Mac 12, 2010

Jeda IV

Pesta Buku Antarabangsa di Malaysia tahun ini sedikit awal nampaknya. Kebiasaannya diadakan pada bulan April, tapi tahun ini akan berlangsung pada 19-28 Mac 2010. Melepaslah tahun ini. Ada beberapa buku terbaru yang saya ingin dapatkan di acara tahunan itu nanti. Bukan bermakna saya tak boleh dapatkan ketika cuti musim panas nanti, cuma bagi pencinta buku, siapa yang nak lepaskan barang 'panas' dan terkini dalam acara yang juga sensasi!

Antara buku yang saya ingin dapatkan adalah 2 karya terbaru Ustaz Hasrizal, bertajuk Murabbi Cinta dan juga Secangkir Teh Pengubat Letih. Murabbi Cinta sebenarnya adalah jilid ketiga dari siri Aku Terima Nikahnya, karya popular Ustaz sendiri. Saya masih belum membaca volum 2 (Bercinta Sampai Ke Syurga) tapi saya nak juga dapatkan naskhah ketiga! Travelog pertama ustaz, Rindu Bau Pohon Tin sangat asyik untuk dibaca, maka sebab itu saya juga akan dapatkan sekali Secangkir Teh Pengubat Letih, iaitu sebuah catatan umbara beliau di Turki.

Kemudian ada buku-buku dari penulis kegemaran saya, Faisal Tehrani. Yang bakal muncul nanti adalah buku Ingin Jadi Nasrallah dan juga paling baru di blognya, sebuah novel bertajuk Bahlut yang menceritakan tentang dunia orang asli dan dunia sukan.


Juga, karya penulis remaja Hilal Asyraf yang sedang meningkat naik iaitu novelnya bertajuk Sinergi. Khabarnya novel ini tebalnya sekitar 500 mukasurat, agak tebal juga. Kemudian ada buku Kembara Hamba Mencari Cahaya, iaitu jilid dua dari siri Langit Ilahi. Apa yang saya dengar, buku ini sebenarnya telah terbit pun sebenarnya, sebab ada penjual online sudah mempamerkan naskhah motivasi ini. Tapi dapatkan di Pesta Buku tentu lebih seronok! Oh ya, informasi buku-bukunya semua boleh didapati di dalam entri-entri terkini blognya, Langit Ilahi. Begitu juga buku Faisal dan Ustaz Hasrizal.

Ada buku baru dari siapa lagi ya yang saya suka? Hmm, saya tidak tahu lagi setakat ini.

Sesiapa yang bakal menjengah ruang Pusat Dagangan Dunia Putra, diharapkan jenguk-jengukkan buku-buku ini ya!

Mac 05, 2010

Deus ex Machina III

Berubahkah aku hanya bila ada sesuatu
Terus aku pulang pada sikap
Sebelum ku berubah

Menemui Jahiliah.

Maaf, aku tidak mahu tahu khabarmu. Engkau sepatutnya tidak kunjung lagi di kacapuri hatiku. Tapi apakan daya, hidup ini seelok bagaimanapun, engkau tetap wujud. Sedar mahupun tidak, engkau masih akan ada. Hanya orang yang benar-benar terpilih yang akan lepas dari ikatan denganmu.

Dan kerana aku belum cukup jauhlah maka aku menitip warkah ini.


Jahiliah, aku tahu. Dunia ini punyanya engkau. Manusia itu miliknya engkau. Ya, buat masa kini. Puji? Eh, jangan salah faham, aku tidak sesekali bermaksud memujimu. Itu cuma fakta yang tak mampu aku elakkan. Kerana zaman ini zaman yuda. Islam bagaikan terpijak di balik konspirasi dunia. Maharana psikologi dan minda yang langsung mengacau kotak fikir manusia, demi menjauhkan umat Islam dari agamanya. 

Sebut saja; materialisme, liberalisme, ateisme, hedonisme? Ya, malah kau tahu itu! Orang yang malah tahu eksistensinya untuk apa pun jadi goyah kerana engkau! Aku turut sama jadi mangsa, tapi apa daya aku? Engkau yang membesarkan aku dan mengajar aku bermacam fatamorgana dunia. Budak hingusan semacam aku, apa aku mampu tolak suapan hodohmu ketika aku tak mampu menilai hak dan batil?

Kau menghalangiku dari berubah walaupun sesudah aku sedar semua yang kau ajarkan itu palsu semata! Itu yang tak mampu aku terima. Walau kuat mana aku membentengi diriku, kau muncul bersama Iblis untuk menitis senyonyong durjana itu dan melekakan aku. Bukan aku tak tahu, lama dulu pasca perang Salib, King Louis IX yang mencadangkan dirimu menjadi wakil menjauhkan aku dari tanggungjawab.

Hanya sekedar sesuatu tak berapa lamapun itu
Jarang ku terendap dalam sikap di mana ku berubah

Duhai, kenapa harusku luahkan perkara ini padamu!

Apa, kaukata aku hanya menyalahkan engkau? Hei, aku tak menyalahkan dunia. Dunia sudah lemas dalam lautan noda. Sesiapa yang hidup di dunia ini bakal terendam bersama. Antara terselamat atau tidak, itu terserah. Mujur aku disuluh panduan. Namun dalam masa yang sama mungkin kakiku masih menggapai dalam ombak-ombak ganas segara itu. Nyata aku hanya manusia, tidak sekuat mana. Tapi aku akan cuba merengkuh diriku pada langit yang terbentang. Ah, mungkin kau kata, kau tak pedulikan Tuhan. Tapi itulah yang kau cuba jauhkan dari aku bukan?

Tuhan, aku hanya manusia

Maaf, tolong jauhi aku. Aku tidak berkehendakkan dirimu lagi.

Mudah berubah lagi dalam sekejap

Mungkin aku bukan para sahabiah yang menemani Rasul, ya aku tahu itu. Aku tak mungkin mampu menolak tong-tong arak tanpa teragak-agak lagi saat turunnya wahyu pengharamannya secara total. Juga tak mungkin seperti para perempuan Ansar yang sejurus diseru menutup aurat, terus mencapai kain menyelimuti tubuh. Yakin mereka terlalu ampuh. Hulurlah apa pun, kencana mahupun kuasa, takkan tergoyah mereka dengan jahiliah dulu.

Tuhan, aku ingin berubah
Dan ku bertahan dalam perubahanku

Jahiliah,
Maaf--ah,

..sudah kali keberapa aku perlu mohon maaf, sedang sebenarnya aku tak perlu berlaku begitu. Kau tak layak terima ucapan itu. Aku cuma ingin menjaga bahasa, bukankah Islam itu kaya budi dan nilai?

Sudah tiba masa kita berpisah. Semoga tidak berjumpa lagi. Kerana, aku telah ketemu deus ex machinaku: Islam. Semoga aku mampu berubah dan bertahan dalam perubahanku. Kau saksikan saja nanti.

Yang ingin berubah,
Rasydan

HelaianRindu: Lirik dalam italic adalah nyanyian Edcoustic bertajuk 'Berubah'.

Related Posts with Thumbnails