Ogos 30, 2010

Umar Abdul Aziz, Ikon Good Governance

Judul: Umar bin Abdul Aziz - Peribadi Zuhud Penegak Keadilan
Penulis: Abdullah bin Abdul Hakam
Penerbit: Alam Raya Enterprise
Tahun: 2009
Harga: RM25
Bil. mukasurat: 204

Dalam membaca, soal terpenting untuk kita akrab dengan isi kandungan sesebuah buku sudah tentu maklumat atau tema yang disampaikan. Setiap orang ada subjek yang diminati. Ada yang meminati genre sejarah, ada yang mesra dengan tajuk politik, dan macam-macam lagi. Tetapi, isi menarik tidak punya makna pula sekiranya tidak disampaikan dengan teliti, yakni disampaikan secara sambil lewa atau dengan bahasa yang tidak tersusun. Pembaca sukar faham mesej yang diimplementasi dan ilmu susah untuk lekat di dalam cepu minda. Di sinilah letaknya kelemahan naskhah terbitan Alam Raya Enterprise ini.

Kebelakangan ini saya mula mendekati buku-buku bertemakan sejarah dan tokoh-tokoh dalam sejarah Islam. Jadi apabila melihat buku ini, tanpa teragak saya membelinya, tetapi apabila membaca beberapa muka awal saja, saya sudah hampir menyerah. Bahasanya tunggang-langgang!

Tidak hairanlah, kerana naskhah ini berasal dari Indonesia dan diterjemahkan. Sebelum itu pula buku ini sebetulnya berbahasa Arab. Jadi sudah melalui tiga terjemahan yang menjadikan struktur ayatnya memeningkan. Tambah mengecewakan apabila kandungannya tidak begitu tersusun pada saya. Ini kerana isi setiap bab kelihatan hampir sama—semuanya adalah anekdot-anekdot dari sejarah tokoh Umar Abdul Aziz ini. Malah, banyak juga kesilapan ejaan yang mengganggu mood pembacaan.

Kalau tidak silap, buku ini telah diulang cetak dengan pernyataan "Buku Terlaris" di kulit hadapan. Harapnya ada penambahbaikan dari segi penyampaiannya.

Ikon Tatakelola Pemerintahan Yang Baik (Good Governance)

Bercakap soal ketelitian ini, tokoh Umar bin Abdul Aziz ini begitu teliti sifatnya. Pada setiap hal, diperhatikan betul-betul sumbernya dan situasinya. Daripada soal pemerintahan negara sehinggalah makan pakai anak-anaknya malah gajinya dipertimbangkan. Inilah tokoh yang mempamerkan cirri sebenar tatakelola pemerintahan yang baik, atau dikenali di Barat sebagai good governance. Tidak hairanlah Umar bin Abdul Aziz juga terkenal dengan julukan Khalifah Rasyidin yang kelima (yakni selepas Ali Abi Talib).

Mengapa begitu? Seperti yang saya katakan tadi, Umar sangat teliti dalam pemerintahannya. Sekecil-kecil perkara tidak akan dianggap remeh. Amanah yang dipegangnya dipandang setinggi-tingginya. Gajinya sendiri ditetapkan olehnya lebih rendah dari para pekerjanya. Kurma yang dihantar melalu pos kepadanya juga ditolak dengan alasan kaum muslimin lebih berhak mendapatkannya. Perhiasan isterinya pula dimasukkan ke dalam baitulmal.

Malah beliau memerintah dengan cara yang sangat berbeza dengan khalifah-khalifah sebelumnya, yang bukan saja suka menggunakan harta baitulmal sewenang-wenangnya, malah tidak mengambil berat dengan serius permasalahan yang berlaku. Sehingga diceritakan, apabila Umar mengutus Yahya bin Said ke Afrika untuk membahagi-bahagikan zakat kepada yang memerlukan, Yahya tidak menjumpai seorangpun yang memerlukan wang zakat tersebut. Katanya, Umar telah menjadikan rakyatnya kaya.

Padahal Umar hanya memerintah selama dua setengah tahun saja!

