Memaparkan catatan dengan label 2011. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label 2011. Papar semua catatan

April 04, 2012

Dandelion

(Entri ini ditulis pada November 2011 lalu. Kini sudah April tahun 2012...kembali semula mengingat saat saya menulis puisi ini. Seminggu lalu cuaca panas terik, manis sekali. Dan laman hadapan rumah saya sarat dengan jambak dandelion menguning urnanya - dan baru sahaja dua yang menguntum putih, sudahpun tersebar ditiup angin dan hujan. Namun terkejutnya, hari ini turun salji, di musim bunga! Saya bayangkan musim panas penuh butir benih dandelion di udara mengganti salji, tapi yang datang benar-benar butir gigil yang seharusnya berputik dari awan Disember... dan kini kuntum-kuntum kuning ini sudah menguncup menanti matari kembali semula. Sekarang benar-benar bergema madah serangga dan manusia:  jangan sesekali tiada endah Pengatur Urusan Kini, dan Pemberi Asa sudah..)


Bulan April lalu, saya sedang berprogram di sebuah masjid di pinggir bandar Birmingham. Ketika itu saya terasa sesak dek perasaan mengantuk dan penat. Tiba-tiba sebutir benih dandelion hinggap di atas meja saya, turun perlahan-lahan dari udara. Serta-merta saya terimbas bayangan musim panas dan udara nyaman bertiup kencang setahun lalu, biji-biji benih bunga istimewa ini berlegar-legar di sekitar udara seperti butir-butir salji. Kembali ke meja saya, saya kasihankan sebuah peluang yang dibawa oleh biji benih itu. Alangkah indahnya kalau ia dapat berlumba tumbuh di atas tanah!

Dan terhasillah puisi ini.

Alhamdulillah, saya menyiapkannya dalam bulan April, dan ia terbit dalam Tunas Cipta edisi September 2011. Indahnya, kedua-dua bulan ini saya sebutkan dalam puisi. Dan menongkah badai tahun ketiga saya di bumi asing ini, banyak peristiwa yang boleh saya kaitkan semula dengan puisi saya. Sudilah membaca dan menghayati:

DANDELION

"Selagi ada angin, waima
hancur satu, melata tumbuh
seribu," katamu senang

"Apalah indah tulip
saat hadir semilir?" tambahmu lagi.

Selalunya kita bernaung
bawah terik mentari
ibarat butir-butir salju
pada pertengahan April
seperti tidak akan lebur
seperti jauh dari pupus

Angin bersipongang lantang, "Jangan
hanya harapkan pagar, nanti
pagar mengabaikan
padi yang dicita-citakan."

Sekarang urna kuning
esok memudar putih
"Lalu untuk dipetik
adalah pilihan terbaik,"
nyanyi sang rumput

Namun kita masih nyedar
lupa pada serangga dan manusia
yang saling sinis bermadah:
"Jangan sesekali tiada endah
Pengatur Urusan kini
dan Pemberi Asa sudah."

Dan September tiba bertamu
tanpa sedar kita pun layu.


Birmingham, United Kingdom
23 April 2011.
Tunas Cipta, September 2011.



kredit gambar 2: di sini


helaianrindu: Sudah pertengahan November, tetapi di halaman rumah saya masih berdiri satu kuntum dandelion, tegar menanti tersebar. Moga budi aku semulus engkau.


Jun 01, 2011

Musim

Hujung musim bunga. Saya berkira-kira sendirian, sudah lama tidak membaca sepuasnya. Apa agaknya buku yang akan saya pilih dan baca untuk cuti musim panas kali ini? Kuliah dan assignment semua telah usai awal Mei lalu. Kawan-kawan yang tinggal serumah dengan saya masih belum tamat pengajian tahun dua - mereka belajar di universiti lain dan sedang bertungkus-lumus mempersiapkan diri untuk peperiksaan akhir yang akan berakhir awal Jun.

Sementara mereka sibuk menelaah buku pelajaran, saya pula membelek-belek helaian-helaian yang saya rindui. Pastinya mereka cemburu melihat saya duduk-duduk membaca macam tiada kerja pula!

Selama beberapa bulan kebelakangan ini saya memang ada peluang mengakrabi beberapa buah buku. Tetapi setelah sekian lama saya tinggalkan penulisan di laman blog ini, saya terasa begitu kekok untuk berkongsi. Apa yang harus saya tulis? Bagaimana harus saya mula? Lama-kelamaan saya tinggalkan hasrat menulis itu begitu saja, berkubur apalagi saya sudah mula ingat-ingat lupa apa yang telah dibaca dan isi-isi menarik pembacaan tersebut.

