Februari 17, 2010

Specimens: Darwinisme & 'Taklidisme'


Judul: Specimens: The Spirit of Zoology
Penulis: Roger Lincoln & Phil Rainbow
Penerbit: The Natural History Museum
Tahun: 2003
Harga: RM33.30
Bil. mukasurat: 64

Semester ini kelas saya diberi tugas mengkaji sebuah kawasan atau bangunan untuk subjek Cultural Context. Subjek ini umumnya mengkaji secara kontekstual apa yang berlaku di sesebuah bandar, tempat dan kawasan. Kadangkala kami juga akan menelaah falsafah dan ideologi tertentu seseorang arkitek dan kemudian menganalisis teori-teori tersebut, adakah sesuai dan teraplikasi pada tempat-tempat terpilih. Semester lalu isinya banyak tertumpu dalam kawasan dalam UK sahaja. Penggal ini pula kawasan yang harus kami kaji itu merata tempat di Eropah, tapi demi menjimatkan wang, kami memilih untuk umbara di dalam negara sahaja. Tempatnya, Natural History Museum dan Darwin Centre di London.

Naskhah bersaiz segi empat sama dan kompak ini mengandungi foto-foto koleksi spesimen zoologi yang terdapat di muzium tersebut beserta deskripsi-deskripsi ringkas. Lebih menarik kita diberi intai apa yang berlaku di belakang tabir--apa yang mereka pamerkan dan yang tidak dipamerkan,  proses mengawet dan menyimpan spesimen, kepentingan mengumpul bahan kajian dan sejarah spesimen-spesimen tertentu.

Saya meminjam buku ini dari perpustakaan universiti sebagai persediaan untuk lawatan saya ke sana  (Isnin lalu). Sedikit sebanyak saya perlu memahami topik curation, iaitu apa yang dipamerkan,  bagaimana penyusunannya, kenapa pihak muzium berbuat demikian. Juga bagaimana selenggaraan mereka ini boleh mempengaruhi pelawat...benda-benda macam itulah. Jadi sekurang-kurangnya saya perlu tahu lebih lanjut dahulu kandungan muzium tersebut. Sayang sekali saya tidak sempat menghabiskan naskhah ini sebelum lawatan kami kelmarin. Mulanya saya sangkakan spesimen yang ditunjukkan dalam buku ini akan dipamerkan kepada umum, tapi setelah upaya menghabiskannya hari ini rupa-rupanya langsung satu pun tidak ditunjukkan!

Apa yang diceritakan di dalam buku ini sebenarnya lebih tertumpu kepada pusat pengajian di balik tabir muzium ini--khususnya di Darwin Centre, iaitu tempat di mana para zoologis dan para saintis evolusi mengumpul sampel haiwan dari pelbagai tempat dan zaman; kemudian metodologi penyimpanan sampel-sampel tersebut beserta metode taksonomi untuk mengklasifikasikannya. Apa yang menarik, sampel-sampel haiwan ini ada yang berusia lebih 200 tahun, disimpan sejak kembara Charles Darwin sendiri menyeberangi darat dan lautan hingga tercetusnya idea evolusinya itu! Penulis menerangkan, koleksi-koleksi ini disimpan di dalam spirit (sejenis alkohol) yang mampu mengelakkan spesimen dari mereput. Namun, ada juga komplikasinya. Walaupun ia tahan lama, bekas yang digunakan perlu sesuai. Label deskripsi spesimen perlu sesuai. Dan paling penting, keadaan di makmal dan stor penyimpanan yang memerlukan suhu optimum dan kondisi yang selamat kerana alkohol sangat mudah meruap dan terbakar. Jadi peralatan dan susunatur pusat kajian sebenarnya sudah direka khas demi menyimpan berjuta spesimen di situ!

Charles Darwin dan Teori Evolusi?

Memang, dapat kita lihat kajian zoologi yang dijalankan di Darwin Centre ini tertumpu pada mengetahui sejarah evolusi satu-satu spesis. Saya terfikir juga, bagaimana Darwin boleh mencapai konklusi 'manusia berasal dari beruk' itu? Sememangnya sekali dengar kita akan berasa jelik dan menggeleng sepenuh daya menafikan kenyataannya. Tapi adakah dengan tiba-tiba Darwin mencapai kesimpulan itu? Adakah, baru sahaja bangun dari tidur, dia melafazkan "manusia berevolusi dari beruk"? Tentu tidak!