Khalifah Umar juga sangat zuhud dan merendah diri. Awal perlantikannya, dia merasakan tidak layak untuk menjadi khalifah. Apabila berlaku perlantikan, sikapnya lantas berubah. Dahulunya dia juga mementingkan materi dan wang, tetapi apabila merangkul tanggungjawab itu, dia semakin bersederhana.

Anak-anaknya waktu itu cuma makan adas dan bawang untuk makan malam. Pakaian yang dipakai juga sangat sedikit sampaikan beliau terlewat ke masjid kerana mencuci pakaiannya untuk dipakai waktu itu. Beliau juga tidak suka dipuji tetapi lebih suka meminta nasihat dan teguran, menyebabkan airmata beliau selalu jatuh.

Educate, Bukannya Legislate!

Nah, bukankah ini antara contoh pemimpin terbaik? Bak kata Dr. Siddiq Fadzil, pengantar buku ini; Umar menggunakan pendekatan educate (mendidik) dan bukannya legislate (menggubal). Umar sendiri adalah contoh undang-undang dan bukannya hanya mengarah-arah pekerja di bawah dan duduk bersenang-senang di pejabat. Seperti Rasulullah yang menjadi qudwah hasanah buat umat. Kalau mahu dibandingkan dengan kita dan pemimpin negara zaman kini, tentunya masih banyak kelemahan pada zaman kita.

Pemimpin seronok-seronok saja bercuti dan berbulan madu sedangkan masih ada yang makan kais pagi dan petang. Yang kononnya melaung untuk mendahulukan rakyat, tetapi di dada media masih terpapar kesusahan warga. Katanya kebebasan bersuara diamalkan, tetapi mulut rakyat malah dipakukan. Umar Abdul Aziz hanya ada tidak sampai tiga tahun, sedangkan pemimpin kini mentadbir berdekad-dekad tetapi hasilnya?

Saya terkenang kisah pertama saya tentang Umar Abdul Aziz, yang saya baca dalam bentuk komik sewaktu di bangku sekolah rendah di dalam majalah Ana Muslim. Kisah Umar dengan lampu pelitanya. Ketika sedang menyelesaikan urusan negara di mejanya, anak kecilnya datang untuk menceritakan masalah keluarga. Umar tiba-tiba memadamkan lampu dan bilik itu menjadi gelap. Anaknya hairan, lalu bertanya:

“Mengapa ayah padamkan lampu? Bilik jadi gelap.” Lantas Umar menjawab:

“Anakku, lampu ini milik kerajaan, jadi dipasang hanya untuk menyelesaikan urusan negara. Tetapi engkau datang bertanyakan hal keluarga, jadi kita harus gunakan lampu milik kita untuk menyelesaikannya.”

Lalu dipanggil pembantunya untuk membawakan lampu mereka. Lihatlah, pemimpin negara! Adakah kamu telah menggunakan hak yang sepatutnya milik rakyat? Benarkah kamu telah meneliti suara-suara rakyat? ‘Amanah’kah kamu seperti amanahnya Umar Abdul Aziz?

Semoga bukan saja pentadbir negara bermuhasabah, kita yang mentadbir keluarga dan diri juga harus bermuhasabah. Mari menyeluruhi tatakelola pemerintahan Umar Abdul Aziz dalam diri kita!

HelaianRindu: Majalah Ana Muslim memang best, dulu suka sangat Satria Bulan Bintang. Dapat tahu majalah dah keluar, terus berlari ke pejabat sekolah cepat-cepat! (Masa itu di sekolah rendah agama Ana Muslim dijual oleh seorang guru di pejabat)


Ogos 14, 2010

Setengah Berisi, Setengah Kosong?


Judul: Setengah Berisi, Setengah Kosong?
Penulis: Parlindungan Marpaung
Penerbit: PTS Millennia
Tahun: 2008
Harga: RM25
Bil. mukasurat: 272

Buku ini merupakan hadiah dari seorang teman akrab, Zarif, lebih setahun lalu sempena ulangtahun kelahiran saya (baru sekarang membacanya!). Mirip buku motivasi Chicken Soup for the Soul yang popular di Barat. Kandungannya adalah anekdot-anekdot, catatan pengalaman ringkas, dan juga lelucon-lelucon yang disertakan dengan pengajarannya yang tersendiri mengikut perspektif penulis.