Kini sudah hampir masuk musim panas. Suhu sudah meningkat mencecah 20 darjah celsius. Matahari juga sudah memancar dengan sangat terang seawal jam 5 pagi dan terbenam jam 9.30 malam. Masa siang yang panjang ini sememangnya waktu yang sesuai untuk siapa-siapa pun melakukan aktiviti kegemaran masing-masing.

Lebih mengujakan, sempena ulangtahun kelahiran saya 7 Mei lalu, saya dikejutkan dengan sebuah bungkusan sebesar 12 x 9 x 5 inci dari Amazon. Bagaimana tidak terkejut, bungkusan itu diserahkan oleh posmen pada jam 7 pagi (itu waktu tidur kami musim ini, maklumlah waktu subuh sudah tamat jam 4.50 pagi, jadi saya memilih bangun awal dan tidur semula) dan saya juga tidak ingat pernah memesan apa-apa barang dari Amazon sebelum itu, apatah lagi pernah memesan barang yang bersaiz besar sebegitu.

Apabila dibuka, terdapat sebuah kotak berbalut kertas hitam seperti bungkusan hadiah dengan sekeping kad tertera di atasnya: "To Rasydan, I have a riddle for you: What turns a bundle of Harry Potter books thinner than a magical wand? Ensure that you have the answer before opening this. Happy Birthday!"

Misteri sungguh, apa bendanya barang ini, sambil saya meneliti pengirimnya: From us. Siapa us itu? Saya hanya yakin mereka kawan-kawan serumah saya, barangkali. Tanpa menjawab soalan yang diajukan dalam kad, saya terus membuka dek rasa ingin tahu yang melampau. Alangkah terkejutnya saya melihat hadiah tersebut -  sebuah e-reader yang sudah lama saya idamkan sebelum ini -  Amazon Kindle.

Pagi itu, saya gembira, bercampur marah dan serba-salah. Kenapa tidak? Walaupun saya suka, harga Kindle tetap masih mahal, £111. Lebih kurang RM 500 lebih. Tetapi mereka yang terlibat (setelah saya paksa untuk mengaku) dalam 'projek' hadiah ini mengatakan harga itu sudah dikongsi bersama, jadi tiada siapa rasa terbeban. Saya akhirnya merelakan hadiah itu.

Musim panas sudah hampir tiba, dan sedar-sedar saja saya sudah habis membaca sebuah buku dalam e-reader saya, oleh Dan Brown bertajuk Deception Point. Dan setelah itu jumlah buku yang sedang dibaca dalam Kindle buat masa ini masih ada 3-4 buah. Juga sebuah buku (sebenar) setebal 500 mukasurat, hadiah oleh rakan saya dari Belfast--ketika berkunjung ke rumahnya tahun lepas--bertajuk The Map of Love, tertulis di muka awalnya: "Rasydan Fitri, Ilmu itu Cahaya."

Saya terasa ingin berkongsi semula buku-buku yang pernah saya baca sepanjang musim-musim tahun 2011 ini, antaranya The Lost Symbol (Dan Brown), The Five People You Meet in Heaven (Mitch Albom), The Duchess of Bloomsbury Street (Helene Hanff) dan tentunya yang terbaru Deception Point, juga karya Brown. Tetapi mungkin saya batalkan saja yang terdahulu ini. Mungkin akan berkongsi yang lebih baharu?

Sekarang butir-butir benih dandelion sudah tidak kelihatan. Daffodil sudah lama layu. Daisy, ros dan bluebells pula mampir, tanda pertukaran musim sudah tiba. Malam pun sudah semakin pendek, saya pun semakin resah melihatkan bintang seperti tidak kelihatan kerana langit membiru saja di waktu malam.

Masa untuk sarapan. Kebab yang dibeli semalam masih ada.

Saya memandang ke tingkap. Di luar, seekor tupai berlari-lari anak di atas pagar rumah. Saya gegas membuka pintu, mengejar sang tupai, tetapi akhirnya ia berlari menyeberangi jalan dan hilang di pepohonan.

helaianrindu: Terima kasih buat mereka yang memberi hadiah. Apa itu Amazon Kindle? - Rujuk sini dan sini.

Related Posts with Thumbnails