Judul buku: Rumus di Hatinya (博士の愛した数式 - Hakase no Aishita Sushiki)
Penulis: Yoko Ogawa
Penterjemah: Normalis Amzah
ISBN: 9789674301163Harga: RM30.00/ 35.00 (Sabah & Sarawak)
Tahun terbit: 2014
Bilangan mukasurat: 212
(Nombor resit pembelian: ITBM02000473, dibeli pada 26 April 2014)
Rumus
di Hatinya merupakan sebuah novel terjemahan dari karya Yoko
Ogawa dari Jepun yang bertajuk Hakase no
Aishita Sushiki. Saya kembali membaca buku ini setelah membaca
terjemahannya sebelum ini dalam bahasa Inggeris, yang diberi tajuk The Professor and the Housekeeper.
Berbeza dengan tajuk bahasa Inggeris, saya fikir tajuk yang dipilih dalam
Bahasa Melayu lebih indah, malah tidak lari dari makna asal tajuknya dalam
bahasa Jepun.
Ketika ternampak buku yang
agak tenggelam ini di rak ITBM semasa pesta buku lalu, dek kulit buku putih
yang sebegitu banyak, saya terkejut dan gembira pada masa yang sama. Lantas saya
membelinya tanpa berfikir panjang, kerana amat yakin keindahan falsafi novel
ini mampu diterjemahkan dengan diksi yang tidak kurang indah dalam bahasa
ibunda.
Mengulas buku ini ada
cabarannya buat saya, kerana saya betul-betul jatuh cinta ketika membaca novel
Inggerisnya, dan setelah itu apabila menonton filemnya pula, The Professor’s Beloved Equation tidak
lama selepas itu – makin dalam cinta saya terhadap karya ini. Lantaran itu terlebih dahulu saya nyatakan, ulasan saya mungkin lebih cenderung mempositifkan novel ini, bimbang juga tidak dapat betul-betul
memberi kritikan yang seimbang lagi.
Novel Rumus di Hatinya menceritakan
Profesor (Hakase dalam bahasa Jepun) yang terhenti ingatannya sejak
tahun 1975 setelah terlibat dalam kemalangan pada tahun tersebut. Sejak hari
itu, ingatannya berfungsi seperti pita rakaman yang hanya boleh bertahan selama
80 minit. Keupayaan yang sedemikian menyebabkan profesor hidup terasing dan
menyendiri. Sehinggalah seorang pembantu rumah datang dan mendepani kerenah
Profesor yang sering lupa ini, dunia kedua-duanya berubah.
Melalui rangsang sari (blurb) yang dibekalkan kepada pembaca,
kelihatan seperti karya ini adalah karya berbentuk slice-of-life yang menyelongkar perhubungan luarbiasa antara dua
darjat berbeza. Seorang yang begitu terpelajar dan berumur, seorang lagi muda
dan telah bekerja sebagai pembantu rumah sejak sekian lama. Seakan-akan juga ia
berbaur percintaan antara dua insan ini. Hakikatnya, kisahnya berkisar falsafah
kehidupan berunsur kekeluargaan dan persahabatan, tetapi lebih menarik,
falsafahnya hadir dalam nuansa dunia matematik, nombor dan rumus.
Di
Sebalik Rumus
Sebagai seorang yang agak
lembab dalam bidang matematik dan fizik, apabila mengetahui premis cerita ini
pada awalnya, saya agak pesimistik, bimbang isinya berat untuk dihadam.
Sebaliknya, penulis berjaya memberi gambaran matematik dan nombor dalam
perspektif baru, unik dan cukup menarik. Nombor perdana digambarkan seperti
bintang-bintang di langit. Nombor karib diterjemahkan dalam ikatan persahabatan
Profesor-pembantu rumah:
“…Nombor
karib. Pasangan yang jarang-jarang ditemui. Fermat dan Descartes pun
masing-masing hanya menemui satu pasangan sedemikian. Sungguh hebat perkiraan
yang diatur oleh tuhan. Hari lahir kamu dan nombor yang terukir pada jari
tangan saya, rupanya mempunyai jalinan yang cukup indah.”