Tajuk Setengah Berisi, Setengah Kosong itu memperihalkan aspek yang dipersembahkan melalui anekdot-anekdot yang disertakan. Bermula dari secawan gelas yang diisi separuh dengan air, adakah penonton akan mengatakan gelas itu separuh berisi, atau adakah anda akan berkata ia separuh kosong? 'Melihat sesuatu melalui sudut pandang berbeza'--inilah yang menjadi inti nasihat yang dikemukakan.

Buku ini dibahagikan kepada lima bahagian. Setiap bahagian terkandung cerita-cerita yang disaduri tema yang sepadan. Bahagian-bahagian itu adalah Kasih Sayang, Komunikasi, Motivasi, Profesionalisme, dan akhir sekali Tingkah Laku. Lebih kurang sepuluh kisah dimuatkan dalam setiap satunya.

Penulis cuba membawa perspektif lain pada kisah-kisah tersebut, yang sesetengahnya pernah kita dengar atau baca. Saya juga mendapati ada anekdot yang pernah saya terima melalui forwarded email, ada yang saya terbaca di majalah-majalah sebagai sisipan jenaka. Kebiasaannya, cerita yang saya dapat itu dipandang pada sudut jenaka semata-mata. Tetapi penulis mengambil secubit pengajaran bukan sahaja dari penghujung cerita seperti yang kita biasa lakukan. 

Kadangkala, penulis mengambil contoh dari tengah kisah yang kecil sifatnya dan mungkin kita lepas pandang, tetapi hakikatnya isu itulah yang mempengaruhi keseluruhan cerita dan memberi pengajaran terbesar.

Saya masih ingat kata-kata teman saya di akhir sebuah program yang saya ikuti tidak lama dulu:
"Jangan pandang apa yang program ini beri pada kita, tetapi fikirkan apa yang telah kita sumbangkan untuk menjayakan program ini!"

Lihat, betapa pentingnya untuk kita memandang dari sudut berbeza! Cara ini membantu kita muhasabah dengan lebih baik.

Penulis Ustaz Hasrizal Abdul Jamil dalam buku terbarunya Secangkir Teh Pengubat Letih ada menyatakan, "Siapa kamu menentukan cara kamu melihat. Kesannya pula ialah, cara kamu melhat menentukan apa yang kamu dapat." Bermakna, pengajaran-pengajaran yang diekstrak dari sebuah cerita tentunya berbeza mengikut sudut pandang kita. 

Tidak semestinya kita terikat dengan penjelasan yang disediakan penulis. Sekiranya ada sudut pandang yang positif dan bermakna buat diri kita untuk dikongsikan dari cerita yang sama, apa salahnya untuk mengambil pengajaran yang berbeza? Setiap orang mempunyai pengalaman hidup yang berbeza-beza, sekaligus menjadikan penerimaan kita terhadap sesuatu peristiwa juga berbeza-beza. Tentunya, semua bergantung pada niat: Apa yang ingin kita cari dari sebuah buku@peristiwa dan sebagainya?

Sayangnya, pengajaran yang dimuatkan tidak dirangkumkan dengan nilai Islami, jauh sekali mengimplementasi dalil-dalil. Mungkin disebabkan penulis ingin meluaskan skop audiens yang membaca bukunya, yakni tidak tertumpu kepada muslim semata-mata. Sebagai sebuah buku motivasi, malah berasal dari Indonesia yang berbilang agama, tidak hairanlah buku ini ditulis seperti sekarang. Tentunya, pembaca tua atau muda boleh membacanya kerana isinya yang bersifat umum.

Buku ini dicadangkan penerbit untuk mereka yang inginkan minda sentiasa positif dan kreatif. Juga bagi mereka yang inginkan inspirasi yang menjadikan anda kekal optimis. Sekiranya anda  sememangnya orang yang bersifat begini, mungkin tidak perlu lagi membaca karya ini. Tidak salah membacanya, tetapi saya rasakan masih banyak buku yang lebih baik dan lebih penting untuk diladeni untuk anda yang sudahpun positif.