Darwin, mengikut buku ini, pernah belayar bersama kembara bernama Beagle selama lima tahun (1831-1836) demi mengumpul spesis dari pelbagai benua untuk tujuan akademia. Melalui kembara inilah tertulisnya karya terkenalnya, On the Origin of Species, yang bukan sahaja menceritakan teori evolusi, tetapi menjelaskan serba lengkap penyelidikannya sepanjang pantai Amerika Selatan, merentas Laut Pasifik menuju New Zealand dan Australia. Juga terus menuju Tanjung Pengharapan di benua Afrika dan akhirnya pulang ke tanah airnya, Britain selepas itu. Ini bermakna, Darwin sendiri melakukan kajian mendalam sebelum dia mencecah kesimpulan sedemikian. Sememangnya, kita boleh dapati kelemahan di balik kenyataan beliau, tapi kadang-kadang ramai dalam kalangan kita yang hanya bertaklid melulu menyatakan 'teori evolusi salah' atau 'teori evolusi bertentangan dengan sunnatullah', tapi hakikatnya? Apa hujahnya pun tidak pernah berusaha mengkaji! Sekurang-kurangnya Darwin berusaha keras demi membuktikan teorinya benar!

Selain Beagle, terdapat banyak lagi kembara akademia yang dijalankan, antara namanya termasuklah Discovery, Challenger dan Endeavor. Kita yang terus-terusan mengatakan teori Darwin itu salah sepatutnya juga berusaha membaca dan menambah ilmu bukan? Karya-karya Harun Yahya sangat kaya dengan subjek ini dan sangat sesuai jika kita sama-sama uliti. Saya sendiri perlu lebih rajin membaca karya-karya beliau, kerana saya juga masih kurang ilmu tentang hal ini.

Lawatan saya kali lepas tidaklah lama mana, kerana tempatnya sangat besar dan mengagumkan. Saya berharap dengan sangat, semoga tidak lama lagi muncul peluang kedua meneliti isi muzium tersebut. Terutamanya, saya ingin perhatikan koleksi rangka dinosaur yang teramat besar. Kalau boleh ingin juga menikmati koleksi spirit seperti yang dipamerkan dalam buku ini sendiri! (Ada cacing pita sangat panjang, digulung pada plat kaca yang ingin saya dan rakan lihat!)

HelaianRindu: Kucing saya sudah turun 3 kilogram dari berat asal. Tak makan 3 minggu katanya, hanya minum air kosong, dan mula hilang tumpuan!

4 ulasan:

emmar berkata...

setiap karya harun yahya setakat yang pernah saya belek, pasti ada bahagian sama ada sebagai perkara utama atau sampingan menyelitkan hal berkenaan teori darwinisme. harun yahya begitu menyedari bahawa hal ini sangat berkaitan dengan aqidah; tauhid rububiyah. umat manusia berisiko untuk bukan setakat tidak menjadikan tuhan sebagai ilah, bahkan menafikan terus kewujudan tuhan itu.



barangkali kucing itu sakit atau menunggu ketetapan.

dan berkata...

emmar: Itulah, di hujung buku harun yahya mesti ada bercerita tentang evolution deceit atau penipuan evolusi. Ya, memang darwinisme mengajar menolak kewujudan Pencipta. itulah sebabnya saya nak tekankan kita yang jelas faham mana betul mana salah, harus lebih aktif berhujah dengan hujah yang benar. Darwin yang kemukakan teori hodoh itu pun ada usahanya, apatah lagi kita bukan?

Kucing saya itu, memang, saya jangka perkara yang sama, sudah sampai masa. Dia sudah hilang beberapa hari. harap-harap jumpalah walau mayatnya.

emmar berkata...

bagaimana pendapat anda mengenai penulisan dalam hal ini, rasydan? (rasululullah ada menulis surat kepada raja mesir dan sebagainya sewaktu dakwahnya, pena sayed qutb lebih tajam dan mengancam daripada peluru musuhnya)

dan berkata...

apa maksud ingin pendapat saya tentang situasi2 itu? dari segi apa perlu saya bagi pendapat? kalau secara umum, saya rasa penulisan mereka sudah tentu lebih mantap dan banyak manfaatnya. Penulisan yang digunakan untuk tujuan dakwah yang dapat mempengaruhi hati orang begitu hebat!

maaf jika kurang idea, soalan itu terlalu umum!

Related Posts with Thumbnails