Barangkali, penerapan
watak dua darjat yang ketara ini sememangnya mudah untuk ditelusuri sebarang
pembaca yang tidak mendalami bidang matematik sekalipun (atau dalam kes saya,
lembab). Pembantu rumah yang hanya terdidik setakat sekolah menengah mampu
menyelongkar rahsia alam (atau dalam bahasa profesor, buku nota tuhan) dan ini
mampu dirasakan hubungannya oleh pembaca, apabila pembantu rumah cuba
mengimplementasi kegunaan dan keindahan nombor dalam hidup sehari-hari.
Apabila profesor cuba
menguji pembantu rumah tentang matematik, pembantu rumah tersebut akan segera
mengaitkan soalan tersebut dengan aktivitinya seharian, seperti memberi contoh
berat daging yang akan dibeli di pasar dan sebagainya. Profesor juga turut
menggunakan nombor yang berada di sekitar mereka – berat badan, saiz kasut,
tarikh lahir dan lain-lain.
Semasa mengulasnya dua
kali dahulu (buku dan filemnya) saya pernah cuba memberi terjemahan bebas
kepada dalam beberapa petikan kata-katanya. Ternyata, jika terjemahan dilakukan
dengan teliti, falsafahnya cukup berkesan dalam bahasa apapun. Namun cabaran
penterjemah –dalam kes buku ini, Normalis Amzah—bukan saja dari sudut pemikiran
di sebalik teori, tetapi teori dan formula yang dipersembahkan itu sendiri juga
perlu diberi perhatian yang cukup seni. Hal ini agar pembaca yang agak asing dari
dunia ilmu hisab ini masih boleh menangkap makna rumus tertentu tanpa perlu
membaca lanjut tentangnya terlebih
dahulu. Malah, saya beruntung kerana di sekolah, saya termasuk kumpulan pelajar
terakhir yang belajar Sains dan Matematik dalam bahasa Melayu sebelum PPSMI
dilaksanakan (yang kemudiannya dimansuhkan semula). Jadi saya masih boleh
menghadam sebahagian besar novel ini dalam bahasa Melayu dengan baik.
Saya terfikir, bagaimanakah reaksi dan sejauh manapenerimaan pembaca yang kurang pendedahan istilah Matematik dalam bahasa Melayu? Saya masih ingat saya ditertawakan teman-teman (bukan secara mengejek) apabila menggunakan istilah sains seperti sesaran, kamiran, pembezaan dan sebagainya kerana tidak faham maksudnya. Mereka lebih senang dengan terminologi displacement, integration, dan differentiation (tidak bermaksud saya tak menggunakan istilah Inggeris ini kerana di peringkat lebih tinggi di kolej, saya juga mempelajarinya).
Apabila memikirkan pembaca
lain yang mungkin kurang terdedah dengan istilah bahasa melayu ini, saya cukup
risau. Apalagi ketika membaca Rumus di Hatinya, ada bahagian yang agak susah
untuk difahami. Penerangan teori terakhir Fermat di sepertiga akhir novel sebagai
contoh, agak mengelirukan dalam terjemahannya – saya tak pasti adakah ia juga
kerana sudah lama saya tinggalkan Matematik dalam bahasa ibunda, ataupun mungkin hanya memang terminologi yang digunakan adalah sesuatu yang belum pernah saya pelajari dalam bahasa ibunda.
Dalam masa yang sama,
terjemahan novel ini boleh memberi impak positif kerana juga mampu merangsang
pembaca menguliti teori matematik yang asing. Contoh termudah adalah konsep
nombor asli dan khayalan. Saya sendiri tidak faham akan konsep ini kerana tidak
mempelajarinya dalam bahasa Melayu – saya lebih mengenalinya dalam bentuk real and imaginary numbers. Sebagaimana ia
memanggil pembantu rumah mengkaji ilmu matematik yang ditemuinya di rumah Hakase,
seperti itulah pembaca secara metaforikal rasa ingin tahu pembaca untuk
membuktikan ‘kebenaran’ yang bak kata profesor, indah tak tergambarkan seperti
indahnya bebintang di langit.