Sekiranya anda tercari-cari idea untuk memberi penyampaian pada orang lain, mungkin buku ini sesuai. Ustaz Hasrizal sendiri, selalu menggunakan pendekatan cerita-cerita pendek sebegini dan memberi pengajarannya mengikut tema yang disampaikan. Dia juga pernah mencadangkan untuk pembaca mengambil manfaat dari buku ini dalam sebuah artikel di laman sesawangnya yang bertajuk Antara Optimis dan Pesimis.

(Saya juga belum menghabiskan keseluruhan buku ini, cuma menelaah beberapa kisah dari bahagian-bahagian tertentu sahaja!)

Antara kisah yang termuat, Keajaiban 1 Dolar 11 Sen; Setengah Berisi, Setengah Kosong; Telinga Si Ibu; Harga Waktu Ayah; Burung Kanada; Membakar Jambatan; Aku Bukan Ayam; dan lain-lain.

HelaianRindu: Harap Zarif sihat selalu. Jom main air sabun dan krim kek! Haha.


Ogos 11, 2010

Ramadhan, Tetamu Yang Dirindui

Judul: Ramadhan - Tetamu Yang Dirindui
Penulis: Abdul Hadi Awang
Penerbit: PTS Islamika
Tahun: 2009 (cetakan ketiga)
Harga: RM12
Bil. mukasurat: 133

Alhamdulillah, sekali lagi kita dipanjangkan umur untuk bertemu Ramadhan Al-Mubarak. Di serata dunia umat Islam meraikannya dengan pelbagai cara dan gaya. Tentunya dimeriahkan lagi dengan pelaksanaan solat sunat tarawih setiap malam, dan juga pesta tadarus Al-Quran di rumah, masjid mahupun di tempat awam yang lain.

Bagi saya pula, tahun ini terasa sedikit aneh, kedatangan Ramadhan biasanya dirasakan bahangnya; tetapi tahun ini berbeza. Sedar-sedar saya sudah berada di bulan yang mulia ini! Masa memang sudah sebegitu pantas berlalu...

Tentunya bagi orang yang hendak menyediakan diri dengan sepenuhnya pada bulan ini perlu fasih dan arif tentang puasa khususnya di dalam bulan Ramadhan ini. Antara satu cara untuk mempersiapkan diri adalah dengan mencari bahan bacaan, tidak kiralah melalui buku, majalah mahupun internet. Di waktu ini tentunya artikel-artikel menarik dan ilmiah berkenaan puasa sudah diterbitkan di akhbar-akhbar dan majalah-majalah. Pencarian bahan bacaan ini menemukan saya dengan buku kecil comel berwarna biru ini.

Mungkin buku ini bukanlah rujukan lengkap mengenai Ramadhan dan perkara-perkara yang berkaitan dengannya. Tetapi, sebagai sebuah rujukan pantas, buku ini menyediakan fakta-fakta ringkas merangkumi dalil-dalil Al-Quran dan Al-hadis tentang puasa. Saiznya yang kompak dan nipis juga menjadikan sifatnya sepadan sebagai buku ulangkaji untuk dibaca di mana-mana pun.

Isinya sederhana saja, tetapi memuatkan aspek-aspek yang wajar diambil tahu oleh pembaca. Contohnya, sejarah bulan Ramadhan, sejarah puasa, peristiwa bersejarah dalam bulan Ramadhan, syarat wajib, rukun dan perkara yang membatalkan puasa. Termasuk dalam buku ini juga adalah kelebihan puasa mengikut dalil nakli, juga kelebihan dari sudut saintifik (aspek kesihatan, psikologi dan lain-lain), juga beberapa doa ringkas yang ma'thur.

Setiap bab memberi huraian secara ringkas, tetapi dapat memberi gambaran secukupnya tentang Ramadhan serta perkara-perkara lain yang terlibat.

