Mei 04, 2010

The Alchemist: Sebuah Falsafah Impi

Judul: The Alchemist
Penulis: Paulo Coelho
Penerbit: HarperCollins
Tahun: 2006
Bil. mukasurat: 161
Harga: RM32.90

Prolog yang ditulis oleh Coelho begitu cantik, kawan saya Syafiq Rasidi yang menggetus saya untuk menggeluti semula karya Coelho setelah saya skeptikal membacanya suatu masa dulu!

Novel Paulo Coelho seperti selalu, menghidangkan intisari perjalanan spiritual seorang individu, kali ini dalam figura seorang budak lelaki bernama Santiago. Berasal dari Andalusia, Sepanyol, dia mengembara dari hujung benua Eropah ke benua Afrika demi merealisasikan mimpinya untuk bertemu harta karun di Mesir. Sepanjang perjalanan itu, dia diajari dan mempelajari bagaimana berbahasa kepada semua orang termasuklah alam sekeliling, dengan Bahasa Alam (Language of the World), juga bagaimana untuk memahami Jiwa Alam (Soul of the World).

Tidak lama dahulu saya sempat menghadiri sebuah seminar mengenai sistem-sistem Islam, dengan keynote addressnya disampaikan oleh Ustaz Maszlee, (terkenal sebagai seorang kolumnis PalestinKini.info, juga terkenal sebagai penulis buku Fikah Luar Negara, yang juga pernah menjentik minat saya membaca The Alchemist tahun lalu). Dalam ucaptamanya, Ustaz ada membacakan sepotong ayat dari surah Al-Hujurat, yang saya pasti ramai yang biasa mendengarnya. Ayat tersebut berbunyi:




Maksudnya: Wahai manusia! Sungguh, Kami telah menciptakan kamu dari seorang laki-laki dan seorang perempuan, kemudian Kami jadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku-suku agar kamu saling mengenal. Sungguh, yang paling mulia di antara kamu di sisi Allah ialah orang yang paling bertakwa. Sungguh, Allah Maha Mengetahui lagi Mahateliti. (Al-Hujurat:13)

Ustaz menekankan bahawa ayat ini punya nilai sejagat. Sifatnya universal kerana ia ditujukan untuk semua manusia, tiada spesifikasi. Terjemahan yang diberi Ustaz sedikit berbeza dengan terjemahan dalam Al-Quran yang biasa disebut, yakni diciptakan kita berbangsa-bangsa bukan sekadar berkenal-kenalan, tetapi perkataan li ta'arafu' itu juga bermaksud untuk saling mempelajari. Tetapi apa kaitannya dengan karya Coelho ini?

Dalam karya ini, Coelho menunjukkan kepada kita watak Santiago yang bersifat universal. Walaupun dia tidak punya pegangan agama yang jelas, dia membuktikan yang walaupun manusia berlainan bangsa, ada sesuatu yang boleh dipelajari dari setiap individu yang berbeza. Persinggahannya di kota Tangier dan pertemuannya dengan penjual kristal menjadikan dia lebih bijak menilai baik buruk sesuatu, mengenal sebab-musabab dan visi yang mendorong sesorang untuk mengejar impiannya, juga belajar serba-serbi bahasa, termasuklah bahasa Arab. Penjual kristal itu juga mampu belajar dari seorang budak mengenai taktik perniagaan.

Tidak dilupakan bibit-bibit percintaan pemuda ini dengan seorang gadis yang dijumpainya di gurun, bernama Fatima. Dalam babak-babak ini, kita diperlihatkan dengan 'bahasa sejagat' yang menghubungkan manusia dan makhluk selainnya. Sebagai seorang pengembara, bertemu seorang yang dikasihi bukanlah mudah, jadi perasaan itu ditafsirkan penulis secara halus sebegitu.

Ah, terlalu falsafi bukan?

Bercerita mengenai tulisan Coelho, entah sampai bila pun tidak boleh betul-betul berhenti. Novelnya saya kira lunak dengan analogi dan simbolisme yang membuatkan pembaca berfikir dan membandingbeza. Ya, pada awalnya, setelah membaca reviu yang pelbagai, biar baik dan buruk sekalipun, saya memikirkan buku ini pasti merumitkan akal dan menuntut kita memberati fikiran dengan selambak ideologi motivasi bersifat relijus yang likat. Alangkah terkejutnya saya apabila sudah membaca lebih separuh dari buku ini dan mendapati kisahnya sangat ringkas dan kronologikal, yang tinggal hanyalah kebebasan pembaca menafsir maknawi kisah ini!

Lebih dekat lagi dengan pembaca, kisah ini diserikan dengan pelbagai 'panduan' ataupun kata-kata inspirasi yang mengajak kita berfikir kembali tentang cita-cita dan impian: Sejauh mana kita berusaha demi merealisasikannya? Bukan itu saja, Coelho juga menguasai nilai dan prinsip dalam Islam, dan ini ditanamkan agak baik sepanjang kisah ini berlaku di negara Arab, bermula di Maghribi. 

