Mei 31, 2014

Mencabar Rumus di Hati


Judul buku: Rumus di Hatinya (博士の愛した数式 - Hakase no Aishita Sushiki)
Penulis: Yoko Ogawa
Penterjemah: Normalis Amzah
ISBN: 9789674301163
Harga: RM30.00/ 35.00 (Sabah & Sarawak)
Tahun terbit: 2014
Bilangan mukasurat: 212
(Nombor resit pembelian: ITBM02000473, dibeli pada 26 April 2014)

Rumus di Hatinya merupakan sebuah novel terjemahan dari karya Yoko Ogawa dari Jepun yang bertajuk Hakase no Aishita Sushiki. Saya kembali membaca buku ini setelah membaca terjemahannya sebelum ini dalam bahasa Inggeris, yang diberi tajuk The Professor and the Housekeeper. Berbeza dengan tajuk bahasa Inggeris, saya fikir tajuk yang dipilih dalam Bahasa Melayu lebih indah, malah tidak lari dari makna asal tajuknya dalam bahasa Jepun.

Ketika ternampak buku yang agak tenggelam ini di rak ITBM semasa pesta buku lalu, dek kulit buku putih yang sebegitu banyak, saya terkejut dan gembira pada masa yang sama. Lantas saya membelinya tanpa berfikir panjang, kerana amat yakin keindahan falsafi novel ini mampu diterjemahkan dengan diksi yang tidak kurang indah dalam bahasa ibunda.

Mengulas buku ini ada cabarannya buat saya, kerana saya betul-betul jatuh cinta ketika membaca novel Inggerisnya, dan setelah itu apabila menonton filemnya pula, The Professor’s Beloved Equation tidak lama selepas itu – makin dalam cinta saya terhadap karya ini. Lantaran itu terlebih dahulu saya nyatakan, ulasan saya mungkin lebih cenderung mempositifkan novel ini, bimbang juga tidak dapat betul-betul memberi kritikan yang seimbang lagi.

Novel Rumus di Hatinya menceritakan  Profesor (Hakase dalam bahasa Jepun) yang terhenti ingatannya sejak tahun 1975 setelah terlibat dalam kemalangan pada tahun tersebut. Sejak hari itu, ingatannya berfungsi seperti pita rakaman yang hanya boleh bertahan selama 80 minit. Keupayaan yang sedemikian menyebabkan profesor hidup terasing dan menyendiri. Sehinggalah seorang pembantu rumah datang dan mendepani kerenah Profesor yang sering lupa ini, dunia kedua-duanya berubah.

Melalui rangsang sari (blurb) yang dibekalkan kepada pembaca, kelihatan seperti karya ini adalah karya berbentuk slice-of-life yang menyelongkar perhubungan luarbiasa antara dua darjat berbeza. Seorang yang begitu terpelajar dan berumur, seorang lagi muda dan telah bekerja sebagai pembantu rumah sejak sekian lama. Seakan-akan juga ia berbaur percintaan antara dua insan ini. Hakikatnya, kisahnya berkisar falsafah kehidupan berunsur kekeluargaan dan persahabatan, tetapi lebih menarik, falsafahnya hadir dalam nuansa dunia matematik, nombor dan rumus.

Di Sebalik Rumus

Sebagai seorang yang agak lembab dalam bidang matematik dan fizik, apabila mengetahui premis cerita ini pada awalnya, saya agak pesimistik, bimbang isinya berat untuk dihadam. Sebaliknya, penulis berjaya memberi gambaran matematik dan nombor dalam perspektif baru, unik dan cukup menarik. Nombor perdana digambarkan seperti bintang-bintang di langit. Nombor karib diterjemahkan dalam ikatan persahabatan Profesor-pembantu rumah:

“…Nombor karib. Pasangan yang jarang-jarang ditemui. Fermat dan Descartes pun masing-masing hanya menemui satu pasangan sedemikian. Sungguh hebat perkiraan yang diatur oleh tuhan. Hari lahir kamu dan nombor yang terukir pada jari tangan saya, rupanya mempunyai jalinan yang cukup indah.”