Antara bab terpanjang dalam buku ini ialah peristiwa bersejarah dalam bulan Ramadhan. Bab ini ditekankan juga sebagai satu inspirasi bahawa puasa bukan menjadikan kita lemah. Pelbagai kemenangan telah diraih umat Islam dalam bulan barakah ini, termasuklah pembukaan kota Mekah dan Pembukaan Andalus. Banyak ilmu baru yang saya dapati khususnya dalam bab ini.

Tahun ini pula, PTS ada menerbitkan sebuah buku tulisan Zamri Zainal Abidin menjelaskan lebih lanjut peristiwa-peristiwa ini, beserta ilustrasi. Tajuknya Peristiwa Sejarah Ramadhan, dan boleh didapati jika berminat untuk mengetahui peristiwa ini secara rinci. Saya masih menanti naskhah ini dari PTS, jadi tidak tahu bagaimana bentuk kandungannya secara jelas. Insya Allah, selesai dibaca nanti saya cuba kongsikan jikalau berkesempatan.

Di samping kita menghidupkan puasa Ramadhan dengan ibadah, sama-sama kita berusaha juga untuk menambah pembacaan kita. Bukankah ayat pertama yang turunnya dalam bulan ini adalah berkenaan membaca? Bukan hanya bahan berkaitan puasa tetapi apa jua bahan bacaan asal tidak tersimpang dari landasan syariah. Lebih bagus lagi sekiranya dapat membaca bahan yang dapat meningkatkan ilmu Islam dan memberi fikrah. Insya Allah, sama-sama kita usahakan.

Bagi yang tidak tahu buku apa yang sesuai dibaca tentang Ramadhan, boleh cuba bermula dikit-dikit dengan buku ini. Jadikan buku ini panduan 'menyambut' tetamu yang sudah lama dirindui dan ditunggu-tunggu ini. Salam Ramadhan semua!

HelaianRindu: Dulu masa budak-budak mak kena masak nugetlah, ayam goreng, kentang goreng... nak suruh bangun sahur! 


Ogos 10, 2010

Emak Ingin Naik Haji

Pergi haji ke tanah suci
Menjalani niat yang murni
Wajahnya berseri-seri
Penuh rahmat dari Ilahi
Semoga Tuhan memberkahi
Amal ibadah insani

Lagu ini sudah wujud di dalam laptop saya sekian lama tapi buat pertama kali saya rasa terusik untuk mendengar dan menghayatinya. Rasa itu mampir saat menonton trailer filem ini dan membaca rekomendasinya dari teman saya, Naqeb yang baru-baru ini menontonnya. Lagu  ini bertajuk Pergi Haji dendangan Haddad Alwi dan Ashila.

Kisah ini kisah seorang hamba Allah yang terlalu mendambakan untuk menunaikan haji di tanah suci tetapi tidak kecukupan wang. Wang simpanan hasil jualan kuih muihnya masih sedikit jika hendak dibandingkan dengan kos mengerjakan haji yang kian meningkat tahun ke tahun. Anaknya Zain juga hanya berjualan lukisan-lukisan di jalanan, susah untuk mendapatkan hasil.

Wang itu pula terpaksa digunakan untuk belanja pembedahan cucunya, kemudian menolong jirannya yang kesempitan wang dan makanan. Di satu sisi yang lain, diceritakan pula seorang ahli politik yang segera ingin menunaikan haji demi nama dan kepentingan politik semata-mata, dan tetangga Zain yang kaya sudah beberapa kali berangkat ke Mekah menunaikan umrah dan haji.

Betapa emak ingin naik haji, sekalipun wangnya tidak kisah dihabiskan untuk orang lain, dia masih sedih di lubuk hati. Babak menitisnya airmata ibu di atas helaian-helaian Al-Quran usang ketika membaca surah Ali-Imran begitu menggambarkan keinginannya yang teramat. Apatah lagi, saya perasan bacaannya terhenti di ayat 96, ayat yang menceritakan tentang Baitullah di bumi Mekah yang penuh barakah...

Tentang Sikap

Emak, walaupun hidupnya susah, tetap mementingkan keluarganya dari dirinya sendiri. Kesusahan yang dilalui cucunya perlu ditanggung. Juga dua beradik di sebelah rumah yang terlalu ingin makan yang sedikit mewah tetapi tidak mampu kerana kesempitan wang dek ayah yang sakit dan tidak mampu bekerja.