Seperti karyanya yang lebih baru yang pernah saya baca bertajuk The Witch of Portobello, pendekatan Coelho sangat tidak monolitik (menganggap dirinya sahaja yang benar) dan berunsur universal, biarpun dia penganut Katolik yang tegar.  Penulis langsung tidak bersikap bias dan prejudis terhadap mana-mana agama. Bagi saya ini suatu yang menyenangkan, apatah lagi kalau-kalau buku ini dibaca mereka yang tinggi sensitivitinya dalam isu ini.

Apa yang saya dapati nyata dalam karya penulis, beliau memang suka mengistilahkan sesuatu dan menjadikannya satu kata nama khas. Soul of the World, Language of the World, dan macam-macam lagi. Dahulu saya tidak berkenan benar dengan idea yang dibawakan ini, tetapi setelah membaca saya yakin ini bukan sahaja stail penulisannya, tetapi lebih penting jika kita dapat berfikir mesej yang ingin disampaikan di sebalik ungkapan metaforikal tersebut. (Di bahagian belakang buku edisi baru disertakan sebuah temuramah dengan penulis oleh sebuah laman web untuk berbicara mengenai penggunaan istilah-istilah ini.)

The Alchemist sebenarnya diambil tajuknya bersempena seorang tokoh ilmu alkimi yang ditakdirkan bertemu dengan pengembala muda dari Sepanyol itu. Bertitik tolak dari pertemuannya itulah dia tekad untuk mengejar cita-citanya  sehingga ke hujungnya. Kembaranya bertemu pelbagai ragam manusia dan petanda-petanda alam (omens) memahamkan dirinya tentang apa yang patut diberi prioriti, juga kepentingan mengambil peluang dan tidak takut mengambil risiko, juga bagaimana kegagalan tidak sepatutnya menghalang kita daripada berfikir secara positif. 

Mungkin ada yang beranggapan novel ini sedikit celaru, kerana dalam menjelaskan pengamalan muslim penulis juga membawa sisi kurang elok. Contohnya pengamalan muslim yang ditunjukkan berbeza-beza dan kadang-kadang tidak menggambarkan sikap muslim. Seperti Fatima, cinta pertama Santiago yang sanggup melanggar Tradisi atau kata lain melanggar hukum agama hanya kerana cinta. Atau selesa bercita-cita tinggi untuk menunaikan haji di Mekah seperti penjual kristal di Tangier tetapi akhirnya bila cukup harta untuk menunaikannya dia tidak mahu meneruskan impiannya itu. Atau kecelaruannya boleh juga dilihat pada babak Santiago berbicara secara terus dengan matahari dan angin dan hati. Yang pasti setiap peristiwa-peristiwa penting itu sebenarnya boleh diekstrak sendiri pengajarannya, dan itu bergantung pada kita pembaca! 

Tidak mudah untuk menyukai hasil tulisan Coelho! Sebanyak manapun ulasan bagus tentang buku-bukunya, secara peribadinya saya bukan sealiran dengan cara pemikirannya. Ingat, yang menilai adalah anda pembaca, bukan saya sahaja. Jika jernih ambillah, kalau keruh buanglah.


Baca ulasan The Witch of Portobello di sini.

HelaianRindu: Aku pun belum betul-betul berani!  Bagaimanapun, Al-Quranlah sumber inspirasi sebenar! Mahu jadikan ia pegangan sepenuh hati!

3 ulasan:

syah berkata...

menarik2..da lama gak mengintai buku ni dan yang sama genre dgan buku macam ni..cuma x terhulur tangan utk beli je..

rasy, ak balik mesia bulan depan..ade cdgan buku utk ak borong x?salina dah dapat dah..akak ak order kat ujanailmu..balik ni bleh bedah..hehe

dan berkata...

aii, teringin nak keluar ngan ko la wahai syahmi..huhu sayangnya tiket tak beli lagi, tak tahu balik bila..:(

apepun..hmm cadangan? err sekian lama ku tak menatap buku2 berbahasa melayu..perkembangannya pun kurang dapat bila duduk sini..yelah tak boleh selalu jenguk2 kedai buku macam kat intec dulu..

buku yg macam mana yg ko cari ek? aku pun, bukanlah tahu sangat..tapi nak juga cuba membantu selagi mampu..

nusaibah berkata...

interesting.
pernah ad yg berkata;

‎"Jangan membaca untuk menafikan,mengelirukan, mempercayai dan menerima bulat-bulat, atau mencari buah perbualan dan perbincangan, tetapi bacalah untuk menimbang dan menilai - Mengkritik tidak bererti menentang, menyetujui tidak semestinya menyokong, menegur tidak bermakna membenci, dan berbeza pendapat adalah kawan berfikir yang baik"

Allahua'alam.

Related Posts with Thumbnails