuhanku.

Itik di sini besar, comel dan sangat mulus!

Sports Centre, University of Nottingham
31/10/09, 11.40 a.m.

************

Sengaja saya kongsi surat yang ini - satu, kerana Nottingham Games sudah selesai di UK tahun ini, jadi 'surat' pada tahun 2009 ini sebagai kenang-kenangan. Dua, sempena tahun baru hijrah, untuk kembali mengingatkan tentang hadis niat dalam buku Hadis 40 dan syarahnya karya Imam Nawawi yang membicarakan panjang lebar tentang mereka yang berhijrah dengan dua matlamat - untuk Allah dan Rasul, atau untuk menemui wanita yang ingin dinikahi. 

Ganjaran amalan apapun bakal ditentukan oleh niat seseorang, dan disebabkan itulah niat terlalu penting. Atas alasan yang sama, hadis ini mengungguli halaman karya Imam Nawawi. Malah Imam Syafie dan lain-lainnya turut menganggap hadis yang diriwayatkan oleh Umar Al-Khattab itu merangkumi sepertiga Islam!

“Daripada Amirul Mukminin Abu Hafs 'Umar ibn al-Khattab Radhiallahu ‘anhu beliau berkata: Aku mendengar Rasulullah Sallallahu ’alaihi wasallam bersabda: Bahawa sesungguhnya setiap amalan itu bergantung kepada niat, dan bahawa sesungguhnya bagi setiap orang apa yang dia niatkan. Barangsiapa yang hijrahnya menuju kepada Allah dan Rasul-Nya, maka hijrahnya kepada Allah dan Rasul-Nya. Barangsiapa yang hijrahnya kerana dunia yang dia mahu mencari habuannya, atau kerana seorang perempuan yang dia mahu kahwininya, maka hijrahnya ke arah perkara yang ditujuinya itu."

Teguran empat tahun lalu bakal saya hadam semula demi membina semangat untuk fasa kehidupan baru. Terima kasih atas teguran itu - kalian hujanilah saya terus-terusan dengan teguran.

Hijrah takkan pernah berhenti...

(Mahu cari dan baca buku konsep niat itu nanti.)

helaianrindu: Sudah lama tidak menulis surat, baru tadi mengirimkan sepucuk surat bertulis tangan untuk sebuah pertandingan - rasa puas amat sebab entah bila kali terakhir benar-benar mengirim surat sepanjang itu. Doakan saya berjaya!

September 05, 2013

Epistolari Cinta

Altitude: 1036 km
Distance: 10779 km
Merentas laut Andaman-India-Pakistan
30 September 2009

"Ke hadapan Naqeb,

Semalam dan hari ini sangat luarbiasa bagiku. Kenapa? Sebabnya, aku merasakan aku tak berpijak di bumi nyata. Ya memang aku berada di awanan waktu ini tapi bukan itu maksudku. 

Aku merasakan bahawa kembara aku ke bumi asing England ini bagai khayalan. Semua terlalu cepat berlalu... persis tayangan gambar yang meniti visiku. Tahu-tahu, aku sudah dalam pesawat MH004 dan menatap langit nilakandi dari dua tingkap bersebelahanku... "

*******

Saya hampir menyudahkan buku motivasi dan biografi penulis Ummu Hani Abu Hassan, penulis prolifik yang banyak bergiat dalam bidang kewartawanan, penulisan skrip drama TV dan juga kesusasteraan dalam bentuk cerpen dan novel. Berminat membacanya kerana tajuknya dekat sekali di hati saya - I Want to be a Writer. Saya tidak ingat bila masanya saya mula membaca karya-karya beliau, adakah melalui drama TV ataupun cerpen dan novel. 

Di dalamnya terkandung kisah-kisah menarik dari hidup penulis sejak kecil dan sedikit sebanyak inspirasi dan aspirasi beliau dalam menjadi penulis. Terkandung juga tips dan perkongsian tentang pengalamannya dalam bidang penulisan bagi yang berminat. Malah ada kisah lain yang berkisar motivasi.

Apapun, yang membuatkan saya tertarik pada awalnya (selain tajuknya) adalah petikan kata-kata di hadapan kulit bukunya:

"Agar jejak kehidupan dapat diwariskan."