Zain pula, begitu sayang dan kasihan kepada ibunya, berusaha sedaya upaya mencari duit untuk mengganti semula duit simpanan yang dibelanjakan untuk anaknya. Di waktu malam dia berkejaran mencari siapa-siapa yang ingin membeli lukisan-lukisannya tetapi dihampakan. Hampir sahaja dia mencuri masuk rumah jirannya demi mendapatkan duit, namun dengan hidayah Allah, kehendaknya dibatalkan.

Bagaimana dengan tetangga-tetangganya? Jirannya yang tinggal di sebelah rumah sangat kaya, tetapi entah kenapa seperti tidak diendahkannya. Sementara makanan yang disediakan untuk anak-anak mereka begitu mewah dan berlebih-lebih, jiran di sebelahnya pula sampai memakan bangkai burung demi merasa nikmat makan daging. Ahli politik di kawasan tersebut pula tidak mengejar peluangnya untuk beribadat sebanyak-banyaknya, katanya cukuplah sah, dan asalkan gelaran haji itu mampu meraih perhatian masyarakat nanti.

Sedangkan emak yang tidak mampu dari segi wang, cuma mampu menatap gambar-gambar, dan sebuah potret kaabah yang dilukis anaknya...

Nuansa Adaptasi

Lihat saja filem-filem Indonesia, bak kata Naqeb teman saya itu, banyak yang berjiwa. Filem-filem, drama dan cereka TV Malaysia, berapa banyak saja yang bersifat sedemikian? Filem ini sebenarnya diangkat dari sebuah cerpen yang ditulis oleh Asma Nadia, yang termuat dalam naskhah kompilasi cerpen-cerpennya yang diberi tajuk sama.

Daripada sebuah cerpen, boleh terbit sebuah filem. Malah mampu dilihat walau tajuk dan tema kisahnya begitu simple, tetapi ideanya berkualiti dan jalin watak dan peristiwanya bernas. Betapa bagus apabila sebuah cerita di layar lebar diadaptasi daripada cerpen kerana setiap butir cerita mampu dipersembahkan kepada penonton malah boleh digubah untuk menjadikannya lebih menarik. Tambah menyegarkan apabila mise en scene filem ini tampil unik, diadun dengan latar tempat dan masyarakatnya yang pelbagai. Tentunya berlainan dengan melayarlebarkan novel; banyak peristiwa, dialog dan watak yang terpaksa diketepikan demi jalan cerita utama.

Aneh bukan, di Malaysia, kita punya banyak karya-karya sastera, yang mutunya tinggi dari segi plot dan nilai, tetapi tidak diendahkan untuk dihidupkan ke dunia realistik. Sastera Islami yang berkembang dari hari ke hari cuma tinggal untaian kata-kata, dan kaca televisyen makin penuh dengan cerita cinta yang meloyakan, cerita Islamik yang klise dan mendatar penceritaannya. Tidak kurang juga cerita seram yang entah di mana pengajarannya.

Cerita Emak Ingin Naik Haji hanya berdurasi sejam, tetapi sudah cukup untuk menggegar nubari. Banyak lagi yang boleh dikupas, tetapi saya pulangkan pada pembaca untuk menonton dan mengambil pengajarannya sendiri.

"Emak mungkin tak mampu buat melewati samudera yang luas begitu untuk ke tanah suci.. tapi mak yakin, Allah pasti tahu....hati emak sudah lama ada di situ..sudah lama ada di situ.."

HelaianRindu: Sudah bersediakah aku?


Ogos 05, 2010

Deus ex Machina IV



Di sini, aku ketemu
sebaris senandung syurga yang mengalun katarsis
bahawa kerehatan hanya di sana.

Di sini, aku ketemu
sepucuk kalimah, penawar buat sang guru yang hiba.

Dan juga, sebiji benih mula
Walau seberapa lambat pun..
Mohon cambahnya ada.

Mohon...


Related Posts with Thumbnails