Barangkali, penerapan watak dua darjat yang ketara ini sememangnya mudah untuk ditelusuri sebarang pembaca yang tidak mendalami bidang matematik sekalipun (atau dalam kes saya, lembab). Pembantu rumah yang hanya terdidik setakat sekolah menengah mampu menyelongkar rahsia alam (atau dalam bahasa profesor, buku nota tuhan) dan ini mampu dirasakan hubungannya oleh pembaca, apabila pembantu rumah cuba mengimplementasi kegunaan dan keindahan nombor dalam hidup sehari-hari.

Apabila profesor cuba menguji pembantu rumah tentang matematik, pembantu rumah tersebut akan segera mengaitkan soalan tersebut dengan aktivitinya seharian, seperti memberi contoh berat daging yang akan dibeli di pasar dan sebagainya. Profesor juga turut menggunakan nombor yang berada di sekitar mereka – berat badan, saiz kasut, tarikh lahir dan lain-lain.

Semasa mengulasnya dua kali dahulu (buku dan filemnya) saya pernah cuba memberi terjemahan bebas kepada dalam beberapa petikan kata-katanya. Ternyata, jika terjemahan dilakukan dengan teliti, falsafahnya cukup berkesan dalam bahasa apapun. Namun cabaran penterjemah –dalam kes buku ini, Normalis Amzah—bukan saja dari sudut pemikiran di sebalik teori, tetapi teori dan formula yang dipersembahkan itu sendiri juga perlu diberi perhatian yang cukup seni. Hal ini agar pembaca yang agak asing dari dunia ilmu hisab ini masih boleh menangkap makna rumus tertentu tanpa perlu membaca lanjut tentangnya  terlebih dahulu. Malah, saya beruntung kerana di sekolah, saya termasuk kumpulan pelajar terakhir yang belajar Sains dan Matematik dalam bahasa Melayu sebelum PPSMI dilaksanakan (yang kemudiannya dimansuhkan semula). Jadi saya masih boleh menghadam sebahagian besar novel ini dalam bahasa Melayu dengan baik.

Saya terfikir, bagaimanakah reaksi dan sejauh manapenerimaan pembaca yang kurang pendedahan istilah Matematik dalam bahasa Melayu? Saya masih ingat saya ditertawakan teman-teman (bukan secara mengejek) apabila menggunakan istilah sains seperti sesaran, kamiran, pembezaan dan sebagainya kerana tidak faham maksudnya. Mereka lebih senang dengan terminologi displacement, integration, dan differentiation (tidak bermaksud saya tak menggunakan istilah Inggeris ini kerana di peringkat lebih tinggi di kolej, saya juga mempelajarinya).

Apabila memikirkan pembaca lain yang mungkin kurang terdedah dengan istilah bahasa melayu ini, saya cukup risau. Apalagi ketika membaca Rumus di Hatinya, ada bahagian yang agak susah untuk difahami. Penerangan teori terakhir Fermat di sepertiga akhir novel sebagai contoh, agak mengelirukan dalam terjemahannya – saya tak pasti adakah ia juga kerana sudah lama saya tinggalkan Matematik dalam bahasa ibunda, ataupun mungkin hanya memang terminologi yang digunakan adalah sesuatu yang belum pernah saya pelajari dalam bahasa ibunda.

Dalam masa yang sama, terjemahan novel ini boleh memberi impak positif kerana juga mampu merangsang pembaca menguliti teori matematik yang asing. Contoh termudah adalah konsep nombor asli dan khayalan. Saya sendiri tidak faham akan konsep ini kerana tidak mempelajarinya dalam bahasa Melayu – saya lebih mengenalinya dalam bentuk real and imaginary numbers. Sebagaimana ia memanggil pembantu rumah mengkaji ilmu matematik yang ditemuinya di rumah Hakase, seperti itulah pembaca secara metaforikal rasa ingin tahu pembaca untuk membuktikan ‘kebenaran’ yang bak kata profesor, indah tak tergambarkan seperti indahnya bebintang di langit.