Benar, biografi atau kisah hidup manusia biasa tidak sehebat dan seagung sirah Nabi Muhammad saw atau kisah nabi-nabi terdahulu, malah takkan setaraf dengan kisah para sahabat yang telah dijamin masuk syurga. Tetapi, kisah manusia seperti kita tetap perlu diwariskan. Paling tidak, untuk diri kita sendiri belajar dari kesilapan lalu. Biar jejak positif terus diwarisi, dan kesalahan lalu tidak. Sudah tentu jika dikongsikan untuk semua, itu adalah kerana tugas kita menyampaikan kebaikan yang kita temui dalam hidup kita untuk diteladani orang lain. Semuanya atas dasar menyampaikan mesej Islam, mesej dakwah, atau secara umumnya untuk memaknakan hidup dengan memberi. Tentu ramai yang terkenang tagline popular Ustaz Hasrizal, erti hidup pada memberi.

Juga kata Ustaz Pahrol Md Juoi pernah berpesan dalam sebuah bukunya (saya sudah lupa yang mana), kita membina hidup dengan apa yang kita dapat, tetapi kita membina kehidupan dengan apa yang kita berikan. We make a living by what we get but we make a life by what we give. Memberi teladan adalah salah satu cara membina kehidupan yang bermakna.

*********

Semasa di tingkatan lima, saya mula diperkenalkan dengan penulisan jurnal oleh guru bahasa Inggeris saya, yang kami panggil Miss Lini. Tugas yang diberi kepada kami waktu itu adalah menulis dua atau tiga entri dalam satu minggu. Panjang satu entri tidak terikat kepada berapa mukasurat. Tujuan utama jurnal ini sudah tentu untuk memperbaiki penguasaan bahasa Inggeris kami dari segi penyusunan ayat dan penggunaan kata dan tatabahasa. 

Di samping kerja rumah dan tugasan dari subjek lain, jurnal ini pada awalnya seakan-akan membebankan. Tetapi saya semakin lama semakin seronok menulisnya (mungkin dari situ juga timbul minat yang lebih kuat dalam bidang ini) kerana saya boleh menulis tanpa ada format atau struktur tertentu. 

Epistolari cinta saya di tanah Inggeris - kebanyakannya tertulis dalam helaian kertas berasingan, kebiasaannya entri biasa saya asingkan dalam buku.

Kebiasaannya entri perlu ditulis mengikut topik yang diberikan, namun yang lebih saya sukai adalah apabila kami tidak diberi sebarang tajuk. Jadi di situ saya bebas untuk memikirkan apa dan bagaimana harus saya sampaikan idea. Sehingga sekarang saya masih simpan jurnal-jurnal bersampul biru itu sebagai kenangan.

Saya meneruskan penulisan jurnal ini selepas sekolah, bermula di kolej persediaan sehingga kini, tetapi tidak sekerap dahulu. Saya tidak memilih untuk menyimpan diari kerana persepsi saya tentang diari sangat negatif - diari adalah buku yang mencatat aktiviti seharian. Tidak seperti jurnal yang membolehkan kita menulis apa saja yang menjadi buah fikir kita ketika itu - sama ada peribadi, isu semasa, pendapat tentang pengalaman hidup. Jadi ia lebih daripada sekadar mencatat turutan peristiwa. Begitu pendapat naif saya, meskipun hakikatnya tidak ada masalah mencatat diari dan jurnal dalam masa yang sama. Bezanya hanya istilah yang kita pilih!

Beberapa masa lalu saya menyelongkar kembali barang kenang-kenangan dari UK selama tiga tahun dek rindu. Dan saya terjumpa kembali jurnal dan catatan-catatan lama saya di sana dalam kotak kenangan tersebut. Dahulu agak kerap saya belek kembali tetapi sudah lebih setahun saya tinggalkan. Jadi apabila saya baca kembali catatan yang sangat naif (juga kadang-kadang syok sendiri, err) itu, saya jadi terkejut pula kerana saya kembali belajar dari kenaifan dan kejahilan itu. Betapa mulanya saya terlalu asyik untuk merantau. Betapa teruja awalnya untuk belajar di bumi penjajah! Ke mana hilang semua itu? Ah... dan macam-macam lagi.