Selain itu, novel ini turut dilengkapi nota kaki untuk menjelaskan sesetengah perkara yang asing dalam budaya kita. Bagi saya, nota kaki ini wajar untuk difikirkan penggunaannya dengan lebih maksimum, dalam memberi penjelasan tertentu. Ada sesetengah ayat yang nampak mengelirukan, tidak dijelaskan dalam novel ini. Contohnya di mukasurat 19, apabila Profesor bertanyakan hari lahir pembantu rumah, dijawabnya 20 Februari. Ketika ini teks yang digunakan adalah 202 bagi mewakili tarikh tersebut (20 haribulan 2 di dalam bahasa Melayu) sedangkan nombor yang sepatutnya adalah 220 (digunakan secara betul kembali pada mukasurat berikutnya) kerana dalam bahasa Jepun, bulan disebut atau ditulis terlebih dahulu, sama juga dalam bahasa Inggeris Amerika (Februari 20, jadi 220). Kesalahan dalam terjemahan sebegini, sekiranya typo sekalipun, sangat besar impaknya pada cerita yang mementingkan susunan rumus dan nombor. Sekiranya perlu dijelaskan, nota kaki dapat membantu.

Mesej Sisi
Namun saya pasti, apa jua
cabaran menghadapi novel ini, jika pembaca dapat menangkap mesej dan muhasabah
hidup yang cuba disampaikan, itu lebih penting. Menurut saya, mesej itu berjaya
sampai, namun sekali lagi, saya tak pasti apakah pembaca yang menelaah kisah
ini buat kali pertama akan berfikir perkara yang sama. Malah, ketika membacanya
buat kali ketiga, ia membuatkan saya berfikir bagaimana rumus-rumus dan dunia
nombor ini mampu merungkai falsafah bertuhan, juga kesungguhan dan kejujuran
yang sepatutnya ada pada seorang penuntut ilmu.
Dalam matematik, kita diajar menulis segala proses dan gerak kerja dari awal hingga akhir. Dalam peperiksaan terutamanya, jika pelajar tidak mendapat markah jawapan yang tepat sekalipun, jalan kerja dan usaha yang ditunjukkan akan disemak dan diberi markah sekiranya ada yang masih betul. Dalam novel ini, usaha pembantu rumah dalam membuktikan soalan yang diberi profesor, atau menyelongkar rahsia nombor-nombor ketika bersendirian sekalipun dianalogikan dari situasi ini. Segala usaha dalam mendapatkan jawapan akhir tidak disia-siakan, malah diibaratkan olehnya memberi jalan untuk membuktikan kebenaran, dan akhirnya, menemui 'cahaya kebahagiaan'.
Apabila ditanya tentang pencipta dan penemu nombor, kata-kata profesor secara halus menyatakan kewujudan nombor sejak azali dan keindahannya merupakan bukti wujudnya Tuhan - sama seperti alam. Malah saya teringat kepada alam yang terbentuk dari formula janjang Fibonacci seperti pada cangkerang dan bunga, juga baru-baru ini saya mengetahui yang perkataan sujud disebut sebanyak 34 kali dalam Al-Quran, sama jumlahnya dengan bilangan sujud dalam solat fardu kita sehari-hari. Lebih dalam lagi, apabila pembaca diminta berfikir dengan penyataan profesor yang nombor ini membuktikan wujudnya kejahatan dan kebaikan.

Aparatus
Novel
Hubungan persahabatan dan
kekeluargaan yang tercipta antara watak-watak, khususnya dengan kehadiran Root
(anak pembantu rumah) juga satu lagi faktor keluarbiasaan novel ini. Kekekokan
Profesor semasa cuba mengingati pembantu rumah yang dianggap baru setiap kali
pita ingatannya bermula semula setiap 80 minit, kasih sayang Profesor tehadap
kanak-kanak sepertimana yang ditunjukkan kepada Root, kegembiraan mereka lewat
sambutan harijadi dan menonton perlawanan bola lisut di stadium, masih berbekas
dalam diri. Membongkar keindahan teori ilmu hisab melalui memori-memori ini
juga menambahkan impak tersebut.