Selain itu, novel ini turut dilengkapi nota kaki untuk menjelaskan sesetengah perkara yang asing dalam budaya kita. Bagi saya, nota kaki ini wajar untuk difikirkan penggunaannya dengan lebih maksimum, dalam memberi penjelasan tertentu. Ada sesetengah ayat yang nampak mengelirukan, tidak dijelaskan dalam novel ini. Contohnya di mukasurat 19, apabila Profesor bertanyakan hari lahir pembantu rumah, dijawabnya 20 Februari. Ketika ini teks yang digunakan adalah 202 bagi mewakili tarikh tersebut (20 haribulan 2 di dalam bahasa Melayu) sedangkan nombor yang sepatutnya adalah 220 (digunakan secara betul kembali pada mukasurat berikutnya) kerana dalam bahasa Jepun, bulan disebut atau ditulis terlebih dahulu, sama juga dalam bahasa Inggeris Amerika (Februari 20, jadi 220). Kesalahan dalam terjemahan sebegini, sekiranya typo sekalipun, sangat besar impaknya pada cerita yang mementingkan susunan rumus dan nombor. Sekiranya perlu dijelaskan, nota kaki dapat membantu.


Mesej Sisi

Namun saya pasti, apa jua cabaran menghadapi novel ini, jika pembaca dapat menangkap mesej dan muhasabah hidup yang cuba disampaikan, itu lebih penting. Menurut saya, mesej itu berjaya sampai, namun sekali lagi, saya tak pasti apakah pembaca yang menelaah kisah ini buat kali pertama akan berfikir perkara yang sama. Malah, ketika membacanya buat kali ketiga, ia membuatkan saya berfikir bagaimana rumus-rumus dan dunia nombor ini mampu merungkai falsafah bertuhan, juga kesungguhan dan kejujuran yang sepatutnya ada pada seorang penuntut ilmu.

Dalam matematik, kita diajar menulis segala proses dan gerak kerja dari awal hingga akhir. Dalam peperiksaan terutamanya, jika pelajar tidak mendapat markah jawapan yang tepat sekalipun, jalan kerja dan usaha yang ditunjukkan akan disemak dan diberi markah sekiranya ada yang masih betul. Dalam novel ini, usaha pembantu rumah dalam membuktikan soalan yang diberi profesor, atau menyelongkar rahsia nombor-nombor ketika bersendirian sekalipun dianalogikan dari situasi ini. Segala usaha dalam mendapatkan jawapan akhir tidak disia-siakan, malah diibaratkan olehnya memberi jalan untuk membuktikan kebenaran, dan akhirnya, menemui 'cahaya kebahagiaan'.


Apabila ditanya tentang pencipta dan penemu nombor, kata-kata profesor secara halus menyatakan kewujudan nombor sejak azali dan keindahannya merupakan bukti wujudnya Tuhan - sama seperti alam. Malah saya teringat kepada alam yang terbentuk dari formula janjang Fibonacci seperti pada cangkerang dan bunga, juga baru-baru ini saya mengetahui yang perkataan sujud disebut sebanyak 34 kali dalam Al-Quran, sama jumlahnya dengan bilangan sujud dalam solat fardu kita sehari-hari. Lebih dalam lagi, apabila pembaca diminta berfikir dengan penyataan profesor yang nombor ini membuktikan wujudnya kejahatan dan kebaikan.

Aparatus Novel

Hubungan persahabatan dan kekeluargaan yang tercipta antara watak-watak, khususnya dengan kehadiran Root (anak pembantu rumah) juga satu lagi faktor keluarbiasaan novel ini. Kekekokan Profesor semasa cuba mengingati pembantu rumah yang dianggap baru setiap kali pita ingatannya bermula semula setiap 80 minit, kasih sayang Profesor tehadap kanak-kanak sepertimana yang ditunjukkan kepada Root, kegembiraan mereka lewat sambutan harijadi dan menonton perlawanan bola lisut di stadium, masih berbekas dalam diri. Membongkar keindahan teori ilmu hisab melalui memori-memori ini juga menambahkan impak tersebut.

