Disember 06, 2008

Pelangi, Kami Ingin ke Sana


Judul: Pelangi, Kami Ingin ke Sana
Penulis: Pemenang-pemenang Hadiah Sastera Kumpulan Utusan 2005 (Kategori Cerpen Remaja)
Tahun: 2006
Penerbit: Utusan Publications & Distributions
Harga: RM12.00


Dalam banyak-banyak buku yang saya telah baca, inilah antara buku dalam koleksi saya yang saya baca berulang kali. Entah berapa kali pun tak tahu. Kalau tak dibaca pun sekurang-kurangnya saya belek. Sebabnya, kumpulan cerpen dalam buku ini terlalu memikat!

Lihat saja pemenang tempat pertama. Cerpen tulisan Rahmat Purnama Mulya yang bertajuk Dia Berikan Tangannya ini punya mesej amat mendalam. Mengisahkan seorang gadis bukan Muslim berdarah Itali-Inggeris-Sepanyol yang punya pegangan dan dogma yang kuat tentang perikemanusiaan. Bagaimana dia membantah keras penindasan Amerika Syarikat dan serangannya ke atas Iraq selepas tragedi 11 September. Bagaimana dia, seorang gadis yang berbangsa Inggeris seperti mereka di Amerika, sanggup menjadi perisai manusia di Iraq untuk menghentikan peperangan pada tahun 2002 bersama orang sebangsanya yang lebih tua berpuluh tahun daripadanya, sedang umat Islam lain yang lebih kuat dan layak tidak sanggup menunjukkan apa bentuk penentangan langsung. Cerpen yang memenangi hadiah pertama ini sudah cukup mengingatkan supaya kita sedar siapa diri kita. Saya ikut tersentuh bagaimana narrator cerita ini berjaya menimbulkan ekspresi yang begitu emosional dan menyentuh hati, apatah lagi ketika Angelina Eliseo ditemuinya beberapa tahun kemudian dengan sebuah hidayah, permulaan baru. Dilatari kota England, penulis berjaya memberi gambaran dan suasana yang sangat bersesuaian dengan watak-watak. Selain itu saya tertarik dengan idea 'mencipta istilah' yang terdapat dalam cerpen ini--iaitu bagaimana Amerika Syarikat menghalalkan cara mereka untuk menjadi 'mafia dunia' dan 'samseng global' dengan mencipta istilah terorisme, mencipta Al-Qaeda, menggilap watak Osama, serta istilah collateral damage. Benarlah manusia mewajarkan perlakuan dengan cara ini, berdasarkan kata-kata Voltaire, seorang ahli Falsafah Perancis.

Juga, cerpen yang menjuduli antologi ini cukup buat hati saya sayu. Berlatarkan aftermath tsunami pada tahun 2004, watak antagonis Defi yang terselamat dari bencana alam itu berusaha keras untuk membangunkan kembali masyarakatnya. Kecekalan serta keazaman Defi yang tinggi untuk mengajar anak-anak serta remaja yang terselamat dengan ilmu tulis baca wajar dijadikan contoh. Penggunaan diksi yang sesuai dengan suasana aftermath itu begitu mencengkam jiwa, apatah lagi bila muncul watak seorang kanak-kanak perempuan bernama Marlina yang masih belum kenal erti penderitaan, menjadi motivasi untuk Defi lebih cekal membina masa depan orang kampungnya dengan penubuhan Pondok Ilmu, bersama-sama dua lagi rakannya. Saya sangat suka dengan imej pelangi yang didatangkan di akhir cerita--bagai satu pengharapan baru pada Defi, keindahan yang bakal dicapainya suatu hari nanti. Cerpen Pelangi, Kami Ingin ke Sana ini adalah karya Ariff Mohamad.

Cerpen Ratu Kosmetik karya Faisal Tehrani juga membeli jiwa saya. Mana taknya, seperti Manikam Kalbu, dan Surat-surat Perempuan Johor, cerpen ini menggunakan 'penyelarian' dua zaman--dialog antara Che Gayah dengan Puteri Gunung Ledang tentang kecantikan dan rahsia kosmetik asli alam Melayu begitu memikat. Bukan sahaja ia intelek, punya fakta tentang ilmuwan kosmetik Islam, petua kecantikan, malah dalam perenggan akhir ia mengandungi falsafah besar mengenai kecantikan sebenar yang dilupai ramai orang, yakni kecantikan berdasarkan ketaqwaan, keimanan serta akhlak mulia. Ya, tak lupa unsur humor dalam karya Faisal Tehranilah yang selalu buat saya tertarik. Cerpen ini mengingatkan saya akan cerpennya Cik Siti Mustika, ada dimuatkan dalam kumpulan cerpen beliau iaitu Kekasih Sam Po Bo, kerana gaya bahasa yang lucu dan menghiburkan.

Cuma, saya rasakan laporan panel hakim yang disertakan di bahagian hadapan kompilasi cerpen ini kurang sesuai saiz font teksnya. Saya fikir, lebih elok jika dikecilkan sedikit, bagi membezakannya dengan koleksi cerpen di mukasurat-mukasurat seterusnya. Laporan ini sahaja sudah ambil ruang 44 mukasurat. Kalau dikecilkan sedikit saiz tulisannya kan bagus, bilangan mukasurat akan jadi kurang juga. Jimat ruang, jimat kertas, harga pun kurang, kan? Namun, laporan ini sangat bagus dikandung sekali dalam buku ini, kerana ia membantu pembaca memahami sebahagian cerpen yang punya intipati tersirat, contohnya cerpen Mergastua dan Kotak Batu oleh Zaharah Nawawi yang mengajukan persoalan perdamaian dan dendam dalam masyarakat, dengan mencerminkannya pada kehidupan unggas dan beburung. Dengan bantuan penjelasan dalam laporan panel hakim ini, sekurang-kurangnya ia membantu pembaca menaakul mesej yang ingin disampaikan dengan lebih baik. Bukan itu saja, ia membantu pembaca dalam menilai dari segi apakah sesebuah karya layak dipilih dan apakah yang menjadikan karya itu memikat.

Cerpen-cerpen lain yang boleh dinikmati dalam antologi cerpen ini ialah: Cikgu Apek (Siti Hajar Mohd Zaki), Anak Gelandangan (Mohd Hashim Osman), Kampung Hati Ayah (Ummu Hani Abu Hassan), Gadis Bunga di Tasik Dal (Zaharah Nawawi), E-mel Seorang Lelaki (Mohd Lutfi Ishak), dan Rabiatul Adawiyah (A.Ghani Abdullah).

2 ulasan:

nollynasa berkata...

sy pun ada buku ni jugak dan memang baca berulangkali..terutamanya 'Dia Berikan Tangannya'..setiap kali baca mesti menangis..

sha berkata...

salam,sy jg baca bukuni,sebab judul'a sgt dekat dgn anak2 aceh yg sy kenali. memang tepat,bila dibelek cerita'a ada kaitan dgn anak2 tsunami.
"Kulihat pelangi, cantiknya. Kukatakan pada pelangi, aku ingin ke sana. Aku rindukan sinar. Aku rindukan keindahan. Dan kebahagiaan. Itu doaku. Doa kami."
-rindu anak2 pesantren-

Related Posts with Thumbnails