Mac 05, 2010

Deus ex Machina III

Berubahkah aku hanya bila ada sesuatu
Terus aku pulang pada sikap
Sebelum ku berubah

Menemui Jahiliah.

Maaf, aku tidak mahu tahu khabarmu. Engkau sepatutnya tidak kunjung lagi di kacapuri hatiku. Tapi apakan daya, hidup ini seelok bagaimanapun, engkau tetap wujud. Sedar mahupun tidak, engkau masih akan ada. Hanya orang yang benar-benar terpilih yang akan lepas dari ikatan denganmu.

Dan kerana aku belum cukup jauhlah maka aku menitip warkah ini.


Jahiliah, aku tahu. Dunia ini punyanya engkau. Manusia itu miliknya engkau. Ya, buat masa kini. Puji? Eh, jangan salah faham, aku tidak sesekali bermaksud memujimu. Itu cuma fakta yang tak mampu aku elakkan. Kerana zaman ini zaman yuda. Islam bagaikan terpijak di balik konspirasi dunia. Maharana psikologi dan minda yang langsung mengacau kotak fikir manusia, demi menjauhkan umat Islam dari agamanya. 

Sebut saja; materialisme, liberalisme, ateisme, hedonisme? Ya, malah kau tahu itu! Orang yang malah tahu eksistensinya untuk apa pun jadi goyah kerana engkau! Aku turut sama jadi mangsa, tapi apa daya aku? Engkau yang membesarkan aku dan mengajar aku bermacam fatamorgana dunia. Budak hingusan semacam aku, apa aku mampu tolak suapan hodohmu ketika aku tak mampu menilai hak dan batil?

Kau menghalangiku dari berubah walaupun sesudah aku sedar semua yang kau ajarkan itu palsu semata! Itu yang tak mampu aku terima. Walau kuat mana aku membentengi diriku, kau muncul bersama Iblis untuk menitis senyonyong durjana itu dan melekakan aku. Bukan aku tak tahu, lama dulu pasca perang Salib, King Louis IX yang mencadangkan dirimu menjadi wakil menjauhkan aku dari tanggungjawab.

Hanya sekedar sesuatu tak berapa lamapun itu
Jarang ku terendap dalam sikap di mana ku berubah

Duhai, kenapa harusku luahkan perkara ini padamu!

Apa, kaukata aku hanya menyalahkan engkau? Hei, aku tak menyalahkan dunia. Dunia sudah lemas dalam lautan noda. Sesiapa yang hidup di dunia ini bakal terendam bersama. Antara terselamat atau tidak, itu terserah. Mujur aku disuluh panduan. Namun dalam masa yang sama mungkin kakiku masih menggapai dalam ombak-ombak ganas segara itu. Nyata aku hanya manusia, tidak sekuat mana. Tapi aku akan cuba merengkuh diriku pada langit yang terbentang. Ah, mungkin kau kata, kau tak pedulikan Tuhan. Tapi itulah yang kau cuba jauhkan dari aku bukan?

Tuhan, aku hanya manusia

Maaf, tolong jauhi aku. Aku tidak berkehendakkan dirimu lagi.

Mudah berubah lagi dalam sekejap

Mungkin aku bukan para sahabiah yang menemani Rasul, ya aku tahu itu. Aku tak mungkin mampu menolak tong-tong arak tanpa teragak-agak lagi saat turunnya wahyu pengharamannya secara total. Juga tak mungkin seperti para perempuan Ansar yang sejurus diseru menutup aurat, terus mencapai kain menyelimuti tubuh. Yakin mereka terlalu ampuh. Hulurlah apa pun, kencana mahupun kuasa, takkan tergoyah mereka dengan jahiliah dulu.

Tuhan, aku ingin berubah
Dan ku bertahan dalam perubahanku

Jahiliah,
Maaf--ah,

..sudah kali keberapa aku perlu mohon maaf, sedang sebenarnya aku tak perlu berlaku begitu. Kau tak layak terima ucapan itu. Aku cuma ingin menjaga bahasa, bukankah Islam itu kaya budi dan nilai?

Sudah tiba masa kita berpisah. Semoga tidak berjumpa lagi. Kerana, aku telah ketemu deus ex machinaku: Islam. Semoga aku mampu berubah dan bertahan dalam perubahanku. Kau saksikan saja nanti.

Yang ingin berubah,
Rasydan

HelaianRindu: Lirik dalam italic adalah nyanyian Edcoustic bertajuk 'Berubah'.

4 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

subhanallah..

Doakan ana juga Rasydan..

-aku yang ingin berubah dan merubah.

AdaptingChange berkata...

SubhanaAllah
hari tu baca tapi x habis.
Hari nie baru sampai habis.
Jom kita sama2!! Kita buang jaoh222!!!
*ex machina tu ape ekk?*

dan berkata...

naufal: jom2 berubah dan bertahan dalam perubahan..

aqmin: jom. :) deus ex machina, penyelamat semasa dalam situasi yang hampir tiada kebarangkalian selamat. ala cam cerita cinderella tiba2 muncul fairy godmother dia tu. dan cerita2 lain yang kononnya nak mati heronya tapi tiba2 ada something tolong..itulah deus ex machina. kalau tak faham google saja encik aqmin :))

dan berkata...

yee.teruskan usaha rasydan !!-ashraafraiez warwick-

Related Posts with Thumbnails