Watak-watak terus berkembang, menunjukkan dimensi dan dinamika yang progresif sepanjang cerita, termasuklah Profesor yang boleh dikatakan sepatutnya tidak berkembang kerana ingatannya yang beku – memudahkan kita membesar bersama-sama mereka sehingga penghujung kisah. Pada setiap peristiwa, kita mengenali sikap dan peribadi ‘misteri’ Profesor yang berbeza-beza.

Wonderment yang terbit dari jiwa pembantu rumah pula menjadikan wataknya seakan lebih terpelajar dari akademia zaman kini – bagaimana mahasiswa dan pelajar kini (malangnya, termasuklah saya dahulu) langsung tidak punya sifat enthusiasm dalam menuntut ilmu sepertinya, adalah satu contoh dinamika yang cukup kuat untuk diteladani. Root pula sebagai anak kecil, turut memberi suntikan dalam ikatan ini. Kematangannya yang menjangkaui umurnya yang baru sepuluh tahun itu membawa cerita menuju kesudahan yang memuaskan.

Jalan cerita dan plot novel, meski tidak kompleks, tidak membantutkan minat membacanya. Perkakasan cerita seperti elemen bola lisut, sekiranya tidak difahami secara luaran peraturan dan gambarannya, juga masih boleh dinikmati dengan baik. Mujur saya dahulu rajin menonton animasi Jepun yang dipenuhi adegan bermain besbol, sekurangnya bolehlah saya gambarkan beberapa adegan dengan mudah – walaupun sampai sekarang saya tak berminat untuk dalami cara bermainnya. Sekiranya pembaca fasih dalam hal ini, itu merupakan satu bonus, kerana falsafah dari permainan besbol ini turut diselangselikan bersama dunia ilmu kira-kira.

Penutup

Karya berunsur sebegini, bagi saya perlu diberi perhatian dan promosi yang lebih atas kecerdikan penulis menggunakan sesuatu yang langka dalam novel, tetapi cukup berkesan dan menyegarkan.  Keunikan mesej falsafahnya menyebabkan saya teringat kata-kata Root, dalam adaptasi filemnya, ketika mengajar anak-anak muridnya tentang matematik, yang merumuskan akan keistimewaan hidup yang ditakdirkan untuk kita masing-masing (kata-kata ini hanya terdapat dalam filemnya dan saya menterjemahnya secara bebas):

"Nombor-nombor perdana ini jumlahnya tidak terkira - seperti jumlah bintang di langit malam. Tiada peraturan yang jelas untuk mencari nombor-nombor tersebut. Dalam kata lain, setiap satu daripada kalian, adalah unik dan istimewa sama seperti mereka."

Melalui takdir itu jugalah bertemunya profesor, pembantu rumah dan Root, anaknya – bersama nombor-nombor bertuah yang menjadi rakan karib mereka sepanjang cerita. 

Cuma, sebagai seorang yang berminat dalam grafik, saya mahu meluahkan rasa kecewa dengan persembahan kulit buku ini (tanpa memandang rendah usaha pereka kulitnya), yang boleh diberi perhatian lebih – kerana yang sedia ada ini tidak selari dengan keindahan tajuknya.  Sekurang-kurangnya, rumus yang diletakkan dalam jam tersebut boleh diganti dengan rumus-rumus yang dinyatakan dalam novel. Warna romantis dan puitis matematik juga patut terlakar pada kulit.

Apapun, sekalung tahniah tetap perlu diucapkan buat Normalis Amzah dan ITBM kerana berjaya menterjemah dan menerbitkan karya hebat ini. Sesungguhnya di akhir pembacaan, ternyata rumus yang tersimpan kemas di hati saya setelah membaca versi Inggeris dahulu masih tidak tercabar, tidak dikecewakan dalam terjemahan ini - malah terus memberi sisi manusiawi yang tersembunyi.

*Entri ini juga adalah penyertaan untuk Pertandingan Ulas Buku ITBM 2014 sempena Pesta Buku Antarabangsa PWTC April lalu.
*Untuk baca lanjut entri terdahulu tentang buku ini, klik sini dan sini.

Related Posts with Thumbnails