Julai 04, 2011

Bila e+1=0 Nampak Puitis


Apabila berada di United Kingdom, saya berkenalan dan tinggal serumah dengan tiga orang kawan yang menyambung pengajian dalam bidang matematik di University of Birmingham. Selalu juga mereka berkongsi dengan saya apa yang mereka pelajari dalam kelas. Selain mereka kisahkan perihal dan cara pensyarah-pensyarah mereka mengajar, ada juga saya tanyakan isi subjek-subjek yang mereka ambil. 

Pening pula bila mereka cerita, 1+1 tak semestinya memberi jawapan 2, atau bagaimana nak buktikan yang 1+1=2 mengambil lebih dari satu mukasurat, dan juga beza antara manusia dan haiwan adalah manusia ada pengetahuan tentang salah satu elemen matematik yang saya sudah lupa namanya (falsafah yang sepertinya mengatakan mereka yang tak belajar topik itu adalah haiwan). Daripada falsafah sehinggalah sejarah matematik, semuanya memeningkan. Malah ada sesetengah masa senggang saya, saya hadiri kelas-kelas mereka saja-saja untuk tahu apa perasaan mereka belajar perkara-perkara yang memeningkan itu.

Ok, saya memang jadi pening. Adalah saya salin nota macam mereka buat tapi tak faham pun. (Malah sejarah hidup saya dengan matematik tidaklah begitu memberangsangkan - di sekolah selalu dapat markah gagal untuk Matematik Tambahan, dan di kolej persediaan Further Pure Mathematics sangatlah bukan bidang saya)

Bila menamatkan pembacaan The Housekeeper and the Professor tulisan Yoko Ogawa beberapa hari lalu, terasa persepsi saya terhadap matematik berubah. Walaupun saya sebagai pelajar jurusan senibina tidak begitu menggunakan permasalahan matematik yang menyakitkan kepala sewaktu sekolah dan kolej dulu, saya rasa terpanggil untuk mencari dan mengetahui (dan kalau boleh menggunakan) fakta-fakta matematik yang kompleks selepas membaca buku ini. Novel ini menjadikan matematik itu nampak magis dan cantik, terutamanya apabila si profesor selalu mengulang-ulang fakta menarik tentang nombor-nombor perdana (prime numbers).

Gabungan elemen matematik sebagai tema, disatukan dengan sukan bola lisut (baseball) dan kekeluargaan, persahabatan dan sedikit cinta menjadikan novel Ogawa ini begitu original. Berlatarkan negara matahari terbit, novel ini menceritakan tentang seorang pembantu rumah dihantar oleh majikannya ke rumah seorang profesor. Profesor tersebut telah menerima beberapa orang pembantu tetapi semuanya telah dipecat. Perkara ini berlaku kerana profesor tersebut, yang hebat dalam bidang matematik, hanya mempunyai ingatan selama lapan puluh minit. Ingatannya terhenti pada tahun 1975, setelah itu memorinya berfungsi seperti pita perakam yang boleh merekod selama lapan puluh minit dan kemudian ingatannya selepas 1975 akan hilang, seperti sebuah pita perakam baru pula diisi dalam kepalanya. 

Untuk mengelakkan dia terlupa, profesor tersebut melekatkan nota-nota kecil pada bajunya untuk mengingatkan tentang ingatan jangka pendeknya itu. Dan untuk mengelakkan dia berasa kekok kerana perlu memperkenalkan diri berkali-kali, dia memulakan perbualan dengan mengeluarkan trivia dan fakta matematik yang sangat menarik. Ada saja fakta-fakta baru yang diperkatakan. Bukan saja cara Ogawa mempersembahkan fakta-fakta tersebut terasa mudah difahami oleh layman dalam bidang matematik seperti saya, malah Ogawa bercerita seperti nombor dan matematik adalah seperti puisi. Dengan mudah saya dapat mengingat apa itu amicable numbers, perfect numbers, teorem terakhir Fermat, juga formula hebat oleh Euler.

Seperti pembantu rumah tersebut, Ogawa membuatkan pembaca rasa terpanggil untuk membuat kajian sendiri terhadap fakta-fakta tersebut. Selepas mengenali profesor, pembantu rumah ini selalu sensitif terhadap nombor-nombor yang dilihatnya, sama ada harga barang yang dibelinya sehinggalah nombor siri pada peti sejuk dalam rumah yang dibersihkannya. Dia menggunakan nombor-nombor ini untuk mencuba teka-teki matematik yang diberi profesor.



Saya tidak begitu faham bahagian berkenaan bola lisut, disebabkan saya tidak minat bersukan dan bola lisut sebenarnya agak asing bagi kita orang Malaysia. Tetapi di Jepun permainan ini sangat popular. Jadi mungkin pembaca seperti saya susah untuk menggambarkan permainan tersebut, jadi saya cuma perhatikan hubungan antara profesor dengan pembantu rumah tersebut ketika bahagian-bahagian ini.

Novel ini juga bersifat heartwarming kerana isi tentang kekeluargaan dan persahabatan. Dengan munculnya watak anak kepada pembantu rumah tersebut, kisah hidup Profesor berubah. Apa yang menyebabkan kita simpati adalah kerana ingatan profesor yang terlalu sekejap itu. Pembantu rumah dan anaknya terasa begitu rapat dengan profesor sedangkan profesor tidak mampu untuk mengingat mereka. Meskipun begitu hubungan dua hala itu tetap berjaya kita rasai sehingga penghujung cerita walaupun hakikatnya ia tidak wujud.

Saya tidak mahu membongkar terlalu banyak tentang ceritanya, tetapi apa yang saya sedikit kecewa, saya tidak begitu puas dengan kesudahannya. Bukan tidak bagus, cuma terasa tidak cukup, kerana saya dahagakan lebih lagi. Ada juga beberapa perkara yang terasa sedikit tergantung. Tetapi kalau terlalu panjang mungkin meleret-leret pula. Daripada 5, saya beri 4 bintang atas sebab ini. Mungkin saya terlepas pandang, tapi secara umum novel ini sangat baik, menarik dan original. (Kalau tidak silap, di Jepun buku ini difilemkan dengan tajuk asal novel ini dalam bahasa Jepun yang bermaksud - The Professor and His Beloved Equation. Teringin juga mahu cari) Bukan mudah mencipta sesuatu cerita baru yang asli tetapi dalam masa yang sama memberi impak yang baik begini.

Selepas ini mungkin saya boleh hadiri lagi kelas matematik rakan-rakan saya di tahun tiga pula kelak! (Banyak pula masa nak masuk kelas orang lain!)


4 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

sangat menarik untuk memahami nombor juga boleh berkata-kata,walau Prof. tersebut mengalami short term memory tetapi tetap hebat bermain formula.saya tertarik,lalu mencari ia di Kinokuniya bersama sahabat,unfortunately there's only 1 last copy she's found it first..:( Anyway i'll get it one day!tq

dan berkata...

Itulah yang original dalam novel ini, penulis pandai bermain kata-kata, dan bagaimana dia menjalin cerita berdasarkan sebuah teori matematik. Macam kenal je siapa kawan tu. Sudah cari di BookXcess? Kedai buku murah di PJ. harga jauh lebih murah dari Kino. Rasanya pernah jual buku ini di sana, tapi tak tahu masih ada stok atau tidak. Mungkin boleh tanya & book di facebook mereka.

Tanpa Nama berkata...

salam.macam kenal?saya ialah tanpa nama berkata..tak sempat dah nak cari kene balik rumah..anyway TQ :)

Tanpa Nama berkata...

Saya dah jumpa buku yang direbut itu..:)

Related Posts with Thumbnails