*******

Petikan surat pada permulaan entri ini sebenarnya merupakan salah satu entri jurnal saya ketika mula-mula mengembara ke United Kingdom untuk menyambung pengajian. Semenjak ke England saya lebih banyak menulis entri dalam bentuk surat kepada rakan-rakan yang terpilih. Saya tidak pernah mengirimkannya betul-betul kerana saya fikir ini bukan zamannya lagi tetapi saya masih suka dengan perasaan mengutus surat yang romantik dan nostalgik (walaupun ya kerana ditulis satu hala saya akui hasilnya adalah bahasa bunga-bunga yang sedikit dibuat-buat dan cheesy). Sehinggakan cerpen pertama yang pernah saya tulis secara serius juga dalam bentuk warkah, tajuknya Warkah-Warkah Siluman. (Boleh baca di sini - tapi bukan satu karya yang begitu baik! Nikmati tanpa terlalu mengkritik, eheh)

Baru hari ini juga saya memulakan pembacaan buku sasterawan Anwar Ridhwan bertajuk Menyurat kepada Sahabat, iaitu sebuah kumpulan surat-suratnya kepada ahli keluarga, kenalan dan teman penulisan. Bahagian pertama yang memuatkan kumpulan warkahnya ketika beliau berada di London untuk perbincangan proposal tesis dan menghadiri acara sastera di sana. Saat itu juga saya teringat buku Warkah Eropah oleh A.Samad Said yang juga ditulis berlatarbelakangkan tanah Inggeris. Tidak kurang kumpulan warkah Helene Hanff kepada kedai buku kesukaannya di London beralamat di 84, Charing Cross Road yang pernah saya nukilkan tentangnya di sini.

Tiga buku berelemen warkah dalam koleksi. Hanya buku 84 Charing Cross Road yang saya baca habis dari kulit ke kulit. Namun kesemuanya saya suka.

Inspirasi tiga buku ini (dan kenangan sendiri kepada tanah Inggeris) datanglah fikiran untuk berkongsi sesetengah surat-surat rahsia saya itu kerana kebanyakannya tidak bersifat terlalu peribadi seperti entri biasa. Sebabnya saya tulis kesemuanya dalam kesedaran saya masih boleh menghantar warkah-warkah itu kepada mereka sekiranya saya mahu. (Atau, saya boleh gunakan sebagai bahan untuk cerpen? Novel mungkin? Ah, saya terlalu banyak berangan-angan dari menulis! Ketuk kepala.) Dan sudah tentu, objektif utama saya adalah untuk memberi. Harapannya agar manfaatnya mampu dihadam meski kecil. Insha Allah.

"Dan tetaplah memberi peringatan, kerana sesungguhnya peringatan itu bermanfaat bagi orang-orang yang beriman." (QS. Adz-Dzaariyaat: 55) - Ayat ini sudah terlalu banyak digunakan sehingga kadangkala hilang makna, sedangkan kesannya sangat besar. Maka kita perlu saling memperingatkan.

Nota: Artikel Ustaz Pahrol tentang 'memberi' boleh dibaca di [sini]. Petikan kata-kata beliau yang saya ambil juga boleh didapati dalam artikel tersebut yang sangat baik.

helaianrindu: Warkah cinta dari Allah, pun jangan lupa tatap, ulangbaca dan cuba fahamkan selalu (peringatan paling besar untuk diri!)

(Cuma, saya kesal kerana dua tahun kebelakang ini saya tidak banyak menulis entri jurnal mahupun yang berbentuk surat. Sedangkan terlalu banyak isu dan pendapat yang boleh dibincang untuk dimuhasabah semula. Dari revolusi musim bunga tahun 2011, rusuhan di seluruh UK pada tahun yang sama, juga kembara-kembara persendirian dan kisah-kisah teladan yang banyak mematangkan saya dalam dua tahun itu - semuanya terkubur dan kemungkinan besar sudah banyak yang lupa. Saya sendiri yang rugi kerana tak dapat belajar kembali dari pengalaman-pengalaman tersebut. Tak apalah, semoga Allah memberi peluang saya mengingat semula detik bermakna itu)


Related Posts with Thumbnails