Watak-watak terus
berkembang, menunjukkan dimensi dan dinamika yang progresif sepanjang cerita,
termasuklah Profesor yang boleh dikatakan sepatutnya tidak berkembang kerana
ingatannya yang beku – memudahkan kita membesar bersama-sama mereka sehingga
penghujung kisah. Pada setiap peristiwa, kita mengenali sikap dan peribadi
‘misteri’ Profesor yang berbeza-beza.
Wonderment
yang terbit dari jiwa pembantu rumah pula menjadikan wataknya seakan lebih
terpelajar dari akademia zaman kini – bagaimana mahasiswa dan pelajar kini
(malangnya, termasuklah saya dahulu) langsung tidak punya sifat enthusiasm dalam menuntut ilmu
sepertinya, adalah satu contoh dinamika yang cukup kuat untuk diteladani. Root
pula sebagai anak kecil, turut memberi suntikan dalam ikatan ini. Kematangannya
yang menjangkaui umurnya yang baru sepuluh tahun itu membawa cerita menuju
kesudahan yang memuaskan.
Jalan cerita dan plot
novel, meski tidak kompleks, tidak membantutkan minat membacanya. Perkakasan
cerita seperti elemen bola lisut, sekiranya tidak difahami secara luaran
peraturan dan gambarannya, juga masih boleh dinikmati dengan baik. Mujur saya
dahulu rajin menonton animasi Jepun yang dipenuhi adegan bermain besbol,
sekurangnya bolehlah saya gambarkan beberapa adegan dengan mudah – walaupun
sampai sekarang saya tak berminat untuk dalami cara bermainnya. Sekiranya
pembaca fasih dalam hal ini, itu merupakan satu bonus, kerana falsafah dari
permainan besbol ini turut diselangselikan bersama dunia ilmu kira-kira.
Penutup
Karya berunsur sebegini,
bagi saya perlu diberi perhatian dan promosi yang lebih atas kecerdikan penulis
menggunakan sesuatu yang langka dalam novel, tetapi cukup berkesan dan
menyegarkan. Keunikan mesej falsafahnya menyebabkan
saya teringat kata-kata Root, dalam adaptasi filemnya, ketika mengajar
anak-anak muridnya tentang matematik, yang merumuskan akan keistimewaan hidup
yang ditakdirkan untuk kita masing-masing (kata-kata ini hanya terdapat dalam
filemnya dan saya menterjemahnya secara bebas):
"Nombor-nombor
perdana ini jumlahnya tidak terkira - seperti jumlah bintang di langit malam.
Tiada peraturan yang jelas untuk mencari nombor-nombor tersebut. Dalam kata
lain, setiap satu daripada kalian, adalah unik dan istimewa sama seperti
mereka."
Melalui takdir itu jugalah
bertemunya profesor, pembantu rumah dan Root, anaknya – bersama nombor-nombor bertuah
yang menjadi rakan karib mereka sepanjang cerita.
Cuma, sebagai seorang yang berminat dalam grafik, saya mahu meluahkan rasa kecewa dengan persembahan kulit buku ini (tanpa memandang rendah usaha pereka kulitnya), yang boleh diberi perhatian lebih – kerana yang sedia ada ini tidak selari dengan keindahan tajuknya. Sekurang-kurangnya, rumus yang diletakkan dalam jam tersebut boleh diganti dengan rumus-rumus yang dinyatakan dalam novel. Warna romantis dan puitis matematik juga patut terlakar pada kulit.

Apapun, sekalung tahniah tetap
perlu diucapkan buat Normalis Amzah dan ITBM kerana berjaya menterjemah dan
menerbitkan karya hebat ini. Sesungguhnya di akhir pembacaan, ternyata rumus
yang tersimpan kemas di hati saya setelah membaca versi Inggeris dahulu masih
tidak tercabar, tidak dikecewakan dalam terjemahan ini - malah terus memberi sisi manusiawi yang tersembunyi.
*Entri ini juga adalah penyertaan untuk Pertandingan Ulas Buku ITBM 2014 sempena Pesta Buku Antarabangsa PWTC April lalu.
*Untuk baca lanjut entri terdahulu tentang buku ini, klik sini dan sini.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan